Pages

Ahad, 22 Ogos 2021

Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Buah Sentul @ Kecapi

Jumpa lagi di malam minggu yang sunyi dan sepi. Angka positif Covid-19 di Sabah terus mencanak naik. Kelmarin berjumlah 2651. Hari ini 2638. Biar pun angka turun sedikit tetapi tetap mencecah 4 angka! Dengarnya di taman perumahan kami kes mencecah angka 20! Allahu Akbar. Dan dengarnya lagi mungkin akan dikenakan PKPD!

Entahlah! Cerita Covid-19 belum surut-surut!

Jom masuk dapur. Masak apa hari ini? Amie ada buah sentul. Amie temankan buah sentul dengan udang galah. Jadilah resipi Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Buah Sentul. Zaman kanak-kanak dulu, sempat kutip buah sentul dan makan cecah garam! Sekarang, nak nampak bayang pokok sentul pun susah! Nampak buah sentul dijual di pasar, terus sambar selonggok.

Menurut Kamus Dewan, buah sentul ini juga dikenali dengan nama buah kecapi.

Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Buah Sentul @Kecapi

Alhamdulillah. Hari ini dapat makan berempat. Fairuz pulang menjelang tengahari setelah selesai melengkapkan suntikan dos kedua. Seperti biasa, anak bujang yang semakin bulat ini mesti tanya: Mommy dah Masak? Mommy masak apa?

Hari ini Mommy masak:

  • Nasi Putih
  • Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Buah Sentul@Kecapi
  • Ikan Pari Masak Kicap @ Semur
  • Peria Tumis Pecah Telur
  • Satar Ikan
  • Sambal Belacan Manggis
  • Buah Nanas & Anggur

Ikan Pari Masak Kicap @ Semur

Sewaktu masak ikan pari, teringat pesanan Bonda. Bubuh banyak lada hitam! Jangan lupa bubuh rempah kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang!

Peria Tumis Pecah Telur.

Sambal Belacan Manggis.

Satar Ikan.

Nanas & Anggur.

Buah Sentul @ Kecapi.


Jom masak Udang Galah Masak Lemak Cili Padi dengan Buah Sentul @ Kecapi. Buah sentul kena buang kulit dahulu, dan kemudian rendam lebih kuang 1/2 jam di dalam air bercampur garam. Amie bubuh 1 sudu besar garam untuk merendam 3 biji buah sentul. Kenapa perlu rendam buah sentul dalam air garam? Tujuannya ialah supaya nak elak jadi lebam dan hitam serta kurangkan rasa kelat.

Setelah rendam setengah jam, hiris buah sentul, dan keluarkan bijinya. Kemudian toskan dan bilas sambil perah sedikit hirisan buah sentul itu tadi. Sekarang kita sudah sedia untuk masak udang galah dengan buah sentul.

Hirisan buah sentul di dalam rendaman air garam.



Bahan-bahan:
  • 8 ekor udang galah saiz sederhana - bersihkan - cuci dan toskan
  • 3 biji buah sentul - kupas kulit - rendam dalam air garam selama 1/2 jam - kemudian buang biji dan hiris ikut saiz yang digemari
  • 1/2 biji kelapa - kisar dengan 700ml air
  • 2 helai daun kunyit - siat dan simpul
  • garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar / tumbuk:
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 biji bawang merah
  • 2 cm kunyit
  • 2 cm lengkuas
  • 2 batang serai - hiris
  • 21 biji cili padi 
  • 1 sudu kecil belacan
Cara memasak:
  1. Letak periuk / kuali di atas dapur. Masukkan santan, bahan kisar, udang  galah dan hirisan buah sentul.
  2. Nyalakan api dapur tahap sederhana.
  3. Kacau kuah lemak sehingga mendidih.
  4. Apabila udang galah berubah warna, masukkan daun kunyit, taburkan garam / gula / perasa pilihan.
  5. Kacau kuah lemak selalu sehingga udang galah masak dan buah sentul menjadi lembut.
  6. Padamkan api dapur.

17 ulasan:

  1. Tak pernah rasa buah sentul. Buah sentul pon tak kenal. Kak.. sedap ke sambal belacan manggis tu, rare sgt

    BalasPadam
  2. Macam-macam perkara saya belajar di blog Puan Amie. Hehe ya Allah tidak tahu buah sentul boleh buat gulai.

    BalasPadam
  3. Tak pernah tahu ikan pari boleh masak lain. Selalu nampak asam pedas dan bakar je.

    BalasPadam
  4. mcm familiar tgk buah sentul tu, tp tak ingat nama lain yg pernah dgr dulu..
    sedapnya mkn udang galah masak lemak cili padi..

    BalasPadam
  5. Kalau balik Kedah, bila musimnya akan ada buah sentul di Pekan Sabtu. Sy tak pernah beli apalagi makan. Tentu sedap bila dimakan bersama kuah lemak cili api yg ada rasa udang galah. Lama pulak tak makan udang galah ni

    BalasPadam
  6. Wah,buah sentul dimasak lamak cili api.Belum pernah try.Kat kampung saya buah sentul cincang halus dimasak sambal tumis cili padi bersama anak-anak ikan(anak-anak ikan haruan yang masih halus macam bilis bewarna oren)

    Kat rumah mak saya masih ada pokok sentul besar di pintu pagar & pokok stey
    (macam sentul tapi isi lebih manis)

    BalasPadam
  7. ohhh macam masak dengan kulit rambai ye kak... dana tak pernah makan kulit buah sentul kak... pernah beli jeruk buah sentul masa ke ternagganu tapi tak reti makan nya heheheh... kalau makan yang isi dia pernahla kak... nampak sedap tu

    BalasPadam
  8. buah sentul ni kat kampung xdipedulikan pun sedap dimasakgulai kuning ya baru tau

    BalasPadam
  9. Ala buah manggis baru je habis . Kalau tidak boleh cuba buat sambal manggis tu . Menarik la

    BalasPadam
  10. Saya selalu buka blog Kak Amie, masakan hari-hari memang sedap abes..perut terus rasa lapar..huhu..elok pulak masak lemak warna kuning cantik gitu

    BalasPadam
  11. Tak pernah makan lagi buah sentul. Unik campur dengan udang masak lemak cili api. Sedapnya udang galah. teringat ingat pulak udang galah haritu. Ikan pari masak kicap, lain dari lain. biasa nampak orang masak asam pedas atau bakar.

    BalasPadam
  12. first time dengar resepi ni. buah sentul ni saya ingat-ingat lupa pernah makan ke tidak

    BalasPadam
  13. SA makan buah sentul isi dalam dia je..bahagian luar dia x pernah makan..eh nampak sentul tu sedap plak...x tau punboleh dicampurkan dalam makanan

    BalasPadam
  14. Tak pernah tau buah sentul boleh dimasak..selalu dok mkn menyicah ja atau buat jeruk..tp memang susah nk dapat skrg..

    BalasPadam
  15. lama x mkn buah sentul. dulu kt kg blkg rumah jiran kemain lebat sentulnya. laa ni tggl hutan rimba😆

    BalasPadam
  16. Tak pernah makan buah sentul, rasa dia apa kak amie? Udang galah tu toksah cakap, memang sedapp selalu! Kalau makan confirm menambah nasi kannn kak amie

    BalasPadam