Bismillahirrahmanirrahim.
Ahamdulillah, ada rezeki bersua kembali di alam maya. Moga hari ini baik-baik sahaja. Jangan lupa sebelum beraktiviti, pastikan perut sudah di alas. Pagi ini Amie buat Lempeng Pisang Kelapa Daun Pisang. Asyik terliur sahaja melihat macam-macam sarapan pagi dan minum petang di dapur
MAMA CELLA. Memang selalu rasa teruja apabila bertandang ke dapurnya. Pelbagai masakan dan kuih tradisi yang sering dikongsi, dari ubi keladi sampailah ke segala macam sumber alam yang mungkin ada yang tak pernah mendengar apatah lagi mencicipinya. Tahniah Mama Cella! Banyak ilmu pengetahuan yang Mama Cella kongsikan. Teruskan menulis!
Idea Lempeng Daun Pisang air tangan Mama Cella mengingatkan kita kepada satu resipi Lempeng Pisang Kelapa Daun Kelapa olahan
Puan Norazaliza Tarmizi (Cikgu Liza). Kalau Mama Cella campurkan kesemua bahan seperti tepung, pisang dan kelapa dalam satu adunan dan dibakar dengan lapik daun pisang, Puan Norazaliza pula menjadikan kelapa sebagai inti lempeng. Kita sudah ada perkongsian Lempeng Daun Pisang oleh Mama Cella, jadi apa kata kita tambah koleksi Lempeng Pisang Kelapa Daun Pisang pula.
|
Lempeng Pisang kelapa Daun Pisang |
Terima kasih Cikgu Liza atas perkongsian resipi Lempeng Pisang Kelapa Dan Pisang. Amie panjangkan resipinya di sini.
BAHANNYA:
1.2kg pisang berangan yang telah dikupas kulit.(Lebih kurang 16 biji pisang saiz besar.Kalau nak guna pisang emas atau pisang abu pun boleh.)
1/3 cawan gula pasir.(Boleh tambah atau kurangkan ikut citarasa masing-masing.Kalau ikut tekak Cikgu Liza, sukatan ni dah cukup dah manisnya.)
1 sudu teh garam halus.
1 1/2 cawan tepung gandum.
1 biji kelapa parut putih digaul dengan sedikit garam.
Daun pisang secukupnya.(Dilayur atas api dahulu.)
Sedikit minyak masak untuk melengser kuali.
CARANYA:
1. Lenyekkan pisang hingga hancur.
2. Masukkan gula pasir dan garam halus. Gaul sebati.
3. Masukkan tepung dan adun sebati.(Tambahkan sedikit air sekiranya adunan terlalu pekat. Cikgu Liza tak tambah sebab kepekatan adunan yang dibuat dah menepati kepekatan yang dimahukan. Boleh tengok video yang dikongsi.)
4. Sendukkan adunan ke atas daun pisang dan ratakan.(Jangan terlalu tebal)
5. Taburkan sedikit kelapa parut di atas adunan yang diratakan tadi.
6. Lipat adunan.(Boleh rujuk gambar)
7. Lengserkan kuali/non stick pan.(Supaya daun pisang tidak melekat dan hangus)
8. Bakar lempeng pada kedua-dua belah sehingga masak.(Gunakan api sederhana kecil dan terbalikkan lempeng menggunakan dua sudip agar tidak terbuka.Lempeng elok masak jika daun pisang tidak lagi melekat pada adunan lempeng.)
***Cikgu Liza guna measuring cup untuk sukatan.
Boleh rujuk perkongsian Cikgu Liza di sini: RESIPI LEMPENG PISANG DAUN PISANG CIKGU LIZA.
|
Pisang Lemak Manis @ PIsang Empat Puluh Hari. |
Cikgu Liza sarankan gunakan pisang berangan atau pisang emas. Amie hanya ada pisang lemak manis @ pisang empat puluh hari. Jadi gunakan pisang ini sahajalah. Lain kali kalau ada pisang berangan, bolehlah buat lagi. Tentu ada beza antara pisang berangan dengan pisang lemak manis.
|
Lempeng Pisang Kelapa Daun Pisang |
Inilah antara hasil kejadian Lempeng Pisang Kelapa Daun Pisang untuk dijadikan sarapan pagi kami. Jom ambil sekeping dan kita buka bungkusannya.
|
Lempeng Pisang kelapa Daun Pisang. |
Kita suka kelapa, jadi bubuh banyak dalam lempeng! Nampak melimpah ruah inti kelapanya!
Dan satu lagi, lempeng pisang ini rasanya sangat sedap kalau dibakar lama sedikit. Walaupun nampak ada bahagian yang hangus, tetapi apabila sua ke mulut terasa kegaringannya!
Ada yang pandai makan Lempeng Pisang Kelapa Daun Pisang ini? Apa khabar agaknya Mama Cella pagi ini? Sudah sarapan ke belum? Kata Mama Cella, sedap sungguh makan lempeng pisang dengan teman karibnya, secawan kopi panas. Jadi, Mama Cella tunggu ya. Saya datang ni bawa Lempeng Pisang Kelapa Daun Pisang. Mama Cella bancuh seteko kopi hitam. Kita duduk-duduk bawah pokok simpor sambil hirup kopi dan kunyah lempeng pisang. Alangkah nyamannya. Eh, kawan-kawan yang lain marilah sekali....!
Masyaa Allah nampak menarik dan sedap lempeng cikgu..Garing dan siap ada inti..
BalasPadamNanti nak try juga la versi cikgu Liza ni..Nampak lagi menarik
Sedap kalau asingkan kelapa parut tapi kalau emak saya buat dalam lepat. Memang rasa lemak.
BalasPadamBila agaknya lempeng pisang ni nak berjangkit ke Tanah Jauhar?
BalasPadamSedap makan buat minum petang ni. Lempeng pisang kelapa daun pisang ni teringat yang viral kat Perak tu tak silap. Sedap makan panas panas ni.
BalasPadammesti sedap ni, lama betul tak masak lempeng pisang rupa gini
BalasPadam