Pages

Isnin, 3 April 2023

Mi Goreng Mamak Resipi Chef Hussin Khan Memang Sedap!

Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini, masih mendung seperti hari-hari yang berlalu sepanjang menempoh bulan Ramadan. Kalau tak buka lampu, memang gelaplah setiap ruangan dalam rumah. Cerita kelmarin, teringin berbuka puasa dengan juadah mi goreng mamak. Teringat-ingat keenakan makan mi goreng mamak di Kuala Lumpur, sewaktu zaman belajar dahulu. Terkenang-kenang telur yang menyalut mi goreng mamak itu!

Kadang-kadang apabila teringin makan sesuatu, kalau boleh waktu itu juga hendak masak walaupun bahan tak cukup! Kebetulan pula, terjumpa resipi Mi Goreng Mamak dalam buku 101 Resipi Destinasi Makan Popular Pulau Pinang oleh Chef Hussin Khan. Chef Hussin Khan ini dulunya seorang blogger masakan juga tetapi sekarang blognya sudah terbiar sepi: STUDIO MASAKAN CHEF HUSSIN. Beliau sudah menjadi seorang chef selebriti yang berjaya. Banyak buku resipinya diterbitkan.

Mi Goreng Mamak.

Resipi Olahan Chef Selebriti Chef Hussin Khan.

Buku resipi ini sangat menarik sebab dilengkapi dengan sejarah dan  info tempat makanan di Pulau Pinang.  Turut disertakan gambar Chef Hussin ketika berada di setiap tempat makan yang disinggahinya. Kemudian beliau mengolah resipi yang sama tetapi mengikut kreativitinya.

Resipi Mi Goreng Mamak Chef Hussin.

Antara bahan yang digunakan sebagai perencah Mi Goreng Mamak.

Amie kongsikan resipi Mi Goreng Mamak Chef Khan di bawah ini. Ada beberapa bahan yang tidak ada seperti tauhu dan taugeh. Maklumlah, tergesa-gesa hendak masak dan makan sampai tak sedar tak cukup bahan.
  • 300 gram mi kuning - dicelur
  • 6 ekor udang sederhana besar - dibersihkan
  • 1/2 keping isi ikan - dihiris nipis
  • 6 biji bebola ikan - dibelah dua
  • 1 keping tauhu digoreng dan dipotong kiub
  • 2-3 sudu besar cili giling
  • 40 gram taugeh
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 1 sudu besar sos cili
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 2 biji telur
  • 1 biji cili merah - dihiris nipis
  • 1 batang sawi - dipotong
  • sedikit bawang goreng
  • garam dan serbuk lada hitam secukup rasa
  • minyak untuk menumis
Bahan kisar:
  • 4 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut - toskan
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak, tumis udang, isi ikan dan bebola ikan.
  2. Masukkan bahan kisar dan cili giling, tumis hingga pecah minyak.
  3. Masukkan sos tiram, sos cili, kicap pekat dan kicap cair. Perasakan dengan garam dan lada hitam.
  4. Masukkan mi dan tauhu, tumis hingga sebati.
  5. Tolak mi ke tepi kuali, pecahkan telur sambil dikacau hingga hancur.
  6. Gaulkan kesemua bahan sebelum memasukkan taugeh, sayur sawi dan cili merah. Tumis seketika sebelum tutup api.
  7. Taburkan hirisan bawang goreng dan daun bawang sebelum dihidangkan.

Inilah antara bahan perencah yang Amie ada.

Ikut putaran jam : Fish ball, sawi, telur, ayam dan fish cake. Dalam mangkuk putih : cili kisar bersama bawang putih, bawang merah dan udang kering.

Mi kuning yang sudah dicelur. Amie rendam dengan air panas seketika dan kemudian bilas dengan air paip yang mengalir sebelum ditoskan.

Alhamdulillah. Akhirnya dapatlah melayan selera berbuka puasa dengan Mi Goreng Mamak.

7 ulasan:

  1. Masakan Kak Amie tak pernah tak sedap hehe. Mungkin Kak Amie pun boleh terbitkan buku resipi :D

    BalasPadam
  2. Berapa kali sudah kita telan ailio. Nampaknya kalau nak makan Mee Mamak, kita kena ke Bismi atau Thoufeeq.. tak ada kerajinan nak goreng mee. Mambang rajin terbang ke sanun sampai kini tiada tanda hendak pulang 😆😆.

    BalasPadam
  3. Tak sia-sia merentas Laut China Selatan....sampai LD,hidangan tak pernah mengecewakan

    BalasPadam
  4. Ahhh... syedapnya.. Semalam dah beli mi, boleh lah minta Kawi masakkan mi goreng juga.

    BalasPadam
  5. Boleh cuba la weekend ni nanti...sedapnyaa

    BalasPadam
  6. nampak simple je resepinya tapi kenapa bila sy buat sendiri tak sedap macam mamak buat haha

    BalasPadam