Jumpa lagi di pagi minggu yang nyaman.
Hari ini tidak ada aktiviti keluar rumah seperti sebelum ini.
Selepas solat Subuh, bergegas ke dapur.
Buka tingkap dan pintu dapur, angin dingin menerpa ke wajah!
Suhu sejuk begini, alangkah nikmatnya dapat hirup minuman panas barang secawan!
Melalui celah tingkap dapur, dapat melihat kelibat Encik Suami sedang sibuk dengan rutin mingguannya! Banyak pasu bunga sudah disusun memenuhi setiap penjuru halaman, sehinggalah ke pintu dapur. Nampaknya aktiviti kegemarannya sepanjang PKP dan PKPB diteruskan sehingga ke hari ini. Mudah-mudahan hidup subur semua tanam-tanamannya. Terima kasih juga kerana membantu menyiapkan kerja-kerja rumahtangga, meringankan beban dari dalam rumah sehinggalah ke luar rumah.
Menu sarapan pagi kami sekeluarga pagi ini ialah nasi lemak. Amie masak nasi lemak bubuh halba. Sambalnya pula sambal udang kering. Memang syok sendiri masak nasi lemak di dapur pepagi buta! Matahari belum terbit lagi. Dalam suhu sejuk, aroma sambal udang kering yang sedang ditumis di kuali menerjah ke luar melalui tingkap dapur! Ditambah pula dengan nasi lemak halba, bercampur aroma daun pandan!
Seronoknya kalau dapat makan begini di tepi pantai berkelah bersama keluarga atau kawan-kawan! Lama sungguh tak berekreasi di tepi laut seperti dahulu, sebelum berlakunya Perang Tanduo. Di pantai timur Sabah memang banyak pantai yang cantik, dipenuhi dengan pulau-pulau kecil yang indah dan bersih. Sayangnya, kalau nak berkelah memang berfikir 99 kali. Maklum sahajalah, daerah kami bukanlah termasuk dalam kategori pantai yang dijamin selamat 100%!
Wokey!
Agaknya Encik Suami terlupa ambil daun pandan di belakang rumah. Jadi, sementara menunggu daun pandan sampai ke dapur melalui tingkap dapur, eloklah sediakan bahan untuk masak sambal terlebih dahulu. Sambal perlu disediakan lebih awal kerana ambil masa untuk memasaknya. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 helai daun pandan - siat dan simpul
3/4 cawan minyak
2 sudu besar gula melaka parut
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
25 gram belacan - hancurkan
1 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan - kisar halus
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
Bahan kisar:
30 tangkai cili kering - rebus - toskan
3 labu bawang besar
10 biji bawang merah
5 ulas bawang putih
(Jika sukakan sambal yang lebih pekat, tambahkan 5 biji buah keras dalam bahan kisar. Amie tak bubuh sebab lupa, tapi sambal tetap sedap!)
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan daun pandan, belacan serta udang kering kisar. Tumis hingga terbit aroma.
2. Masukkan bahan kisar, gula melaka dan gula pasir.
3. Biarkan masak dengan api sederhana.
4. Apabila terbit minyak, masukkan bancuhan asam jawa dan biarkan mendidih, sehingga terbit minyak sekali lagi.
5. Jika kurang rasa, bolehlah tambah Maggi Cukup Rasa atau garam / gula dan sebagainya. Sebenarnya belacan dan udang kering sudah sedia memberi rasa masin dalam sambal. Apa pun, sesuaikan rasa mengikut selera masing-masing.
Ketika menunggu sambal terbit minyak, Amie sempat sediakan teh panas. Masak serbuk teh bersama 1.5 liter air di dalam cerek, bubuh sedikit gula batu dan masukkaan tiga helai daun pandan yang disiat dan disimpul. Kami sekeluarga cukup menggemari minuman ini. Amie gunakan serbuk Teh Ceylon 888, teh kegemaran dari zaman dahulu lagi! Sambil masak di dapur, sambil hirup secawan teh panas!
Untuk memasak nasi lemak pula, Amie masak seperti biasa dalam rice cooker. Jika inginkan aroma yang lebih menggoda, bolehlah tumis dahulu bahan perencah dengan minyak masak atau marjerin, kemudian masukkan beras dan santan.
Bahan-bahan:
4 cawan beras biasa - cuci bersih dan toskan airnya
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
1 sudu kecil halba
3 cm halia - hiris
3 biji bawang putih - hiris
sehelai daun pandan (disiat-siat dan disimpul)
1/2 sudu kecil gula pasir
1 sudu kecil garam
Cara memasak:
1. Masukkan beras ke dalam periuk nasi (rice cooker) bersama semua bahan lain.
2. Tekan butang 'on' dan biarkan sehingga masak seperti memasak nasi biasa.
Selain sambal udang kering, Amie tambahkan udang goreng sebagai lauk pilihan. Amie goreng 600 gram udang kertas saiz besar. Bubuh garam dan serbuk kunyit sedikit saja, dan perap seketika, kemudian goreng hingga masak.
Sementara menunggu nasi lemak tanak, kita siapkan dahulu lauk-pauknya seperti telur rebus, ikan bilis goreng, kacang tanah goreng (Amie gantikan dengan kacang gajus), hirisan mentimun, dan juga lobak merah celur. Amie tambahkan lobak merah sebab ada raja lobak nak makan! Siapa lagi kalau bukan Fuad!
Hidangan nasi lemak and the gang sudah siap!
Sibuklah Firdaus memanggil Encik Suami di luar, dan juga Fuad dan Fairuz yang masih memerap di dalam bilik!
Hasil tuaian Encik Suami di pagi minggu. Dua biji mangga udang yang sudah masak.
Yang masak ranum nan sebiji ini bolehlah dibuat jus!
Jom sarapan pagi!
Bismillah.
Alhamdulillah. Kenyang sampai tengahari dengan bersarapan nasi lemak halba sambal udang kering dan minum Teh Ceylon 888 yang manis-manis manja gula bantu serta harum aroma daun pandan.
Dah selesai bersarapan, Encik Suami menyambung kerjanya membersihkan keliling rumah.
Tiba-tiba terdengar suaranya memanggil dari luar. Rupanya ada lagi mangga udang sudah masak. Setiap biji mangga udang ini beratnya melebihi 2 kg.
Cerita nasi lemak disisipkan sekali dengan mangga udang.
Memang musim mangga di Sabah sekarang ya Kak, Saya dapat kiriman mangga udang dari anak sepupu di sandakan, puas makan dari sebiji mangga.
BalasPadamNasa, memang banyak pokok mangga berbuah, tapi yg dijual tetap juga mangga dari Philipine dan Indonesia.
Padammantap, jadi laper kaka
BalasPadamhttps://berguruseo.com
terbaiklah kak.... paling best bila kacang tu pakai kacang gajus sedap dia lain macam,
BalasPadamdana hujung minggu aritu pun menu nasi lemak juga tapi sambal sotong kembang
Nasi lemak versi premium ni kak amie. ada udang goreng, kacang gajus dan lobak sekali tu. Puas hati makan macam ni. tambah pulak ada teh o panas. panas badan pagi yang sejuk :)
BalasPadamThank you for this wonderful article. The setup should continue! My latest post is about How Morse Code Works and Still Lives On in the Digital Age. We like to visit morse code translator. Thank you so much for your concern.
BalasPadam