Pages

Ahad, 16 Julai 2023

Pajeri Kedondong Idaman!

Bismillahirrahmanirrahim.
Semenjak dua menjak kebelakang ini teringin makan pajeri. Sekejap-sekejap hendak makan pajeri nanas. Apabila beli nanas dan rasanya manis pula, habis dimakan begitu saja. Nampak terung, hendak makan pajeri terung tapi sewaktu hendak masak, jadi lain pula. Goreng terung saja, makan dengan sambal belacan. Akhirnya, kedondong pula menjadi mangsa untuk dipajerikan!

Sesetengah orang akan celur nanas atau kedondong terlebih dahulu sebelum dimasak. Amie tak celur atau rebus samada nanas atau kedondong. Setelah bahan perencah terbit minyak, masukkan begitu sahaja buah kedondong.

Dan, untuk keriseknya pula terima kasih buat Firdaus kerana tumbuk kelapa sangan menggunakan lesung sehingga jadi kerisek. 

Pajeri Kedondong

Buah Kedondong


Resipi Pajeri Kedondong
Bahan-bahan:

  • 20 biji kedondong  muda - kupas kulit
  • 1 cawan santan pekat
  • 2 cawan air
  • 2 sudu besar serbuk rempah kari ikan
  • 2 sudu besar serbuk rempah kari ayam /daging
  • 2 sudu besar kerisek
  • 2 sudu besar parutan gula melaka / gula perang
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 2 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 1 labu bawang besar - mayang
  • 2 cm halia - hiris halus
  • garam / perasa pilihan
  • 1/2 cawan minyak

Bahan tumbuk / kisar:

  • 2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah

Cara memasak:

  1. Panaskan minyak. Goreng bawang besar bersama halia, kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih hingga terbit aroma.
  2. Masukkan bahan tumbuk / kisar. Tumis seketika.
  3. Seterusnya masukkan serbuk rempah kari ikan dan serbuk rempah kari ayam / daging. Kecilkan api. Jika terlalu kering, tuangkan sedikit air. Tumis hingga pecah minyak.
  4. Kemudian masukkan kedondong. Biarkan seketika dan kemudian tuangkan air dan masukkan gula melaka / gula perang. Masak dengan api sederhana sehingga kedondong menjadi empuk.
  5. Masukkan santan pekat dan kerisek.
  6. Kacau sekali-sekala supaya bahagian bawahnya tidak hangus.
  7. Apabila kelihatan terbit minyak sekali lagi,  taburkan garam / perasa pilihan.
  8. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.


Pajeri Kedondong memang sedap! Ratah begitu saja pun boleh. Kuahnya lagilah rasa sungguh lazat. Firdaus gaul dengan nasi. Orang kata, untuk rasa pajeri yang mesra dan enak, eloklah sediakan lebih awal sebelum dinikmatinya. Umpamanya, untuk lauk makan tengah hari, masaklah pajeri di pagi hari.


19 ulasan:

  1. Selalu saya jumpa waktu kenduri kahwin. Buat sendiri takdelah pula.
    Apapun sedap rasa manis masam dan rempah yang silih berganti.

    BalasPadam
  2. Wah tak pernah lagi makan pajeri kedondong. Menarik sgt!

    BalasPadam
  3. Sedap agaknya
    Tapi wak tak minat buah kedondong

    BalasPadam
  4. Baru dengar nama makanan ini...apa rasanya gurih asam dan manis kah

    BalasPadam
  5. Kecur air liur sy tengok pajeri kedondong, tapi sy tak pernah makan kedondong dibuat pajeri. Kalau nenas atau terung, dulu² selalu juga mak sy buat. Daus dah boleh diharap tolong mommy di dapur 😍. Nampaknya mommy dah tak perlukan lagi mambang Tanah Jauhar! 🤣🤣🤣

    BalasPadam
  6. pertama kali saya tau ni kedondong boleh buat pajeri...selama ni ingatkan kedondong utk buat cicah2 buat jeruk je...

    BalasPadam
  7. Eh…baru saya tau kewujudan pajeri kedondong 😀
    Macam masakan kari dan asam pedas, bagi mesra barulah lebih sedap dimakan.

    BalasPadam
  8. Masa akak saya buat kenduri kahwin anaknya, abang ipar kakak buat pajeri mangga epal. Mula-mula kita orang ingatkan kentang bergolek2 gitu sekali makan eh napa ada biji rupanya mangga epal. Sedap. Mangga epal muda le

    BalasPadam
  9. WAH KEDONDONG TEPI DAPUR NAK BUAT PAJRI PETIK SAJA

    BalasPadam
  10. salam singgah. apa rasa teksturnya? ranggup juga ke mcm kedondong jeruk?

    BalasPadam
  11. SA x pernah makan pajeri kedondong kak amie...

    BalasPadam
  12. rajinnya kak amie firdaus tumbuk kerisik..

    BalasPadam
  13. Saya pun sama, tak kisah apa pajeri semuanya favorite :D
    Baguslah Firdaus, Acik PH pun beli kerisek ready made dik...
    Lama dah tak tumbuk kelapa jadikan kerisek ...

    BalasPadam
  14. Pertama kali tgk pajeri nie, selalunnya nenas

    BalasPadam
  15. Pajeri nenas feveret sayaaaa. Hihihi. Tapi kedondong dibuat pajeri belum pernah jumpa lagi. Sekarang ni nak cari buah kedondong pun susah dah.

    BalasPadam
  16. sedapnya, pajeri apa pun semua dana suka

    BalasPadam
  17. Pertama kali tahu ada pajeri kedondong. Biasa nampak jeruk kedondong je. Menarik juga ni dijadikan lauk pajeri. Rajin Firdaus tolong mommy kat dapur.

    BalasPadam
  18. Baru Sha tahu, buah kedondong pun boleh buat pajer ye.. menariknya..

    BalasPadam