Pages

Sabtu, 23 Januari 2021

Pengat Ubi Kayu Campur Sagu Biji & Jagung

Sebaik sahaja kaki melangkah meninggalkan dapur, hujan yang turun sejak tengahari tadi pun berhenti. Tidak kedengaran lagi rintik-rintik bunyi titisan hujan jatuh di atas bumbung rumah. Sebentar tadi kami menikmati Pengat Ubi Kayu Campur Sagu Biji & Jagung. Pengat begini selalu Bonda hidangkan sebagai pemanis mulut ketika berbuka puasa. Bila hujan-hujan dapat hirup pengat yang masih panas ini terasalah keenakan kuahnya yang lemak-lemak manis.

Teringat tatkala Bonda hendak masak pengat ubi kayu. Cabut saja pokok ubi di kebun, dan patahkan jagung sebiji dua dari batangnya. Dulu, kena parut kelapa. Tidak seperti sekarang, boleh gunakan santan kelapa segera samada bentuk serbuk atau pati santan dalam kotak. Hasil pengat pun agak berbeza sebab dulu gunakan ubi kayu segar, tapi yang Amie masak petang tadi ubi kayu dah lama terbiar beberapa hari. Syukurlah tak masuk angin lagi. Sedap betul makan pengat ubi kayu air tangan Bonda. Ketika kami menikmatinya terasa seolah-olah makan dalam syurga!

Pengat Ubi Kayu Campur Sagu Biji dan Jagung.

Ketika menyediakan pengat ubi kayu, sempat juga mengenepikan sedikit ubi rebus untuk dimakan bersama sambal tumis cili padi. Hujan-hujan begini, makan apa pun sedap apalagi yang panas-panas!



Ubi kayu rebus, sambal tumis cili padi dan secawan kopi.

Amie kongsikan resepi Pengat Ubi Kayu Campur Sagu Biji & Jagung yang selalu Bonda buat. Dulu Bonda gunakan gula merah dan tambahkan gula pasir, jadi warna pengat lebih gelap. Hari ini Amie gunakan gula Melaka, dan warnanya agak berbeza sedikit dengan gula merah.

Bahan-bahan:
1 biji ubi kayu - anggaran 400 gram
3/4 cawan parutan gula Melaka - jika suka manis boleh tambah
2 sudu besar gula pasir (kurangkan atau tambahkan ikut citarasa)
1 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
2 sudu besar sagu biji - rendam seketika dan toskan airnya
1 cawan isi jagung
secubit garam
1 helai daun pandan - siat dan simpul

Cara memasak:
  1. Kupas ubi kayu dan potong  ikut saiz yang disukai.
  2. Rebus dengan sedikit garam hingga empuk. Angkat dan toskan.
  3. Masukkan santan cair dan santan pekat, isi jagung, sagu biji, daun pandan, secubit garam dan gula Melaka serta gula pasir di dalam periuk.
  4. Masak dengan api perlahan. Kacau selalu sehingga gula larut dan sagu biji kembang.
  5. Akhir sekali masukkan ubi kayu. 
  6. Biarkan masak seketika di atas dapur dan kemudian padamkan api.

6 ulasan:

  1. sedapnya :)
    ubi rebus! feveret emak abah aida tu.
    cicah sambal goreng. wow!

    ari ni plan awal nak buat bubur jagung manis.
    lastly, jadik puding jagung :) ha ha ha ha...

    BalasPadam
  2. Sedapnyabpengat ubi kayu.. Kegemaran tu

    BalasPadam
  3. @namakucella Selalu nampak Mamacella buat pengat. Akhirnya sampai juga pengat di sini hihihiii.

    BalasPadam
  4. Favourite ni kak amie. Kalau mak-mak buat memang terbaik. Sedap lain macam :)

    BalasPadam