Pages

Ahad, 16 Julai 2023

Sarapan Roti Paratha

Bismillahirrahmanirrahim.
Selamat berhujung minggu bersama yang tersayang. Semoga hari ini dapat meluangkan masa sarapan bersama untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. 

Awal pagi tadi Amie ke Taman Firdaus, petik beberapa kuntum bunga telang untuk dijadikan jus minuman. Nampaknya hujan dari malam hingga ke subuh menyebabkan suhu bertambah dingin. Ketika Encik Suami dan Firdaus tarik selimut dan sambung tidur, kita di dapur sendirian menguli tepung untuk dijadikan roti paratha.

Tidaklah sesukar mana untuk membuat roti paratha asalkan ada tepung gandum, yis, marjerin atau minyak, garam, gula dan air. Mengulinya pun tak perlu memakan masa yang lama. Sambil menunggu roti paratha garing di dalam kuali, bolehlah masak sambal sardin dan renih bunga telang di tungku dapur sebelahnya.

Tapi, rasa sunyi dan sepi di dapur sendiri!
Teringat Fuad di sanun. Kelmarin Fuad sudah tinggalkan TOYOTA di Setia Alam, dan esok melapor diri menggalas tugas sebagai project enggineer di Jelutong. Kata Fuad, untuk sampai ke Jelutong perlu menyeberang Jambatan Pulau Pinang. Kita pernah sekali sahaja sampai ke Pulau Pinang. Itu pun sebab mengikuti sukan varsiti di USM zaman belajar dahulu. Mana tahu, ada rezeki nanti boleh jalan-jalan ke Jelutong melawat Fuad. In syaa Allah. Bak kata Mama Cella: Zikir banyak-banyak. Mudah-mudahan tercapai impian.

Oh, sudah hampir pukul lapan pagi.
Roti paratha, sambal sardin, kari kacang kuda dan jus bunga telang sudah siap. Manalah Encik Suami dan Firdaus. Seru nama Encik Suami dari dapur beberapa kali tidak juga menyahut. Terpandang HP! Baiklah telefon saja. 

Roti Paratha & The Gang

Tambah minuman air bunga telang.

Jom sarapan.

Kari Kacang Kuda


Sambal Sardin


Resipi Roti Paratha
Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1/2 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil gula pasir
  • 1 sudu kecil yis
  • 150 ml air suam
  • 1 sudu besar marjerin
  • minyak sapi secukupnya untuk glis
Cara:
  1. Dalam sebuah bekas, campurkan tepung gandum, yis, garam, gula dan marjerin.
  2. Tuangkan air suam sedikit demi sedikit dan gaul adunan hingga menjadi doh.
  3. Rehatkan doh selama lebih kurang 30 minit dan tutup dengan kain.
  4. Setelah doh mengembang dua kali ganda dari doh asal, bahagian doh kepada saiz yang lebih kecil. Amie dapat sepuluh ketul doh saiz kecil sebab hendak buat roti paratha kecil comel.
  5. Gelek setiap doh mengikut ketebalan yang disukai.
  6. Panaskan kuali dengan api kecil dan sapu sedikit minyak sapi.
  7. Goreng roti paratha kedua-dua belah sehingga garing atau sehingga warna keemasan.
  8. Jika suka, boleh sapu marjerin / butter / minyak sapi ketika roti masih panas.
  9. Hidangkan bersama kari kacang kuda dan sambal sardin. 

12 ulasan:

  1. Wahhhh.. kerajinan sungguh Kak Amie pagi ni, siap canai roti paratha, mengari dan menyambal sekaligus. Tentu kenyang perut seisi rumah pagi ni.

    Selamat bertugas di tempat baharu, Fuad. Nampaknya, Fuad terpaksa berjauhan bukan saja dgn keluarga tapi juga dgn tunang tersayang.

    BalasPadam
  2. sedapnya roti paratha buat sendiri..pagi ni kat Seremban sarapan roti canai dan nasi goreng.....

    BalasPadam
  3. thanks for the recipe kak, memang comel roti paratha size kecil itu, untuk bekal nampaknya mudah

    BalasPadam
  4. TERBAIK ROTI PRATHA AMIE N D GANG

    BalasPadam
  5. Cantik pulak background hitam cam tu... nampak pro

    BalasPadam
  6. MasyaAllah…rajin sungguh kak Amie. Macam-macam dimasak 👏🏽

    Tahniah Fuad dapat kerja baru, moga Allah permudahkan urusan kerja Fuad.
    Kena bertabahlah kalau drive pergi/balik kerja pagi/petang lalu jambatan PP.

    BalasPadam
  7. Rajinnya buat semua. Selalu beli dari kedai roti perata itu.

    BalasPadam
  8. Wah ada resepnya...saya simpan ya kak,mana tau bisa buat roti paratha

    BalasPadam
  9. Eh,saya baru lepas list barang nak beli balik nanti nak buat roti paratha kuah kacang kuda.Sekali.mai sini dah siap semuanya...aduh,terliur..

    Wah,Semoga Fuad sukses ditempat baru di utara sana..Nak zikir jugak
    ..semoga Cikgu oe sampai juga ke sana nanti dan lajak ke Kedah pula...

    BalasPadam
  10. elok kejadiannya nak cuba buatla nanti...

    BalasPadam
  11. Wahh..pagi pagi hujan dapat hidangan macam ni memang sedap Kak Amie. Berselera makan pun.

    BalasPadam
  12. Sedap makan roti paratha dengan sambal sardin.. Air bunga telang tu cantik sungguh warnanya..

    BalasPadam