Pages

Ahad, 12 Jun 2022

Nasi Goreng Beras Bario Perencah Ikan Liking

Bismillahirrahmanirrahim.
Selamat berhujung minggu. Hari ini merupakan hari kedua kami berada di rumah setalah lapan hari jalan-jalan cari penat. Alhamdulillah, rezeki kami sebaik pulang ke LD, rupanya besan kami pun sampai ke sini untuk menyempurnakan lawatan kerjanya. Dan pagi kelmarin beliau sempat berkunjung ke rumah kami. Mudah-mudahan sepanjang urusan tugasnya sentiasa dipermudahkan oleh-Nya. Amin.

Cerita pagi ini, setelah agak lama dapur tidak berasap, jom kita asap-asapkan... ahaks! Rakan-rakan maya sarapan apa? Amie goreng nasi, tambah ikan liking yang kami beli di Pasar Besar Kota Belud. Pertama kali makan ikan liking, rasa terus jatuh cinta! Selama ini hanya dengar cerita tentang ikan liking saja. Tak sangka aroma ikan liking begitu menggoda ketika digoreng bersama nasi.

Nasi Goreng Beras Bario Perencah Ikan Liking.

Beras Bario

Amie masak nasi gunakan beras bario yang dibeli di Kundasang. Untuk mendapatkan nasi yang masak sekata (tidak keras dan tidak lembik), Amie gunakan sukatan beras dan air 1:1.

Ikan Liking

Inilah ikan liking @ ikan masin jeruk yang Amie gunakan sebagai perencah nasi goreng. Ikan liking ini kami beli di Pasar Besar Kota Belud. Ikan liking yang berkualiti dihasilkan dari ikan talang yang segar yang belum terkena ais. Kami beli sekeping sahaja, iaitu bahagian sebelah. Harga asal ialah RM30 tetapi kami ditawarkan dengan harga RM25. Sempat juga sembang dengan penjual tentang menu masakan yang boleh dihasilkan dengan menggunakan ikan liking.

Ikan liking ini lebih kurang seperti ikan masin juga. Proses pembuatan ikan liking bermula dengan membersihkan ikan talang,  dan diperam atau dijeruk dengan garam. Kemudian dijemur hingga kering di bawah cahaya matahari yang terik. Ada dua jenis ikan liking iaitu ikan liking biasa (garam) dan ikan liking pedas (lada / cili).

Jom kita goreng nasi dengan perencah ikan liking. Bahan-bahan dari Kota Belud dan Kundasang bertemu dalam kuali di Lahad Datu....hiks!


Bahan perencah Nasi Goreng Liking

Cili Padi Putih.


Firdaus pesan supaya tambahkan cili padi. Encik Suami pula tidak suka nasi goreng yang pedas, Jadi Amie pun masukkan sahaja cili padi putih bulat-bulat dengan tangkainya ke dalam kuali nasi goreng. Kalau buang tangkai nanti terasa pedas juga! Jadi, biarlah terjun ke dalam kuali bersama tangkainya sekali.
Oh, kita tambahkan daun pandan untuk gandingkan dengan aroma ikan liking!

Bahan-bahan:
  • 4 cawan nasi sejuk
  • 1/2 cawan hirisan ikan liking
  • 3 ulas bawang putih - cincang
  • 1 labu bawang besar - cincang
  • 1 cawan hirisan kacang buncis
  • 1/2 cawan lobak merah cincang
  • 12 tangkai cili putih
  • 1 helai daun pandan - siat & simpul
  • 2 sudu besar minyak
  • 1 sudu besar marjerin
  • garam / perasa pilihan secukupnya
Cara memasak:
  1. Panaskan minyak dan marjerin.
  2. Goreng bawang putih, bawang merah, daun pandan dan ikan liking hingga garing.
  3. Masukkan lobak merah, kacang buncis dan cili putih. Goreng kacau beberapa kali.
  4. Seterusnya masukkan nasi, taburkan garam dan perasa pilihan.
  5. Gaul rata.
  6. Padamkan api dapur.



Jemput sarapan pagi dengan Nasi Goreng Beras Bario Perencah Ikan Liking. Masuk ke bilik pun masih terbau aroma dari ikan liking yang sedap itu! 

Selamat berhujung minggu.


6 ulasan:

  1. Oh, kiranya ini, Nasi Goreng Ikan Masin la ya, Kak Amie. Beras pario tu nampak lain, harus pandai gaya memasaknya tu supaya tak menjadi bubur, hihi.

    BalasPadam
  2. Baca ikan liking tertarik nak tengok apa yang "bocor"🤭
    Tengok pic hati berkata macam ikan talang..rupanya betul la ikan talang yer..Cuma belum pernah jumpa versi berlada tu..pastinya sedap digandingkan dengan beras bario..Hari ni saya masak lauk inspire dari salah satu menu yang agak selalu cikgu masak..heee nanti kita kongsikan

    BalasPadam
  3. Dana perasan akak selalu guna cili putih ni bila masak, dekat semenanjung ni jarang jumpa. Nak kena cuba tanam ni menarik betul lah. Cantik nya kak beras tu comel-comel je rupanya

    BalasPadam
  4. Pertama kali dengan beras bario ni..
    Teringin pula nak rasa nasi goreng ikan liking ni.. 😄

    BalasPadam
  5. SA pernah makan sekali beras bario tu Kak Amie...cepat kenyang kalau makan nasi dari beras bario...sedap...ikan liking tu x pernah kenal...tengok nasi goreng kak amie...terus rasa nak makan nasi goreng...SA turun food court bawah office, nak order sekali order ada 20 lagi blom dapat...sedih...ingat time ni dah xde orang order dah...

    BalasPadam
  6. beras bario istimewa sedapnya makan dgn ikan liking

    BalasPadam