Pages

Sabtu, 24 Jun 2023

Cekuk Manis Tumis Belacan & Udang

Bismillahirrahmanirrahim.
Jumpa lagi di dapur kecil Amie. Petang ini cuaca mendung. Langit suram dan suasana agak gelap. Mari ceriakan dapur dengan aroma masakan untuk makan malam. Sebenarnya kami makan tengah hari merangkap makan malam. Balik dari kerja, terus mandi, solat dan berehat seketika. Kemudian ke dapur masak nasi.

Amie masak asam rebus ikan belanak. Firdaus suka makan nasi lauk asam rebus ikan. Jadi tak perlu gorengkan ikan atau ayam. Amie tambahkan sayur Cekuk Manis Tumis Belacan & Udang. 

Cekuk Manis Tumis Belacan & Udang


Cekuk Manis

Lama sungguh tak makan sayur cekuk manis. Zaman kanak-kanak dahulu cekuk manis merupakan salah satu sayur yang Bonda hidangkan untuk kami sekeluarga. Bonda tanam di kebun bersama sayur lain seperti kacang panjang dan kacang botol. Nostalgia masa lalu mengingatkan sayuran selain cekuk manis, sudah tentulah kangkung kampung, pucuk paku udang dan paku tanjung, pucuk ubi, umbut nanas, terung pipit, pucuk labu, cendawan sisir,  dan pelbagai jenis sayuran lain. Sekarang sayur-sayuran kampung ini agak jarang ditemui dan kalau ada, harganya setanding dengan sayuran lain seperti sawi.

Kebetulan terjumpa cekuk manis di cold storage, jadi ambillah sebungkus. Harga sekilogram RM24.90 sen. Ada dua ikat cekuk manis dalam satu bungkusan seberat 534 gram dengan harga RM13.30 sen. Nama lain cekuk manis yang tertulis pada label sayur ini ialah Sayur Manis atau Cangkuk Manis. Ada juga yang panggil sayur cekur manis atau cekup manis. Nama  lain termasuklah taruk manis, cemerla hutan dan asin-asin.

Sayur Cekuk Manis


Berat sayur cekuk manis ini sudah tentulah pada batangnya yang agak keras. Daunnya pun tidak banyak, dan hanya patahkan pucuknya sahaja. Sekali patah lebih kurang tiga atau empat cm, dan selebihnya terpaksa dibuang kerana keras. Setelah tolak batang, berat puucuk cekuk manis tak sampai 200 gram!

Pucuk Sayur Cekuk Manis

Sayur cekuk manis sedap masak apa? Dulu Bonda suka masak bening sahaja, dan sesekali masak lemak putih ditambah suhun dan fucuk tauhu. Kadang-kadang Bonda tumis dengan cili padi campur ikan bilis. 
Amie masak tumis dengan belacan dan udang.
Jom, kita tengok resipinya di bawah.


Bahan-bahan:
  • 200 gram pucuk cekuk manis yang sudah dibersihkan
  • 15 ekor udang kertas - bersihkan
  • 4 sudu besar minyak
  • garam / perasa pilihan
Bahan kisar kasar:
  • 5 tangkai cili merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 labu bawang besar
  • 1 sudu kecil belacan
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dalam kuali. Tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
  2. Kemudian masukkan udang dan gaul rata.
  3. Setelah udang berubah warna, masukkan pucuk cekuk manis.
  4. Terus tutup kuali selama 2 minit.
  5. Angkat penutup kuali.
  6. Taburkan garam / perasa pilihan.
  7. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Jika inginkan sayur cekuk manis kelihatan hijau dan segar, bolehlah tutup kuali sebaik sahaja cekuk manis dimasukkan. Ketika ini gunakan api besar.


Inilah hasil Cekuk Manis Tumis Belacan & Udang. Cekuk manis bukan ditenggelamkan oleh udang, tapi memang begitulah suratan kehidupan.... ahaks!


8 ulasan:

  1. aduh sedapnya...dah la daunnya pucuk muda belia belaka...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Haaaa... pucuk muda belia itulah yang dicari!

      Padam
  2. Cekuk manis? Disini namanya trok manis. Selamat wikeend ya sobat

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya Ibu Nur. Macam-macam namanya cekuk manis ini.
      Selamat weekend juga Ibu Nur.

      Padam
  3. Saya suka masak lemak labu campur cekur manis.. dulu mak masak bening je, pun dah seger sangat hirup kuahnya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya ampun!
      Sedap sangat tu masak lemak labu campur cekur manis. Ditambah pula dengan ikan goreng dan sambal belacan....walllaaaahhh!

      Padam
  4. Sayunya berat tapi yang dimakan pucuknya sahaja.. Tak berat mana pun ye Kak Amie.. Mengancam juga dibuat tumis begini.. Selalunya buat masak lemak putih saja..

    BalasPadam
  5. pucuk manis ni orang diabetes tak bleh makan kan...sebab tu x pernah ada dalam senarai masakan kat rumah SA..SA pernah la makan tapi bukan menjadi kegemaran

    BalasPadam