Hari ini kita BDR. Sekarang waktu rehat dan akan sambung semula pada pukul 10:30 pagi. Pagi tadi terdengar Encik Suami bersuara: Bosanlah setiap hari beli sarapan. Kita pun tak tanya, adakah bosan membeli atau bosan dengan menu yang sama dibeli setiap hari? Kita pun rasa bosan juga setiap kali pulang kerja, di atas meja ada saki baki mee hoon goreng, mee goreng dan sisa-sisa gigitan ayam goreng.
Tak payahlah beli sarapan pagi ini. Nanti boleh buat sarapan. Kita sahut.
Setelah menghantar Fairuz ke sekolah, Encik Suami pulang sebentar ke rumah sebelum ke tempat kerjanya. Tetap juga dibelinya mee hoon goreng dengan mee goreng walaupun Amie sudah kata nak buat sarapan. Abang Farid pun tak mahu makan walaupun ada ayam goreng! Raja ayam pun pandai bosan juga!
Abang Farid suka sangatlah sebab ada cucur udang! Ada sedikit lebihan nasi semalam, Amie goreng dengan kerang. Bubuh cili padi. Pedas berapi!
|
Nasi Goreng Kerang Pedas Berapi & Cucur Udang Campur Jagung |
|
Nasi Goreng Kerang Pedas Berapi
|
Lama sungguh tak makan nasi goreng kerang. Sedap sangat sarapan pagi dengan menu ini, ditambah pula dengan rasanya yang pedas berapi sebab gunakan cili padi kampung! Sudah kepedasan, hirup minuman panas pula! Walllaaa.... berasap telinga. Mari abadikan Nasi Goreng Kerang Pedas Berapi di sini.
Bahan-bahan:- 2 cawan nasi putih sejuk
- 3/4 cawan isi kerang
- 3 batang kacang panjang - hiris
- garam / perasa pilihan
- 3 sudu besar minyak
Bahan tumbuk:
- 2 ulas bawang putih
- 3 biji bawang merah
- 10 biji cili padi kampung
- 1/2 sudu kecil belacan
Cara memasak:
- Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk hingga terbit aroma.
- Masukkan kerang. Kacau beberapa kali dan biarkan seketika.
- Kemudian masukkan nasi diikuti kacang panjang.
- Gaul rata.
- Seterusnya masukkan garam / perasa pilihan secukupnya.
- Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
|
Cucur Udang Campur Jagung |
Cucur Udang Campur Jagung ini sudah banyak kali Amie kongsikan di dapur maya ini. Harapnya, hari ini Abang Farid tak berkelahi dengan Firdaus sebab awal pagi sudah bersarapan dengan menu kegemarannya ini. Sejak Amie kembali ke tempat kerja, Amie minta tolong Abang Farid pantau PDPR Firdaus. Memang perlu kesabaran yang tinggi untuk memantau kerja-kerja online ini. Firdaus perlu sertai google classroom untuk beberapa mata pelajaran. Beberapa kali jugalah terdengar Abang Farid tinggikan suara memarahi Firdaus sebab Firdaus tak fokus siapkan tugasan yang diberi. Terkejut jugala Amie, sebab sebelum ini tak pernah dengar Abang Farid berteriak begitu. Amie fikir apabila Abang Farid boleh bantu Firdaus, tidaklah sampai malam Firdaus buat kerja sebab tunggu Amie balik ke rumah. Amie nasihatkan Abang Farid supaya banyak bersabar melayan karenah adik sekecil Firdaus. Abang Farid banyak mengeluh kerana Firdaus banyak bertanya kepadanya ketika siapkan kerja-kerja yang diberi.
Saya pun ada kerja nak siapkan juga, keluh Abang Farid kerana rasa sangat terganggu.
Sesungguhnya PDPR sangat mencabar! Mana nak rakam suara bacaan Quran, rakam suara untuk sebutan tatabahasa, mana nak ambil gambar kerja Matematik, Sains, Bahasa Inggeris yang sudah siap. Semuanya perlu dihantar kepada guru. Memang banyaklah yang akan terlepas pandang kalau kita pun tidak fokus betul-betul. Tidak hairanlah kerana berebut masa, sampai malam baru siap kerja. Kadang-kadang bersambung pada hari lain pula.
Hari ini Firdaus perlu siapkan lukisan. Tugasan diberi pada hari Selasa dan dihantar hari ini. Syukurlah pada hari Rabu, Encik Suami dapat juga beli buku kertas lukisan saiz A3 seperti yang dikehendaki oleh gurunya.
Teknik melukis sangat berbeza dengan zaman dahulu, zaman Amie belajar di sekolah rendah. Arasnya pun jauh lebih tinggi. Maklumlah semua subjek perlu ada unsur KBAT.
Dari kelmarin, Firdaus cuba melukis. Tak siap juga.
Pagi tadi, sambil menangis sambil mewarna menggunakan teknik yang diberi.
Lukisan Daus jelek, katanya
Tak apa dik. Adik sedang belajar. Walaupun jelek tapi adik yang buat sendiri. Bukan Mommy, bukan Abang Farid yang buat.
Inilah hasil lukisan Firdaus. Biar apa pun bentuk hasilnya, penghargaan perlu diberikan. Anak-anak kita lahir bukan terus pandai segalanya.
sedapnya nasi goreng kerang tu kak amie.
BalasPadamSedapnya nasi goreng kerang, SA x pernah lagi buat nasi goreng campur kerang...biasa buat mee goreng kerang je
BalasPadamMenariknya nasi goreng kerang tu kak amie. Tak pernah cuba lagi masak nasi goreng kerang. Boleh cuba nanti. Kadang kadang jemu, terus hilang selera makan tu. Kena bertukar tukar menu baru tak jemu dan rasa sedap :) Saya pun asyik makan ayam je sampai sekarang boleh boleh terima ayam lagi. huhu
BalasPadamSyukur ada Abang Farid tolong ajarkan Firdaus. Memang kena sabar lebih ajar budak budak ni. PdPR ni memang mencabar betul.
BalasPadamSedapnya cucur udang ada jagung.. Nasi goreng kerang pun.
BalasPadamZaman kita dulu baya Firdaus masih lukis orang lidi & pemandangan bukit bentuk nasi lemak. Ini macam ni punya lukisan taraf kita sekolah menengah dah ni.. Bwratabahlah anak-anak
pandainya dia lukissssss
BalasPadamNasi goreng kerang tu nampak begitu sedappp
BalasPadammcm mana nak pilih rice cooker malaysia terbaik ye?
BalasPadam