Pages

Selasa, 18 Julai 2023

Ikan Patin Sungai Segama Masak Tempoyak

Bismillahirrahmanirrahim.
Ada seekor ikan patin dan sepotong lagi bahagian kepala menunggu untuk diolah menjadi lauk makan tengah hari Ahad lepas. Ikan patin ini datangnya dari Sungai Segama. Sebelum ini Amie masak seekor : RESIPI IKAN PATIN MASAK ASAM PEDAS YANG SEDAP! , tetapi tinggalkan bahagian kepalanya. Jadi, untuk masak dengan tempoyak, Amie olah seekor dan tambah bahagian kepala baki yang ditinggalkan tempoh hari.

Kalau mengolah ikan patin, mesti teringat petua buang hanyir yang arwah emak mentua tinggalkan. Sewaktu MIL bersihkan ikan patin, biasanya MIL akan belah dan MIL tunjukkan ada urat warna putih dalam isi ikan. Kata MIL, urat putih itu kalau tidak dibuang, hasil masakan ikan akan berbau hanyir. MIL tarik perlahan-lahan urat putih tersebut. MIL tidak gunakan limau atau lumur tepung pada ikan. Memadai dengan hanya buang urat hanyir sahaja. Tak pernah pun terhidu aroma hanyir atau kurang menyenangkan dari air tangan MIL.

Arwah Pak Itam, iaitu adik arwah FIL rajin memancing di Sungai Segama. Setiap kali mendapat hasil, arwah Pak Itam akan  berikan samada ikan patin, ikan lawang, ikan salap (lampam) dan ikan krokok (ikan baung) kepada MIL. Semua jenis ikan sungai ini memang sedaplah kalau MIL yang masak!

Ikan Patin Sungai Segama Masak Tempoyak

MIL tak pernah masak ikan sungai dengan tempoyak. MIL tidak makan durian! MIL lebih suka masak singgang dan asam pedas cara Cocos. Kalau masak asam pedas gaya MIL, memang tidak gunakan cili kering. MIL akan gunakan cili padi dan belacan serta serai. Itulah asam pedas resipi MIL.

Kalau hendak makan ikan patin tempoyak, datanglah ke rumah kami... ahaks! Kebetulan sewaktu ke kampung minggu lepas, adik ipar berikan bunga kantan. Jadi, bolehlah tambahkan bunga katan dalam masakan tempoyak ikan patin.

Bunga kantan dari kampung.


Resipi Ikan Patin Sungai Segama Masak Tempoyak
Bahan-bahan:
  • 1 ekor ikan patin + bahagian kepala ikan patin - bersihkan (buang urat putih untuk hilangkan hanyir) - 
  • 1 kuntum bunga kantan - belah 4
  • 10 tangkai daun kesum
  • 2 keping asam gelugur - boleh tambah atau kurangkan ikut rasa masam yang disukai
  • 4 cawan air
  • garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar / tumbuk:
  • 5 sudu besar tempoyak
  • 2 cm kunyit hidup
  • 15 tangkai cili padi
  • 1 cawan air
Cara memasak:
  1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk.
  2. Tambahkan air.
  3. Jerang di atas api dapur. Gunakan api perlahan sehingga mendidih.
  4. Masukkan bunga kantan, daun kesum dan ikan patin.
  5. Biarkan lebih kurang lima minit atau sehingga ikan patin masak.
  6. Taburkan garam / gula / perasa pilihan.
  7. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
Kita saja letak kacang panjang sebab tak ada mambang rajin tolong masak sayur! Senang masak sekali harung. Makan nasi berkuah tempoyak ikan patin dan bersayur kacang panjang!

Ikan Patin Sungai Segama Masak Tempoyak.

Info:
Sungai Segama merupakan sungai kedua terpanjang di Sabah selepas Sungai Kinabatangan. Selain ikan, banyak udang galah membiak di kedua-dua sungai ini. Tapi itu cerita lama. Sekarang susah hendak dapat udang galah. Menurut arwah Pak Itam, sarang buaya banyak terletak di kawasan udang galah. Owwwhhhh!

4 ulasan:

  1. Ajak kita ke tu makan ikan patin tempoyak? 🤣🤣🤣

    Mambang sibuk kat sinun, nanti esok cuti kita suh dia terbang ke sanun potong sayur. Seronok baca kisah mak mertua Kak Amie.

    BalasPadam
  2. Ohh begitu petuanya. Walaupun ikan patin ni lebih kurang ikan baung. Tapi yang peliknya saya tak makan ikan patin. Kalau ikan baung tu mak saya basuh dengan asam jawa, limau kesturi dan masa bilas tu kikis kulitnya guna pisau. Kurang hanyir bila memasak.
    Kuahnya pekat, makan dengan panas dan kuah panas, nikmat betul!

    BalasPadam
  3. Wah.. terima kasih berkongsi petua kak Amie.. Sedap masak tempoyak, sedap juga masak asam pedas.. Tapi lain betul ye cara MIL akak masak asam pedas..

    BalasPadam
  4. saya ingat kak amie typo tadi. segama = segamat hahahaha

    BalasPadam