Pages

Sabtu, 15 Oktober 2022

Boleh Saya Menumpang Mandi : Antologi Anekdot Santuni Persahabatan

Bismillahirrahmanirrahim.
Petang ini Amie sambung entri hasil tulisan dalam edisi Anekdot Santuni Persahabatan. Kelmarin Amie kongsikan paparan : KALAU ADA SUMUR DI LADANG ( ANTOLOGI ANEKDOT SANTUNI PERSAHABATAN) Kali ini dengan judul Boleh Saya Menumpang Mandi. 

Antologi Anekdot Santuni Persahabatan : Kalau Ada Sumur di Ladang

Seramai 19 orang penulis bergabung tenaga menghasilkan antologi Boleh Saya Menumpang Mandi.

Amie sumbangkan anekdot bertajuk Yang Lalu Biarlah Belalu dan terbahagi kepada empat tajuk kecil iaitu:
  • Menoreh Getah pada Hari Raya
  • Main Congkak Biji Getah
  • Telur Itu Terbang
  • Siput Belitung yang Cerdik
Menoreh Getah di Hari Raya merupakan salah satu anekdot yang sangat menyentuh hati kita. Kenangan masa kecil ini tidak mungkin dapat Amie lupakan. Ketika itu segala tindakan kita biasanya hanya ikutkan perasaan sahaja. Kehidupan dalam suasana susah dan miskin, tidak memungkinkan kita menikmati suasana seperti rakan-rakan yang lain. Itulah yang terjadi kepada diri ini pada hari raya ketiga, terpaksa membantu arwah ayah dan emak kita menoreh getah! Pada masa yang sama kita sudah berjanji untuk berziarah raya bersama kawan-kawan!

Menoreh Getah pada Hari Raya.
Menoreh Getah pada Hari Raya

Pada Mac 2016, Amie bertemu semula dengan kawan-kawan sekolah rendah dalam satu program reunion. Ketika itu rakan-rakan yang berhari raya ke rumah pun ada sama:
  • Saripah datang dari Singapura. Saripah bekerja di perpustakaan di sana, dan katanya terjumpa novel kita bertajuk Teritip, terbitan DBP di National Library (Singapore).
  • Zehan, pemilik butik pakaian Anggun D'Sarung, 
  • Jaliah yang sudah bercucu. 
  • Intan, seorang guru.


Kisah Main Congkak Biji Getah pula kenangan bersama Idah, jiran sebelah rumah. Emak Idah menyuruhnya mencari kayu api, sementara kita pula emak arahkan cari cengkerang getah untuk dijadikan bahan api sewaktu membakar kuih raya. Kami ambil kesempatan korek lubang congkak di atas tanah dan kutip biji getah untuk dijadikan buah congkak. Leka bermain congkak biji getah, tak tersedar emak masing-masing datang bercekak pinggang membawa ranting kayu untuk memukul kami!
Apa agaknya khabar Idah sekarang?
Idah bersama keluarganya berpindah ke kampung sebelah sewaktu kami berumur 12 tahun. Teringat wajah emak yang sangat sedih, berpeluk dan bertangis-tangisan dengan emak Idah sewaktu mereka berpindah.

Telur Itu Terbang, membawa kisah betapa seksanya kami apabila belajar bahasa Arab. Al Fatihah buat Ustaz Mustakim, guru bahasa Arab kami. Mohon ampun ya Allah, kerana sewaktu beliau mengajar kami, kami menggelarnya Ustaz Siratul Mustakim, seolah-olah membayangkan betapa takutnya kami dengan kehadiran arwah sewaktu masuk ke kelas.

Siput Belitung yang Cerdik, kisah Amie dengan Norhayati mengutip siput belitung di pantai paya bakau. Dalam perjalanan pulang, Norhayati bercadang untuk masak asam pedas siput dengan batang keladi. Amie pula berangan-angan masak lemak cili padi siput campur daun kaduk. Oleh kerana hari sudah petang, jadi kami akan masak pada keesokan harinya. Sayangnya Amie lupa tutup baldi berisi siput, dan keesokan paginya apabila bangun dari tidur, semua siput sudah meninggalkan baldi! Mujurlah tengah harinya, Norhayati datang membawa siput masak asam pedas dengan batang keladi!


8 ulasan:

  1. Membaca sinopsis setiap kisah tu ...serasa saya juga "masuk" dalam itu cerita..Sangat dekat dengan kehidupan masa lampau.Tapi saya tak pandai menulis macam Cikgu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mama Cella memang berbakat dalam penulisan. Setiap entri yang diterbitkan dalam blog Mama Cella sentiasa mampu membawa kami menghayati coretan Mama Cella terutama kenangan-kenangan sewaktu di kampung.

      Padam
  2. Kisah-kisah yang menarik. Ada yang sedih, gembira dan kelakar. Semoga bermanfaat buat yang membaca

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah lumrahnya kehidupan kan Sal. Pelbagai peristiwa dilalui sebagai proses mematangkan diri.

      Padam
  3. Seronok tengok makin banyak buku tulisan akak sekarang ni . Kisah pengalaman masa lalu walaupun kadang ada yang pahit sedih tapi bila teringat aduhai macam-macam rasa ada

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pahit untuk pengalaman, manis apabila dikenang kan Dana.

      Padam
  4. Tahniah Kak Amie dapat menghasilkan banyak lagi anekdot. Tertinggal huruf 't' pada perkataaan getah tu kak Amie. Seronok dapat mengabadikan kenangan dalam buku.

    BalasPadam
  5. Terima kasih Fizah. Kak Amie sudah betulkan ejaan tertinggal huruf 't' itu. Terima kasih sekali lagi.
    Alhamdulillah, berkesempatan menulis buat kenangan anak cucu.

    BalasPadam