Pages

Jumaat, 7 Oktober 2022

Jalan-jalan Cari Makan , Upah Buat Firdaus Lambat Ambil Dari Sekolah

Bismillahirrahmanirrahim.
Hari ini kita hendak berkisah tentang budak kecil yang lambat diambil dari sekolah kerana Mommy dan Baba sibuk urusan duniawi....ahaks! Kemudian budak kecil itu dapat upah dibelanja makan malam di tempat yang dicadangkan oleh Mommynya.


Alkisahnya semenjak dua menjak ini, kita malas hendak pandu kereta sendiri ke tempat kerja. Alasannya tak sanggup menghadapi kesesakan lalu lintas sebab terlewat keluar dari rumah. Bukan apa. Tidur lewat malam kerana menyiapkan laporan yang pelbagai! Maklumlah pelawat asyik datang memantau ke tempat kita. Jadi, semua fail mesti lengkap. Kita rasa dunia seperti hendak kiamat dengan arahan bertubi-tubi datang dari pihak kayangan, tidak kira siang atau malam, tidak kira cuti atau waktu bekerja! Situasi kerja pada hari ini sungguh aneh! Laporan dan laporan dan laporan! Lebih banyak laporan dari melaksanakan tugas sebenar! Sampai ada yang kata, palis-palis mati ditimbuni fail!

Sejak bulan Julai, SMSLD merisik kita untuk membuat bengkel menjawab soalan SPM. Memandangkan masa yang tidak sesuai, asyik tertangguh-tangguhlah waktunya. Pengetua tidak benarkan kita beri ceramah pada waktu persekolahan seperti dahulu. Penolong Kanan sudah beri amaran utamakan PdP di sekolah sendiri. Kalau hendak beri ceramah, boleh pergi waktu petang selepas tamat PdP di sekolah sendiri. Hari Sabtu pula, tidak dibenarkan beri ceramah sekiranya ada aktiviti sekolah.

Surat jemputan sudah sampai ke pejabat dan kita akan ke SMS pada hari Khamis, ceramah dari pukul dua hingga lima petang. Kebetulan pula pada hari yang sama datang 10 orang pegawai datang memantau ke sekolah. Itu yang rasa dunia hendak kiamat kerana pelbagai arahan datang siang dan malam! Kita sempat siapkan semua maklumat dan data yang dikehendaki. Walaupun tak cukup tidur dengan pelbagai gangguan tugas, tetapi syukur Alhamdulillah kita tak perlu buat banyak persediaan untuk ceramah. Kita gunakan bahan power point yang pernah kita gunakan untuk ceramah yang sama di SMKS pada September lepas. Kemudian kita tambah sedikit bahan rujukan lain.

Sebaik sahaja tamat kelas , kita pun bergegas pulang ke rumah. Oleh kerana waktu tengah hari, jalan masih sesak jadi kita minta tolong Encik Suami ambil kita dari sekolah. Satu saja kita hendak buat: Kita hendak solat zohor di rumah. Kemudian kita pun tergesa-gesa untuk ke SMS.  Kita tidak mahu lewat sampai. Begitulah kita kalau berurusan. Kita tak suka orang tunggu kedatangan kita. 

Bersama sebekas biskut cheese crakers.

Tiba-tiba Encik Suami ambil kunci kereta dan hendak hantar kita.
Bukankah ada kerja yang hendak dibereskan petang ini?
Kata Encik Suami, memang dia ada urusan dengan PPD, tapi biarlah dia hantar kita dahulu. Jauh SMS dari rumah kita lebih kurang 20 kilometer. Kemudiannya Encik Suami akan berurusan di PPD.
Kita sangat suka apabila Encik Suami hendak hantar. Kita pun capai beg berisi laptop dan botol berisi air, terus masuk kereta. 

Ketika kereta undur hendak keluar dari pagar, kita berasa lapar! Kita belum makan tengah hari. Kita keluar semula dari kereta dan berlari masuk ke dalam rumah. Kita rembat sebekas biskut cheese crakers kesukaan Firdaus. Dalam perjalanan menuju ke SMS kita kunyah biskut dan minum air kosong. Harap adalah tenaga selama tiga jam mengendalikan bengkel nanti.

KIta tiba di SMS pada pukul 1:40 petang dan memulakan ceramah awal 10 minit. Jadi, dapat tamatkan bengkel sebelum pukul 5 petang. Terima kasih SMS kerana sediakan makan dan minum, tapi kita hanya sempat minum sahaja. Masa sangat suntuk kerana Encik Suami perlu ambil Firdaus di sekolah pada pukul 5:20 petang. Sebelum sampai ke sekolah Firdaus, keadaan lalu-lintas sangat sesak! Kita sempat telefon Dar, rakan sekerja kita yang juga ambil anaknya, minta tolong beritahu Firdaus supaya tunggu di dalam pagar sekolah sehingga kami tiba!

Sayang Mommy!

Rupaya sebelum sempat Dar beritahu, Firdaus sudah keluar dari pagar. Kawan-kawan Encik Suami yang ternampak Firdaus suruh Firdaus masuk semula ke kawasan sekolah, tunggu sehingga Encik Suami sampai. Alhamdulillah! Prihatin sungguh kawan-kawan Encik Suami! Membebel jugalah Firdaus sebab Encik Suami lambat samp[ai. Kita pula tak larat nak layan sebab keletihan. Rasa nak rebahkan kepala di bantal sahaja ketika itu!

Perut kita pula berkeroncong seribu lagu! Dalam perjalanan pulang, kita beritahu Encik Suami agar makan di luar sahaja. Encik Suami cadangkan, balik rumah dahulu, bersihkan diri dan selepas solat maghrib keluar cari makan.

Milkshake Vanilla

Kita hendak makan di tempat yang selesa, dan santai-santai sahaja. Tempat makan pun yang dekat-dekat sahaja dari rumah kami. Jadi, Encik Suami pun bawa kami ke Home Steak Home di Perdana Square.

Crispy Chicken Cheesy


Firdaus tak sabar nak makan Crispy Chicken Cheesy dan minum Milkshake Vanilla.

Hot Green Tea, Mushroom Soup & Russian Soup

Encik Suami memilih Hot Green Tea.
Kami memilih set dulang untuk makan berdua.


Set dulang ini mengandungi:
  • Mushroom Soup
  • Russian Soup
  • Spaghetti
  • Rib Eye Steak 
  • Lamb Rack Grill
  • Chicken Chop
  • Mashed Potato
  • Onion Rings
  • Dessert : Puding & Ice Cream
  • 1.5L 100 Plus

Sementara menunggu kambing dan lembu dipanggang, serta ayam dan bawang digoreng, dan juga kentang dilecek, kami makan spaghetti dulu.


Set hidangan dalam dulang yang dinanti tiba di meja.

Kalau perut kosong memang boleh habis makan berdua!
Tapi perut sudah diisi dengan spaghetti.


Inilah yang Firdaus tunggu! Onion rings!
Seentara masih panas, memang rangup sungguh.


Rib Eye Steak

Chicken Chop


Lamb Rack.


Firdaus sudah habiskan makanannya. Sekarang dia akan bantu kami berdua makan!


Setelah perut kenyang, datang pula dessert berupa puding milo dan juga is krim.
Pelayan tanya, kalau-kalau kami hendak bawa pulang sahaja dessert tersebut, termasuk sebotol air 100 Plus serta lebihan daging dan kambing. Wokey! Terima kasih dik. Terima kasih. Nanti kami bawa pulang lebihan makanan yang dibungkus termasuklah kambing, lembu dan ayam dalam dulang!

Lebihan rib eye steak dan juga lamb rack yang dibawa pulang.

Firdaus tertidur di meja makan,


14 ulasan:

  1. Alahai, kesian Daus. Tertidur pulak lepas makan sedap2. Berbaloilah mummy dan babah lambat ambil Daus. Kita yg tekak minah saleh ni, macam rasa nak kunyah handphone, hahahah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Penat sangat tu, pagi petang sekolah.
      Baik-baik gigi tu patah ye waktu mengunyah HP hihihiiii.

      Padam
  2. Untung ler Firdaus... Makanan² nampak menyelerakan. saya sedang nak turun berat badan sekarang. Makan berpada².. tapi bila tengok makanan, memang terliur le

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat menurunkan berat badan.
      Semoga tercapai BMI yang sepatutnya.

      Padam
  3. Yarabbi...rasa nak jilat skrin hp ha...sedapnyaaaa.....alahai Firdaus....tertido ye.....lenkali ajak aunty,...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Penat sangat tu SA. Nanti Daus ajak auntie sekali ye.

      Padam
  4. Betul betul sibuk kak Amie. Malas nak drive bile jem itu biasa. Kak Amie, saya perasan ada double perenggan yang ayatnya sama.

    Bagus ada kawan kawan prihatin. Kesian Firdaus mama baba ambil lambat. Tapi takpe, dah dipujuk dengan makanan mesti Firdaus happy :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih Fizah. Kak Amie sudah padamkan perenggan yang sama tu.
      Stress juga tu Fizah kalau selalu berhadapan dengan traffic jam.

      Padam
  5. Allahu....bila terlambat ambil anak memang risau kan..
    Tambahan sekatang macam-macam cerita..
    Alhamduliah semua dimudahkan urusan dan dapat upah..hihihi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul Mama Cella. Cemas setiap detik waktu selagi belum sampai!
      Syukurlah Encik Suami dapat harung traffic jam. Kalau saya, agaknya menangis telungkup muka atas stereng kereta hihihiii.

      Padam
  6. Aduhai kak sibuk betul dan padat betul jadual kerja akak ya. Agaknya kalau akak kerja di KL mesti lagi tensen bila pagi-pagi dah kene hadap jem ye kak. Bila banyak tuntutan kerja perlu dibuat memang letih, tak perlu kerja penat membanting tulang tapi kerja dengan gunakan fikiran lagi penat sebenarnya. Nasibla kwn2 encik suami kenal Daus dan boleh tolong nasihat utk Daus tunggu dalam pagar kan. Kesian Daus makan sampai tertidur pulas kepenatan. Semua makanan tu sedap betul nampaknya kak

    BalasPadam
  7. Penat dana tulis komen tapi kena hilang ye kak, sedangkan dah tekan untuk terbitkan hahahha.
    padat betul jadual akak ya, dari pagi membawa ke petang. Rupanya di LD jem pun dah sama di KL ye kak, mungkin sebab di bandar kan. Sedap semua menu akak, bahagia bila dapat makan yang enak di kala kepenatan. Sian Daus sampai tertidur kepenatan

    BalasPadam
  8. Ini dah kali ke 3 dana tinggalkan komen dekat sini kak, sebab dua kali komen dana hilang tanpa berita. Padat betul jadual akak ya, sedap tengok semua makanan yang ada tu kak. Kesian Daus kepenatan sampai ketiduran lepas makan.

    BalasPadam