Pages

Sabtu, 20 Februari 2021

Pulut Kuning Rendang Daging & Bubur Merah

Selamat berhujung minggu. Moga ceria-ceria sahaja hari ini. Cuaca di LD dua tiga harii kebelakangan ini elok nyaman. Matahari muncul setiap pagi, dan terang benderang  hingga  ke petang. Nampaknya musim hujan sudah sampai ke penghujungnya.

Kepada yang sudi singgah di dapur Amie, mari kita nikmati hidangan Pulut Kuning Rendang Daging & Bubur Merah.


Encik Suami beruara-ura agih-agihkan bubur merah kepada pekerja-pekerja pembersihan di bawah seliaannya, sebagai tanda syukur sihat dari sakit pada hujung tahun lepas. Katanya, tunggulah waktu Amie lapang bolehlah masak bubur. Tradisi masak bubur merah dan dibahagi-bahagi kepada jiran tetangga ini sebenarnya keluarga Amie pun amalkan juga terutama ketika diadakan majlis kesyukuran. Bezanya bubur merah kami diperbuat daripada nasi tetapi bubur merah keluarga Encik Suami diperbuat daripada beras pulut. 
Pada mulanya Amie tidak berani nak buat, tapi Encik Suami suruh juga. Dibelikannya beras pulut dan gula merah serta bekas plastik untuk diisi bubur merah. Katanya, buat untuk 30 bekas saja.
Amie kata, baik kita masak pulut kuning dengan satu lauk. Pada mulanya Encik Suami cadangkan lauk ayam masak kari. Tapi Amie fikir, bila makanan berkuah ini takut nanti ada yang tertumpah kalau bekas tak tutup rapat. Eloklah masak rendang daging saja. Encik Suami setuju.
Rendang daging ini selain tak berkuah seperti masakan kari, ia tahan lama  dan tidak mudah basi. Nak memasaknya pun boleh siap lebih awal,dan boleh panaskan semula. Encik suami suruh Amie masak gunakan periuk NOXXA. Katanya, periuk NOXXA yang tersimpan tak digunakan itu sudah jadi barang perhiasan pula. Entahlah! Belum tergerak hati nak masak rendang gunakan periuk itu.
Amie masak rendang gunakan dapur gas. 
Oh! Malam tadi, dapur semerbak dengan aroma segar serai, lengkuas, daun  kunyit,  daun limau purut bergabung dengan santan! Tanpa disedari, lebih 4 jam merendang daging hingga terbit minyak dengan cantiknya. Hasilnya..... masak sempurna.  Alhamdulillah.

Pulut Kuning Rendang Daging & Telur Pindang

Bubur Merah

Selepas solat Subuh, terus bergegas ke dapur. Panaskan rendang daging sebentar, dan kemudian kukus pulut kuning. Pulut sudah sedia direndam semalaman dengan serbuk kunyit. Sambil mengukus, sambil masak bubur merah. Pukul 9 pagi, semua sudah siap masuk bekas. Pulut Kuning Rendang Daging & Bubur Merah ini bukan sahaja dapat 30 bekas, malah dapat diagihkan juga untuk jiran-jiran dan ipar duai.

Dah rupa macam orang berniaga pulut kuning pulak dah!

Abang Farid tolong potong daun pisang untuk alas rendang daging, tapi ada yang panjang ada yang pendek.


Ini merupakan kali pertama Amie buat bubur merah, masakan tradisi orang Cocos.  Dahulu, sewaktu hayat MIL masih ada memang beginilah rupa bubur merahnya. Lama-kelamaan, terjumpa pula dalam kenduri bubur merah bukan warna gula merah tetapi pewarna merah! Sebenarnya Amie pun tidak pernah cuba melihat betul-betul kalau orang masak bubur merah semasa kenduri-kendara di kampung Encik Suami. Walaupun Encik Suami beli gula merah bungkus daun (tak tahu daun apa), tapi Amie gabungkan dengan gula Melaka dan gula perang. Maka, terhasillah bubur merah seperti dalam gambat atas dan bawah.


Wokey!
Semua sudah siap, hanya perlu tutup rapat dan masukkan dalam beg plastik.
Nanti Encik Suami masukkan pula dalam bakul besar dan letak di bonet kereta.


Setiap bukusan pulut kuning perlu distapler untuk elak isinya dari terkeluar  dan tumpah dalam perjalanan.


Sekarang kita masukkan bekas berisi pulut kuning & rendang daging serta bubur merah dan sebotol air ke dalam beg plastik. Semua sudah sedia untuk diagih-agihkan oleh Encik Suami. Sekarang barulah rasa letih, lewat tidur sebab merendang daging dan bangun awal untuk kukus pulut kuning.

Azan Zohor sedang berkumandang. Nak solat Zohor dan kemudian nak berehat seketika, lelapkan mata. Tadi  telinga menangkap perbualan Encik Suami dengan Abang Farid. Yang Amie dengar : Nanti Baba nak bawa Mommy makan  mee hoon sup ikan goreng rangup.
Sedap kedengarannya kan? 
Tapi tak mahu hari ini. Amie nak berehat.
Esoklah bawa kita keluar makan.

7 ulasan:

  1. Ibu Sk juga gunakan beras pulut untuk masak Bubur Merah Bubur Putih ni, Amie. Tekstur bubur tu lebih kenyal dan sedap berbanding guna beras biasa.

    Yang penting, bubur putihnya kena letak banyak2 macam Amie tu, baru kick, hihi.

    Terliur tengok pulut kuning dan rendang Amie, tentu pemakannya makan sambil lap peluh sebab sedap sangat

    BalasPadam
  2. Uittt... Ish ada chemistry sungguh tekak kita cikgu.. Hihi..
    Semalam pagi saya masak mihun goreng.. Eh, cikgu pun sedang makam mihun ikan.
    Hari ni jalan2 sini.. Berpulut la kita hari ni. Tapi saya pulut lemak sambal bilis sahaja.
    Teringin nak masak bubur merah tu(kalau nak cakap teringin nak makan pun tak nampak orang jual.. Hihihi)
    Kali terakhir makan bubur merah ni 25 tahun lalu.. Hihihi

    BalasPadam
  3. Kalau tiba time tarikh lahir anak2,mak wak akan buat bubur merah jawa ni.

    BalasPadam
  4. Tudiaaa...nasib baik SA x makan pulut..kalau tak sure nak mencari nanti ni..nampak sedap tu kak Amie

    BalasPadam
  5. Alhamdulillah berkongsi rezeki. Teringin betul makan bubur merah ni. Rezeki yang dapat merasa air tangan kak amie. Sedap pulut kuning dan rendang :)

    BalasPadam
  6. pulut kuning n rendang daging.. hmmm sedapp, teringin pulak. tapiiii xtahu ada org jual x..hehe

    BalasPadam
  7. lama dah teringin nak makan pulut kuning ni , huhuh craving

    BalasPadam