Pagi tadi terpandang seikat tuhau dan sayur-sayuran di atas meja dapur. Rupanya kakak ipar kirim melalui Fairuz. Mereka sama-sama baru pulang dari Kota Kinabalu, dan singgah di Kundasang membeli sayur-sayuran. Tengah malam baru sampai LD. Waktu Fairuz masuk ke rumah, kami semua sudah tidur.
Melihat tuhau, tiba-tiba terlupa keinginan untuk makan sate bersama Encik Suami petang ini! Agaknya tuhau ini menjadi pembuka selera bagi yang mati liur. (Dalam bahasa Cocos, mati liur bermaksud hilang selera makan). Teringat pula ikan kurau masin yang dibeli di Kunak tapi belum pernah diolah. elok sangatlah kalau digandingkan dengan tuhau. Bubuh cili dan bawang besar banyak-banyak! Biasanya cili padi yang digunakan untuk masakan ini ialah cili padi putih. Tapi tidak ada pula. Tak apa. Boleh gunakan cili padi jenis yang lain.
|
Tuhau Tumis dengan Ikan Masin |
Hari ini Firdaus minta Amie sediakan cucur udang campur jagung sebagai bekalannya ke sekolah. Dua tiga hari kebelakangan ini Firdaus tak mahu bawa bekal nasi ke sekolah. Dia lebih suka bawa kuih-muih atau roti sahaja. Jadi, tidaklah Amie masakkan lauk untuknya. Amie tanya Encik Suami, lepas solat Jumaat balik rumah tak? Kalau balik Amie masak nasi. Kalau tak balik, Amie tak masak.
Oleh kerana Encik Suami kata akan balik sekejap selepas solat Jumaat, Amie pun masaklah untuk makan tengahari. Hampir dua minggu lamanya asyik makan di luar, dan beli makanan bungkus. Untuk hidangan kami berdua, Amie hidangkan nasi bersama Tuhau Tumis dengan Ikan Masin. Makan nasi dengan lauk ini pun sudah cukup sedap! Oleh kerana Encik Suami sukakan kuah sayur, jadi Amie masak rebus kepala ikan tuna dengan sayur sawi pahit dan tomato kampung. Amie tambah sambal belacan bubuh buah ceri. Banyak betul buah ceri masak, dan gugur ke bumi. Rasanya yang masam-masan itu bolehlah campurkan dalam sambal belacan.
Sayu jugalah rasa hati apabila berada di dapur. Teringat raja ayam dan raja ikan! Mudah-mudahan kedua-duanya baik-baik sahaja. Amie sangka, sebagai ibu sudah tentulah kita yang lebih-lebih teringat anak-anak. Rupa-rupanya Encik Suami lagilah teruk! Rasanya dalam sehari, dua tiga kali jugalah Amie terdengar Encik Suami telefon Abang Farid dan Fuad.
Oh! Membebel cerita lain pula. Kita cerita tentang tuhau tadi. gambar di atas Amie kongsikan dari entri lama. Biasanya tuhau ditumis bersama cili putih seperti dalam gambar atas dan bawah. Boleh klik di sini; SAMBAL TUHAU DENGAN IKAN BILIS
|
Sambal Tuhau dengan Ikan Bilis |
Ini pula tuhau tumis dengan bunga kantan dan terung pipit. Resepinya di sini: TUHAU MASAK TUMIS
Inilah rupa umbut tuhau sebelum dimasak. jarang sangat jumpa di LD. Biasanya kami beli kalau singgah kundasang. Katanya, di Malaya umbut tuhau ini dipanggil tepus kesing. Umbut kesng atau tuhau ini mempunyau bau seperti bau serangga kesing, dan baunya juga lebih kurang seperti bau daun ketumbar jawa.
Jom lihat resipi Tuhau Tumis dengan Ikan Masin di bawah ini. Gunakanlah apa-apa jenis ikan masin yang disukai. Tak ada ikan masin gunakan ikan bilis pun boleh.
Bahan-bahan:
- 3 batang tuhau - ambil umbutnya yang lembut - hiris serong
- 1 cawan hirisan isi ikan kurau yang direndam - toskan
- 2 biji cili merah - hiris
- 7 biji cili padi - hiris - boleh tambah jika suka pedas
- 1 labu bawang besar - hiris
- 3 ulas bawang putih
- 1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
- 1 sudu kecil gula perang atau gula Melaka
- garam / perasa pilihan
- minyak
Cara memasak;
- Panaskan minyak dan goreng isi ikan masin kurau sehingga masak. Angkat dan toskan.
- Tinggalkan 3 sudu besar minyak bekas gorengan ikan masin kurau di dalam kuali.
- Tumis bawang putih dan bawang besar hingga terbit aroma.
- Kemudian masukkan hirisan cili merah dan tuhau.
- Tuangkan bancuhan air asam jawa, dan gula perang /gula Melaka.
- Gaul rata dan biarkan sehingga kuah hampir kering.
- Masukkan ikan masin kurau, taburkan sedikit garam / perasa pilihan.
- Gaul dua tiga kali dan padamkan api dapur.
Sebenarnya akak tak tau apa itu tuhau tapi tengok gambar tu macam sedap je.Rasanya kalau ada depan mata pasti akak makan.
BalasPadamSaya pun dah duduk Sabah baru tahu ada tuhau. Itu pun kawan-kawan Kadazan Dusun yang perkenalkan. Katanya di Malaya pun ada, tapi namanya umbut kesing.
PadamSA x tau apa tuhau tu..maybe ada kat area SA tp ada panggilan lain kot..tp nampak macam sedap je kak amie
BalasPadamAda kot kalau rajin cari, tapi nama lain.
PadamTuhau dengan umbut tepus sama ke lain cikgu?
BalasPadamSama kot. Umbut tepus kesing.
PadamTuhau, pertama kali dengar. Kalau betul untuk pembuka selera mesti sedap tu. Tuhau makanan sayur disana ye?
BalasPadamsy igt kan umbut kelapa hahahaha jauh nau tekanya
BalasPadamtuhau tu nampak mcm serai pun ada. heheh
BalasPadamwajib dlm menu ada sambal ya
Oh, begitu rupanya tuhau. kenapa sy teringat dengan sulur keladi masak asam, hihi.
BalasPadam