Assalamualaikum dan selamat pagi semua.
Dah lebih sebulan kita menjalani PKP. Encik Suami kata, kalau bulan puasa dah cukup tempoh untuk menyambut hari raya. Memang tak disedari dalam keluhan sana dan sini sudah sepurnama kita stay at home.
Maka, kelmarin Amie pun masak sayur lodeh, hidangan tradisi orang kampung Amie ketika tibanya Syawal, atau dijadikan sebagai satu pilihan lauk untuk munjung.
Sayur lodeh ini dipelbagaikan bahannya, jadi kalau terjumpa bahan yang berbeza dari satu hidangan dengan hidangan yang lain di rumah orang Jawa, itu adalah kebiasaan dan bukannya sesuatu yang luar biasa. Kamus Dewan sendiri mentakrifkan lodeh bermaksud sejenis masakan yang dimasak dengan santan hingga empuk. Wikipedia pula menjelaskan bahawa Sayur Lodeh @ Jangan Lodhèh adalah masakan sayur yang berkuah santan terutamanya di Jawa Tengah. Sayur ini mempunyai pelbagai variasi terutama pada bumbunya yang santannya berwarna putih dan ada juga uyang santannya berwarna kuning keemasan.
Oleh kerana Sayur Lodeh @ Jangan Lodhèh ini berasal dari Jawa Tengah, barangkali tanah leluhur orang kampung kami dan yang sewaktu dengannya berasal dari Jawa Tengah. Maklumlah, entah berapa generasi nenek moyang kami sehingga tidak dapat dikesan dari mana asal-usulnya. Mujurlah, melalui budaya masakan begini, sedikit-sebanyak dapat mewarisi dan seterusnya mengenali identiti susur galur keturunan kami.
Perencah Sayur Lodeh @ Jangan Lodhèh ini pelbagai, tidak terhad dan tidak terikat kepada satu jenis sahaja. Misalnya, selain penggunaan bawang, untuk menyedapkan masakan boleh ditambah ikan bilis. Selain ikan bilis boleh ditambah udang kering atau udang basah. Mempedal dan hati ayam juga boleh digunakan. Sayur-sayurannya pula biasanya terdiri darpada kacang panjang, terung, tempe, kobis, petai, lobak merah dan seumpamnya. Untuk melengkapkan Sayur Lodeh @ Jangan Lodhèh, suhun akan ditambah di akhir masakan. Jika sukakan kuah yang pekat, boleh tambahkan 4-5 biji buah keras dalam bahan kisar. Masakan lodeh ini Amie tak bubuh buah keras.
Jom kita masak Sayur Lodeh @ Jangan Lodhèh gunakan bahan yang ada di dapur Amie.
Bahan-bahan:
5 batang kacang panjang - potong serong
2 keping tauhu basah - potong dadu
2 keping tauhu kering - rendam hingga kembang - potong kecil
1 cawan suhun yang sudah direndam
1 biji kentang - kupas - potong kecil
1 keping tempe - potong kecil
1 biji cili merah - hiris
1 cawan udang basah yang sudah dibersihkan
1 batang serai - diketuk
2 cm lengkuas - diketuk
1 liter santan cair
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 cm kunyit hidup
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, serai dan lengkuas hingga terbit aroma.
2. Kemudian masukkan santan cair. Masukkan kentang dan tempe dan tauhu basah. Masak sehingga kentang hampir empuk dengan api sederhana. Kacau selalu.
3. Seterusnya masukkan udang, tauhu kering, cili merah serta kacang panjang.
4. Setelah udang dan kacang hijau berubah warna, masukkan suhun.
5. Akhir sekali perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
Sayur Lodeh @ Jangan Lodhèh dah siap!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan