Pages

Selasa, 19 Januari 2021

Ayam Masak Semur @ Kicap Paling Sedap!

Hari ini Amie olah Ayam Masak Semur @ Kicap. Ayam Masak Semur @ Kicap sangat popular dalam kalangan masyarakat Jawa di Malaya. Hidangan ini sering disajikan sewaktu kenduri-kendara terutamanya dalam hidangan nasi ambeng. Menjelang hari raya pula, ia turut dihidangkan untuk dinikmati bersama ketupat. 

Ayam masak semur pada hari ini sudah berbeza berbanding dahulu. Itu antara tutur bicara Bonda beberapa tahun lalu ketika kami bercuti di Malaya.

Orang sekarang, bubuh macam-macam dalam masakan semur. Tambah sos tiram. Tambah sos itu, sos ini.

Mana mak tahu?

Mak nampak orang masak waktu rewang kenduri di kampung. Lain dah rasanya, tak sama dengan masakan orang dulu.

Yang bubuh itu ini, tambah sos itu ini namanya masak kicap mak. Yang masak semur masih sama bahannya. Amie cuba sedapkan hati Bonda. 

Jangan sedih Bonda. Olahan-olahan baru dalam masakan itulah namanya kreativiti mengikut rentak zaman. In shaa Allah Ayam Masak Semur masih ada peminatnya yang tersendiri dan diolah mengikut cara masakan yang asli. Untuk itu, Amie abadikan untuk kesekian kalinya Ayam Masak Semur di sini supaya boleh menjadi rujukan kepada pencinta resipi masakan tradisional khususnya masakan citarasa masyarakat Jawa.

Ayam Masak Semur @ Kicap

Senang hati Abang Farid sebab ada lauk ayam. Anak-anak tercari-cari kuah, tetapi Amie masak agak kering. Untuk Encik Suami pula Amie panggangkan setengah ekor ikan bulan. Ikan bulan ini rupa bentuknya ala-ala ikan terubuk tapi ukurannya lebih panjang. Banyak tulang tetapi isinya berlemak. Ada latuk @ rumpai laut cecah sambal (tak tahu nak bagi nama apa sambal itu), dan juga kerabu taugeh campur kerang.

Ikan Bulan Panggang

Latuk

Sambal : Cili merah & cili padi kisar bersama bawang merah dan tomato. Tambahkan perasa dan jus limau kasturi.

Kerabu Taugeh & Kerang


Hirisan Limau Sunkist

Hujan sepanjang hari. Diluar gelap, di dalam rumah lagi gelap. Gambar pun tak berapa jelas. Jom Amie kongsikan resipi Ayam Masak Semur masakan orang kampung kami sejak dahulu. Amie tambahkan suhun di akhir masakan. Sekarang, jarang orang jumpa suhun dalam masakan begini. Tiada penambahan bancuhan air tepung jagung untuk pekatkan kuah dalam masakan ini. Barangkali, rasional orang dulu-dulu memasukkan suhun bertujuan untuk menyerap kuah sehingga kuah semur menjadi pekat. 
Ayam hendaklah terlebih dahulu diperap dengan garam kunyit dan digoreng hingga masak. Kentang pun digoreng juga. Penggunaan rempah wajib termasuklah lada putih atau lada hitam, buah pelaga, kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang. Rempah-rempahan lain  seperti ketumbar, jintan putih dan jintan manis hendaklah ditumbuk halus atau dikisar. Bonda pesan, jangan gunakan banyak sangat rempah-rempahan ini. Bila Amie tanya, berapa sukatannya. Ambil sejemput saja kata Bonda. Sejemput itu Amie fahami sekadar 1 sudu kecil sahaja. 
Kicapnya pula, kena gunakan kicap manis. Oleh kerana ayam sudah diperap dengan garam kunyit, jadi tak perlu tambah garam lagi dalam masakan. Untuk 1 kg ayam, Amie hanya perap dengan 1 sudu kecil garam halus dan satu sudu kecil serbuk kunyit.



Bahan-bahan:
  • 1 kg daging ayam - potong menjadi 12 bahagian
  • 4 biji kentang - kupas kulit dan belah 4
  • 1 cawan kicap manis
  • 1 labu bawang besar - belah 6
  • 1 sudu kecil pati asam jawa
  • 1 cawan air
  • 1 sudu besar lada putih / lada hitam - tumbuk
  • 1 batang kulit kayu manis
  • 3 biji buah pelaga
  • 3 kuntum bunga lawang
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • 1 cawan suhun yang sudah direndam dan ditoskan
  • garam / gula / perasa pilihan - jika perlu
Bahan tumbuk :
  • 3 ulas bawang putih
  • 5 ulas bawang merah
  • 2 cm halia
  • 1 sudu besar biji ketumbar
  • 1 sudu kecil jintan putih
  • 1 sudu kecil jintan manis
Cara memasak:
  1. Gaul ayam dengan satu sudu kecil  garam dan serbuk kunyit. Perap seketika dan kemudian hingga masak dan ketepikan.
  2. Goreng kentang hingga kuning keemasan atau sehingga masak dan ketepikan.
  3. Panaskan 4 sudu besar minyak bekas gorengan ayam. Tumis semua bahan tumbuk bersama kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang sehingga wangi.
  4. Masukkan asam jawa, air dan kicap. Biarkan sehingga kuah mendidih.
  5. Masukkan ayam dan masak sehingga kuah pekat.
  6. Masukkan lada putih / lada hitam dan gaul sebati.
  7. Perasakan dengan sedikit garam dan gula, tetapi sekiranya anda menggunakan kicap manis seperti Kicap Cap Kipas Udang (Habhals), tidak perlu masukkan garam dan gula kerana kicap ini sudah cukup rasa.
  8. Setelah kuah kelihatan pekat seperti yang dikehendaki, barulah masukkan kentang goreng, hirisan  bawang besar dan cili merah serta suhun. 
  9. Gaul beberapa kali dan segera padamkan api.

11 ulasan:

  1. Betul ni resepi ori masa nenek ajar sy masak ayam masak kicap darjah 6 dulu.. dan betul juga skrg sy tambah sos tiram jadinya ayam sos tiram, tambah blackpepper sos jd ayam blackpepper.. jgn lupa tuang kicap manis jugak 😂

    BalasPadam
  2. resepi jawa...mentua selalu masak semur ni

    BalasPadam
  3. Ohh ada tambah rempah ratus ye masakan kicap asalnya. hari ni belajar nama ikan bulan pula kak amie. Cuaca mendung memang tak syok ambil gambar..tapi gambar kak amie semua lawa.

    BalasPadam
  4. Owh, namanya masak semur. Kalau tempat saya di Kedah.. Masak kicap tu dipanggil masak toyu... Hihihi

    BalasPadam
  5. Sedapnya masak semur ada soohon. Yummy

    BalasPadam
  6. Orang dulu masak memang suka bermacam rempah. Tu yang rasa lagi kick

    BalasPadam
  7. atie pernah try latuk, tapi tak kena dgn tekak

    BalasPadam
  8. Alhamdulillah, sedap sedap semuanya.

    BalasPadam
  9. Suami suke kalau mak saya atau saya masak semur..lagi2 kalau daging..sama original resepi macam Kak Amie kongsi disini.. sedapnyer .. lame xbuat

    BalasPadam
  10. Menu kegemaran anak2 kt rumah akak ni amie

    BalasPadam