Cerita minggu lepas.
Dah lewat malam, Encik Suami minta Amie buatkan setalam kecil nasi berkat. Katanya, esok pukul 11 pagi nak bawa ke kampung. Tukar-tukar dengan 7 beradiknya, sebagai sedekah selepas bertahlil. Amie kata, kenapa tak cakap awal-awal. Bukan tak mahu tolong buatkan, tapi tak cukup bahan untuk nasi berkat mengikut tradisi kaumnya. Kata Encik Suami, tidak apa kalau tidak lengkap, yang penting ada buah tangan dibawa ke kampung. Adik-beradik yang lain pun buat seadanya sahaja, kata Encik Suami lagi.
Tak adalah kepedel, tak adalah telur masin, kata Amie.
Tak apa. Apa sajalah yang ada, nampak sungguh-sungguh pula permintaan Encik Suami.
Sayur betik tak ada, peria pun tak ada, sambung Amie lagi. Memang itulah sayur wajib dalam nasi berkat, kalau tak gunakan betik, gunakan peria. Tiba-tiba Amie teringat kacang hijau. Memang kacang hijau dijadikan salah satu lauk dalam nasi berkat mereka. Cara memasaknya sama dengan betik atau peria, bubuh mempedal dan hati ayam.
Awal pagi Amie bangun. Cari bahan-bahan yang berkaitan dengan nasi berkat dari peti sejuk. Alhamdulillah, ada ayam, ada ikan tenggiri, dan ada udang. Kacang hijau hanya direndam bagi lembut hingga tanggal kulit sebelum dimasak. Serunding ikan pun masih ada baki. Cuma kepedel saja yang tak sempat buat, sebab bahan tidak ada dan kesuntukan masa pula.
Sewaktu Amie sedang menyusun lauk di atas nasi berkat, Encik Suami menegur : Pandai dah buat nasi berkat. Kalau arwak mak masih ada, tentu mak akan cakap: Dah boleh dah ni jadi ahli 'kemiti'. Heheeee... ahli 'kemiti' maksudnya ahli jawatankuasa kampung mereka.
Kalau buat nasi ambeng atau nasi berkat sendiri memanglah rasa yakin, tapi bila buatkan nasi berkat belah Encik Suami, rasa risau takut ada yang tak kena ... ahaks! Tapi Encik Suami kata, syukurlah apa yang ada ini pun dah lebih dari cukup. Bukan senang nak keluar masuk pergi kedai beli bahan yang hendak dimasak!
Jadi, inilah nasi berkat yang Encik Suami bawa ke kampung. Pukul 12 lebih masuk waktu Zohor, lepas solat mereka 7 beradik terus buat tahlil. Adik beradik sahaja, anak bini tak ikut sama. Kalau tak ada sekatan, sampailah ke kampung. Kalau ada sekatan, diarah pulang, maka mereka akan pulanglah semula ke rumah masing-masing dengan nasi berkat yang dibawa. Tidaklah jauh sangat kampung Encik Suami dari rumah kami. Kalau jalan lengang, lebih kurang 10 minit sampailah.
Pukul 3 petang, menjelang waktu Asar, Encik Suami pulang ke rumah. Keluar dari kereta, di tangannya menjinjing beberapa bungkusan. Ada bungkusan nasi berkat, bungkusan bubur merah dan pengat labu. Sudah tentulah Amie tertarik kepada bungkusan nasi berkat.
Encik Suami dapat nasi berkat hasil air tangan kakaknya. Ada ikan goreng, ayam goreng, sambal kates (betik), udang goreng, terung goreng dan telur dadar dan serunding ikan yang tertutup di bawah lauk-pauk yang lain.
Kesimpulannya, di musim PKP ini memang kena terimalah seadanya. Tidak ada kepedel dan telur masin juga dalam nasi berkat hasil air tangan kakak ipar. Memang susah nak dapat telur masin sekarang ini. Oleh kerana mereka buat keputusan segera untuk bawa nasi berkat, jadi memang semuanya tak sempat nak buat kepedel. Jadi, samalah dengan nasi berkat yang Amie buatkan untuk Encik Suami bawa ke kampung, tidak ada telur masin dan kepedel. Barangkali inilah kali pertama nasi berkat tanpa kepedel dalam tradisi Melayu Cocos di Batu 6, LD.
Selain nasi berkat, ada lagi oleh-oleh lain yang Encik Suami bawa pulang termasuk kelapa muda, pisang berangan dan buah-buahan.
Makanan iringan lain terdiri daripada jajan seperti gambar di atas.
Barangkali tidak sempat untuk membuat kuih-kuih lembut seperti brengkes labu, kuih Bugis dan roti paseman, jadi digantikan dengan hirisan kek pisag dan kek lain.
Sekian.
Coretan tentang nasi berkat orang Melayu Cocos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan