Pages

Rabu, 3 Jun 2020

Kari Terung dengan Ikan Masin

Masih cerita tentang terung, pemberian rakan Encik Suami minggu lepas yang masih berbaki. Kali ini Amie masak kari terung dengan ikan masin putih. Pada mulanya Amie sangka hanya Amie bersama Encik Suami sahaja yang akan makan Kari Terung dengan Ikan Masin, tapi rupanya anak-anak pun nak makan juga! Maklumlah, kalau dah namanya ikan masin, biasanya orang-orang lama saja yang sudi menyentuhnya.... ahaks!

Kari Terung dengan Ikan Masin
Masing-masing tentu ada versi tersendiri untuk menghasilkan kari terung dengan ikan masin mengikut selera. Amie goreng terlebih dahulu terung sehingga layu dan kemudian barulah masukkan ke dalam masakan kari.

Kari Terung dengan Ikan Masin
Jom kita masak kari terung dengan ikan masin. Tak berapa rajin nak kisar cili kering, jadi Amie gunakan saja serbuk cili. Rasanya pun tidaklah pedas sangat. Kalau nak lebih pedas, picit jew cili padi yang Amie campak ke dalam kuali sebelum tutup api dapur! Serbuk rempah karinya pula, Amie gunakan dua jenis iaitu serbuk rempah kari ayam / daging dan serbuk rempah kari ikan. Cara masaknya pula, seperti biasa Amie suka masukkan saja serbuk kari ke dalam kuali, dan tidak menjadikannya pes (campur bawang dan sedikit air). Ikut selera masing-masinglah untuk memenuhi citarasa. Oleh kerana isi ikan putih agak keras dan tebal, jadi Amie masak lebih awal bersama santan cair supaya menjadi lembut di akhir masakan.

Kari Terung dengan Ikan Masin
Inilah rupa terung yang Amie gunakan untuk masakan kari. Mudah-mudahan semakin suburlah tanam-tanaman kawan Encik Suami, dan bertambah lebatlah buahnya.

Bahan-bahan:
5 biji terung - belah 2 - rendam dalam air
300 gram isi ikan masin putih - potong ikut saiz yang digemari - rendam selama 30 minit - cuci bersih - rendam lagi selama 5 minit dan toskan
3 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
2 pelepah daun kari - lurutkan daunnya
2 sudu besar serbuk rempah kari ikan
2 sudu besar serbuk rempah kari daging / ayam
2 sudu besar serbuk cili
1 keping asam gelugor
7 biji cili padi
minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
2 cm halia
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 labu bawang besar

Kari Terung dengan Ikan Masin
 Cara memasak:

  1. Goreng terung hingga layu. Angkat dan toskan. Ketepikan.
  2. Tinggalkan 4 sudu besar minyak gorengan terung di dalam kuali.
  3. Masukkan bahan hiris dan daun kari. Goreng hingga bawang layu kekuningan.
  4. Perlahankan api, kemudian masukkan serbuk rempah kari dan serbuk cili. Tambahkan sedikit air supaya tidak terlalu kering.
  5. Seterusnya masukkan isi ikan putih. asam keping dan santan cair. 
  6. Gunakan api sederhana, dan setelah kuah mendidih, masukkan terung yang telah digoreng, diikuti dengan santan pekat.
  7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan. Kacau sekali dua
  8. Masukkan cili padi ke dalam masakan kari.
  9. Biarkan seketika, dan kemudian padamkan api dapur.

Kari Terung dengan Ikan Masin
Tak tahulah di mana sedapnya Kari Terung dengan Ikan Masin ini sampai anak-anak bertanya, ada lagikah kari terung ikan masin... hiks!

8 ulasan:

  1. cantik kecik comel je terung nih... dana tak pernah pun masak terung nih kak

    BalasPadam
  2. wah selalunya masak lemak nenas dengan ikan kering. Tak pernah lah pula masak kari campur ikan kering. Saya suka terung. hehehehe

    BalasPadam
  3. Ikan masin ni kalau dimasak apa pun, pasti sedap. Apalagi ditumis darat campur pula dengan terung atau nenas. Memang Ummph... Terliur jadinya tengok kari Amie ni, terus jadi lapar.

    BalasPadam
  4. tak pernah masak camni. suka tumis cili atau sambal je terung ni

    BalasPadam
  5. Lain pulak resepi masak terung kali ni..Boleh cuba ni

    BalasPadam
  6. Wow masak Kari ye.. first time nampak kari terung

    BalasPadam
  7. Sedap ni. Lebih suka lagi terung purple tu :)

    BalasPadam