Pages

Sabtu, 13 Jun 2020

Kaki Ayam Masak Kicap ( Versi Tumis )

Assalamualaikum.
Jumpa lagi dengan resipi biasa. Resipi yang biasa dihidangkan untuk keluarga kecil kami. Bila Fuad ada di rumah memang suka sangatlah dia bertanya: Masak apa hari ini Mom? Bila kita kata masak kaki ayam, bukan main suka hatinya! Sudah tentu dia membayangkan kaki ayam masak kicap yang sangat lembut hingga terlerai tulang dari isinya!

Kaki Ayam Masak Kicap (Versi Tumis)
Sebelum ini Amie pernah beberapa kali masak kaki ayam sama ada dengan cara menumis perencah terlebih dahulu dan ada juga dengan terus rebus kesemua bahan sehingga masak setelah merendam kaki ayam yang telah digoreng. Boleh terjah ke sini untuk entri lepas: Tips dan Resepi Kaki Ayam Masak Kicap yang Sangat Lembut Sehingga Terlerai Kulit Dari Tulang!
Dua-dua cara pun menghasilkan rasa yang sedap!
Bezanya kalau perencah ditumis terlebih dahulu sudah tentulah akan timbul aromanya yang tersendiri.

Baiklah, Amie terus kongsikan resipinya di bawah ini.

Bahan:
1 kg kaki ayam - potong kuku - potong dua - bersihkan - cuci - toskan
8 kuntum cendawan kering shiitake - rendam hingga kembang - belah 2
2 sudu besar kicap pekat
4 sudu besar kicap lemak manis
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar minyak bijan
3 batang serai - diketuk
1 sudu kecil lada putih - ditumbuk
1 sudu kecil lada hitam - ditumbuk
minyak untuk menggoreng kaki ayam
air secukupnya untuk merendam kaki ayam goreng
garam / gula / perasa pilihan

Bahan hiris:
2 cm halia
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 labu bawang besar

Bahan penumis:
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga cengkih
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan masukkan kaki ayam. Tutup kuali dan biarkan ayam digoreng sehingga garing. Cara untuk mengetahui kaki ayam sudah cukup garing ialah apabila tiada lagi sebarang letupan dan bunyi gorengan hilang.

2. Angkat kaki ayam goreng dari kuali dan terus rendam dalam air sejuk selama 2 jam.
3. Pastikan air rendaman melebihi paras kaki ayam. Setelah kaki ayam kembang, toskan. Simpan air rendaman kaki ayam tadi.




4. Panaskan 1/2 cawan minyak bekas gorengan kaki ayam tadi.
5. Goreng bahan penumis seperti kulit kayu manis, bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga hingga terbit bau.
6. Kemudian masukkan serai dan hirisan halia diikuti dengan hirisan bawang putih, bawang merah serta bawang besar. Tumis hingga bawang layu.
7. Seterusnya masukkan kaki ayam, cendawan shiitake, lada hitam dan lada putih tumbuk. Gaul rata.
8. Tuangkan kicap pekat, kicap lemak manis dan sos tiram. Kacau lagi beberapa kali.
9. Ambil air bekas rendaman kaki ayam goreng dan tuangkan ke dalam masakan melebihi paras kaki ayam.
10. Masak sehingga mendidih dengan api besar selama 15 minit dan kemudian perlahankan api. Tutup periuk / kuali. Renih sehingga kaki ayam benar-benar lembut dan kuah menjadi sedikit pekat. Sesekali buka penutup periuk / kuali dan kacau masakan supaya tidak hangus.
11. Taburkan perasa pilihan seperti garam / gula / kiub ayam secukupnya.
12. Akhir sekali, tuangkan minyak bijan. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.

Kaki Ayam Masak Kicap (Versi Tumis)
Sekian. 
Cerita tentang kaki ayam.
Untuk lebih jelas, sila tonton video cara masakan ini di you tube di bawah ini.




3 ulasan:

  1. Assalamualaikum... Wah.. dalam banyak blogwalking hari ni, ini baru tersinggah kat blog yang menjamu mata, menambat selera... =D Terima kasih share resepi, Saya suka betul makan kaki ayam.

    BalasPadam
  2. sy suka makan kaki ayam.. biasa buat sup atau goreng.. nnt sy bole try resepi ni..

    BalasPadam
  3. saya suka tumis semua sekali, bagi air sikit, bila dah ckp semua rasa, masak dlm pressure cooker, 15 mins je dah lembut. selalu dimakan camtu je bkn tuk lauk.

    BalasPadam