Pages

Ahad, 16 Ogos 2020

Nasi Kuning & Min Satay Corner di Sandakan

Apabila dunia berada di hujung jari, semua informasi terkini sudah di depan mata. Hanya perlu memilih mana yang berkenan sahaja. Sama seperti mencari dan memilih tempat-tempat makan yang belum dikunjungi.  Beberapa minggu yang lalu, kami jalan-jalan ke Sandakan. Saja cari penat.... ahaks! Pergi pagi, balik petang. Jauh tak jauh, lebih kurang 178 km juga jaraknya Lahad Datu dengan Sandakan. Ikut standard pemanduan, lebih kurang 2 jam 41 minit. Mengikut panduan CutWay, penggunaan minyak kenderaan dianggarkan sebanyak 11.38 liter dengan jangkaan harga RM19.34 sen pada harga bahan bakar RM1.7 sen seliter. Memandu di awal pagi memang menyeronokkan. Tak perlu gunakan air-cond, buka saja tingkap kereta dan menyerbulah angin pagi menerpa wajah! Nyaman bah!
Sayangnya, di sesetengah perjalanan, terpaksa memandu perlahan sebab jalan rosak, tanah mendap dan sebagainya. Hampir pukul 9 pagi jugalah kami sampai ke Sandakan tetapi kami berhenti untuk sarapan pagi di Bandar Prima, dan kemudian teruskan perjalanan ke bandar Sandakan. Sandakan berasal dari bahasa Suluk yang bermaksud tempat yang dipajak.
Sandakan mempunyai beberapa nama seperti:
Kampung Jerman  (German),  kerana ada beberapa pengkalan German di situ.
Elopura, yang bermaksud bandar  indah. Nama Elopura ini diberikan oleh Syarikat Borneo Utara British.
Sandakan juga pernah mendapat julukan Little Hong Kong disebabkan ramainya kedatangan kaum Cina  (Kantonis dan Hakka) dari Hong Kong berhjrah ke situ. 
Wokey!
Kita cerita tentang sarapan pagi kami di Bandar Prima. Kami menuju ke Restoran Haji Tamrin  Nasi Kuning Tawau. Namanya Nasi Kuning Tawau tapi di Restoran Cawangan Sandakan. Boleh klik FB di sini untuk lebih lanjut : Restoran Haji Tamrin - Cawangan Sandakan

Melalui pembacaan Amie di FB, ada kelainan sedikit hidangan nasi kuning di restoran ini.

Ketika kami sampai, penuh kenderaan di tempat letak kereta di hadapan Restoran Haji Tamrin.

SOP sentiasa dipatuhi dan kami dapat duduk di bahagian hujung restoran.

Amie dan Encik Suami meminta nasi kuning sambal ikan dan telur. Beginilah rupa nasi kuning di sini. Sambalnya banyak, telur rebus digoreng, dan ada tambahan serunding. Sup kosong semangkuk kecil tidak ketinggalan dihidang sama.


Fairuz dan Firdaus meminta nasi kuning ayam goreng berempah. Ada telur rebus goreng dan juga sambal serta serunding kelapa.

Berselera sungguh abang dengan adik ini makan nasi kuning. Setakat ini lauk nasi kuning ayam goreng berempah memang kami tidak pernah temui di Lahad Datu.

Habis licin pinggan nasi kuning serta semangkuk kecil sup kosong!

Rezeki jalan-jalan ke luar daerah, dapat berkenalan dengan hidangan yang agak berbeza dari kebiasaan. Gambar atas dan bawah, nasi kuning dengan lauk yang biasa kami makan di Lahad Datu.

Sebenarnya di Lahad Datu memang sudah ada pilihan lauk nasi kuning selain dari ikan dan telur. Di kebanyakan gerai, ada ayam masak sambal, sotong, tempe dan sebagainya, tapi nasi kuning sambal ikan dan telur rebus juga yang orang cari...ahaks!
Dalam perjalanan pulangnya pula, kami singgah di Bandar Nasalim pula. Kami mencari Min Satay Corner yang juga selalu lalu lalang di halaman FB kami. 



Siapa tak terliur melihat sate seperti dalam gambar: Min Satay Corner. Mari kita cuba sendiri rasa sate yang diwar-warkan sangat sedap di Sandakan ini!



Menjelang pukul 2 petang, kami tiba di Min Satay Corner. Ketika kami sampai memang penuhlah semua tempat duduk, tapi kami bernasib baik sebab ada meja kosong di sudut.

Fairuz nak minum jus buah dari bekas air cylinder. Kami minta jus nanas tapi tidak ada. Minta jus buah lain, juga tidak ada. Katanya ada jus durian belanda. Bunyinya macam sedap tu. Terbayang jus sirsak di Indonesia yang masam manis! Nyamannya kalau dapat minum! Tidak lama kemudian datanglah satu bekas air jus durian belanda. Biasalah kalau datang air dahulu, memang asyik nak minum saja sebelum makanan sampai!

Ada bungkusan daun pisang di hadapan kami. Amie buka kalau-kalau isinya boleh dimakan. Isinya tapai pulut tapi belum masak! Amie semat semula penyucuk lidi pada bungkusan daun pisang itu.

Gado-gado Encik Suami sampai dahulu.

Firdaus memang cari mee goreng!

Tak lama kemudian sampailah sate yang kami pesan iaitu sate kambing dan sate ayam.


Fairuz minta mee hoon sup ayam dan Amie pula minta mee hoon sup daging.

Jom makan.
Bismillah.

Kenyanglah perut kami berisi sate dan sup di Min Satay Corner.
Alhamdulillah. 
Jom teruskan perjalanan balik ke Lahad Datu.

Antara oleh-oleh dari pasar Sandakan yang kami bawa pulang.


Buah sentol saiz besar (gambar atas).Buah sentol saiz kecil (gambar bawah). Kata peniaga buah sentol di pasar Sandakan, boleh masak buah sentol dengan ikan! Bila Amie tanya macamana nak masaknya, kata peniaga itu dia hanya dengar orang yang kata, tapi dia sendiri tak pernah masak! Nanti cuba tanya Pak Google kalau-kalau ada resepi buah sentol masak dengan ikan!

Sekian.
Jalan-jalan cari makan di Sandakan.

2 ulasan:

  1. Hidangan yang sedap dan menyelerakan betul. tengok tu, licin pinggan.

    BalasPadam
  2. amboi sedap betu tgk nasi kuning dgn satay..td petang baru dapat mkn satay..lama juga shida xmkn satay sebenarnya..

    BalasPadam