Selamat berhujung minggu.
Pantai Timur Sabah , sepanjang hari hujan dari pagi sehinggalah ke petang.
Seawal pagi, selepas solat Subuh, berdua bersama Encik Suami meredah hujan, menyusuri jalan berliku-liku menuju ke Semporna.
Bawa bekal pulut panggang, kuih lapis dan kuih getuk ubi. Untuk anak-anak di rumah, Encik Suami belikan nasi kuning, karipap dan telinga gajah.
Fuad tak dapat ikut sebab ikuti pembelajaran secara online.
Firdaus pula masih di bawah umur. Kata Encik Suami kesianlah budak tu nanti di Semporna tak boleh makan di restoran. Terpaksalah tinggal di rumah, dan Fairuz dipertanggungjawabkan untuk menjaga segala kebajikannya di rumah sepanjang ketiadaan kami.
Perjalanan dari LD ke pekan Semporna memakan masa selama 2 jam.
Kami memilih hidangan tradisi masyarakat Bajau sebagai sarapan pagi. Sudah tentunya kami memilih putu, dan masih panas juga. Inilah kali pertama Amie makan sebatang putu hingga habis! Putu yang masih hangat, ditambah pulad dengan lauk-pauk yang masih panas! Sungguh menyelerakan.
Antara lauk yang kami pilih termasuklah isi siput kahanga. (Gambar atas)
Ini pula, masakan siput kima.
Ini sagol buntal (ikan buntal).
Tidak ketinggalan, kilau atau kinilau.
Ini pula sagol kiampau (sejenis ikan pari saiz kecil).
Dan sudah tentu kami minta bobohan.
Selesai bersarapan kami meneruskan perjalanan mengelilingi pekan. Ke pasar ikan, ke pasar sayur dan ke pasar tani. Mana yang berkenan, kami beli.
Sebelum menininggalkan Semporna, kami makan tengahari di Restoran Kampungku pula. Kali ini makan nasi.
Masih ambil kesempatan untuk menikmati lauk-pauk tradisi masyarakat Bajau Semporna lagi.
Walaupun sudah biasa makan latok di LD tapi nak makan juga latok di Semporna.
Meratah bobhan lagi.
Dan juga siput kima.
Ada kerang masak kari, minta juga hidangkan untuk kami.
Dan sekali lagi minta hidangkan masakan sagol, tetapi sagol tombat (sejenis ikan kulit tebal - ikan jebong atau ikan ayam).
Hujan masih turun renyai-renyai.
Perut dua kali kenyang.
Kami teruskan perjalanan selama 1 setengah jam ke Tawau.
Beli itu dan ini sampai penuh bonet kereta dengan segala mak nenek entah hape benda yang diborong! Menjelang 3 petang kami bertolak pulang ke LD tetapi singgah sebentar di Restoran Sate Cocos Haji Ali.
Sate dijual, tetapi hanya untuk dibawa pulang.
Kami beli 20 cucuk sate ayam, 20 cucuk sate daging dan 20 cucuk sate kambing biri-biri.
Menjelang 5:45 petang sampai ke rumah, dan hujan masih turun. Fairuz sudah sediakan satu jug puree mangga. Dua hari lepas Encik Suami petik 2 biji mangga udang yang sudah masak di pokok. Sebiji Fairuz bawa ke sekolah untuk dimakan bersama kawan-kawannya dan sebiji lagi masak ranum, terletak di dapur. Jadi, petang tadi kami kenduri puree mangga sambil menikmati Sate Cocos Haji Ali. Walaupun perjalanan dari Tawau ke LD selama 2 setengah jam, tetapi sate masih terasa hangat, begitu juga dengan kuahnya.
Makan sate sambil menikmati puree mangga di kala senja hampir menjelma, seolah-olah berada di bulan puasa ketika berbuka!
Sekian.
Cerita jalan-jalan cari makan di luar daerah.
Maklumlah, lebih 3 bulan terkurung!
Teruja untuk melebarkan sayap buat seketika!
Jemput makan sate!
Macam menarik. teringin nak cuba putu dan ikan buntal tu. btw, latok saya dah pernah try. Sedap!
BalasPadamPutu tu dibuat dari apa? Saya ingatkan lemang tadi
BalasPadam