Pages

Jumaat, 6 November 2020

Buah Kluwih Masak Lemak Cili Padi dengan Ikan Masin

Dua hari lepas, ketika dalam perjalanan pulang dari membeli barang dapur bersama Encik Suami, mata terpandang warna hijau buah sukun di gerai tepi jalan. Minta Encik Suami berhentikan kereta sebab nak beli buah sukun. Bolehlah digoreng buat minum petang anak-anak. Bila Amie tanya berapa harga sebiji buah sukun tersebut, peniaga digerai beritahu: Ini bukan sukun. Ini kemangsi. Bukan untuk digoreng macam sukun. Boleh dimasak buat sayur macam sayur nangka. Amie pun belilah sebiji.

Tanya Pak Google, apa itu buah kemangsi? Pak Google tunjukkan nama buah kemanci. Rujuk Wikipedia, katanya buah kemangsi ini nama saintifiknya artocarpus camansi dalam keluarga Moraceae. Ia berasal dari New Guinea, Kepulauan Maluku dan Filipina. Katanya lagi, kemangsi @ kemanci ini merupakan nenek moyang liar dari sukun dan kadang-kadang buah ini dipanggil sukun berbiji. Selain buah sukun, sanak saudara buah kemanci ini ada lebih kurang 60 jenis termasuk buah nangka, cempedak, dan tarap. Nama lain yang disebut sama maksud dengan kluwih ialah kulur.

Buah Kluwih Masak Lemak Cili Padi dengan Ikan Masin

Buah kemangsi @ kemanci@ kluwih @ kulur.


Jom masak buah kluwih @ kemanci ini. Buah ini agak bergetah, jadi kena hati-hati sewaktu mengupas kulitnya. Cara masakan sama seperti kita masak nangka muda. Rebus terlebih dahulu hingga empuk, kemudian oleh ikut selera. Amie tambahkan tulang dan kepingan ikan putih masin.

Bahan-bahan:
1 biji buah kluwih (500 gram) - kupas kulit - potong ikut saiz yang digemari
800 ml santan cair
250 ml santan pekat
2 batang serai - dititik
1 keping asam gelugor
4 keping isi ikan putih masin + 2 keping tulang ikan putih masin - rendam 1/2 jam - toskan
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk / kisar:
30 biji cili padi kampung warna hijau
3 cm kunyit hidup
1 sudu kecil belacan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Cara memasak:
  1. Buah kluwih hendaklah dicelur terlebih dahulu sehingga hampir empuk - lebih kurang 20 minit . Toskan.
  2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar serta serai hingga terbit aroma. Gunakan api sederhana.
  3. Masukkan ikan masin dan asam gelugor. Tuangkan santan cair dan kemudian masukkan buah kluwih.
  4. Apabila buah kluwih sudah masak empuk, tuangkan santan pekat.
  5. Kacau selalu, dan kemudian perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
  6. Kacau beberapa kali, dan padamkan api dapur.

Buah Kluwih Masak Lemak Cili Padi dengan Ikan Masin dah siap!

13 ulasan:

  1. First time dengar buih kluwih. Rupa macam sayur nangka pun ada jugak

    BalasPadam
  2. Anak benih daripada biji buah kluih ini digunakan sebagai pokok penanti untuk membiakkan pokok sukun sebab buah sukun tiada biji benih.

    BalasPadam
  3. firstime sy tgk dan denr nama buah ni
    kalau mcm nangka muda ,sedappp tuh kan
    sukaa nangka muda masak lemak kuning

    BalasPadam
  4. Mmg tak pernah tau nih.
    Tentu sedap, lemak2 macam makan sukun.

    BalasPadam
  5. Makan dengan nasi panas, bertambah-tambah ni. Sedap.

    BalasPadam
  6. tak pernah dgr pun tgg buah ni, baru first time.. mcm nangka eh isi dia

    BalasPadam
  7. Pertama kali dengar nama buah ni. Saiz lebih kurang sukun, kulit macam durian, dalam macam nangka. banyak dia punya persamaan buah ni. Kalau isi macam nangka memang sedaplah buat sayur lemak

    BalasPadam
  8. Di Sarawak panggil buah pulur. Bijinya sedap dimakan juga. Empulur boleh jd sayur..

    BalasPadam
  9. Ni first time zumal dengar tentang buah ni

    BalasPadam
  10. Macam buah sukun.beza nye duri dia agak tajam seperti durian.beza degn durian pulak tangkainye besar..

    BalasPadam