Assalamualaikum.
Selamat pagi buat semua warga Malaya dan Borneo, juga buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen walau di mana sahaja anda berada.
Hari ini Amie bersiaran agak awal. Sedang masak bubur di dapur untuk sarapan pagi. Tiga hari lepas Encik Suami teringin makan bubur sebagai sarapan pagi. Alhamdulillah. Bila ada permintaan, senanglah nak masak. Tidaklah asyik berfikir nak buat sarapan apa. Sementara menunggu bubur nasi menjadi bubur dalam periuk, Amie kongsikan dahulu resepi membuat cili jeruk yang rangup.
Pertama kali Amie makan cili jeruk yang rangup ini ialah ketika makan di Quizinn by Rasa di KLIA2 beberapa tahun lalu. Oleh kerana rasanya sedap dan rangup, jadi setiap kali transit KLIA2, mesti Amie cari tempat makan yang sama, yang menghidangkan pesanan makanan berasaskan mee yang disertakan dengan cili jeruk. Bermula dari situ, Amie pun cuba mencari rahsia kerangupan cili jeruk tersebut. Akhirnya Amie temui rahsianya melalui perkongsian FB dan juga blog. Encik Suami sangat suka cili jeruk ini, dan katanya memang sedap dan rangup.
Resepi ini Amie kongsikan dari sini : RESEPI CILI JERUK RANGUP TAHAN LAMA - DARI DAPUR.
Amie gunakan cili hijau seperti di bawah ini. Tips yang disarankan Dari Dapur, untuk mendapatkan cili jeruk yang rangup, kena gunakan cili besar hijau yang masih muda. Menurutnya lagi, kalau di Kelantan, mereka gunakan cili Thailand yang berwarna hijau muda.
Barangkali cili besar warna hijau muda Thailand yang dimaksudkan ialah seperti dalam gambar di bawah ini.
Memang tak jumpalah cili Thailand di LD...ahaks!
Bahan-bahan:
250 gram cili hijau muda
1 cawan cuka makan
4 sudu besar gula - Amie tambah menjadi 5 sudu besar
1/2 sudu kecil garam
2 cawan air untuk masak cili
1 sudu kecil kapur makan
Cara:
1. Basuh cili hijau muda hingga bersih dan potong mengikut ketebalan yang seragam.
2. Larutkan kapur makan, dan rendam cili di antara 1-2 jam.
Inilah rahsia kapur makan yang berfungsi untuk merangupkan cili jeruk!
Gunakan 1 sudu kecil sahaja.
3. Toskan dan basuh bersih cili sekurang-kurangnya 3 kali untuk menghilangkan bau kapur.
4. Jerang 2 cawan air hingga mendidih. Tutup api dapur.
5. Masukkan cili tadi dan kacau rata. Biarkan selama 20 - 30 saat sahaja.
6. Toskan cili dan masukkan dalam bekas kaca yang sudah dibasuh dengan air panas.
7. Panaskan cuka, gula dan garam sekadar larut sahaja dengan menggunakan api kecil. Tak perlu hingga mendidih.
8. Tuangkan bahan ke dalam bekas cili.
9. Biarkan selama 45 minit sebelum digunakan.
10. Simpan dalam peti sejuk untuk menghalang kulat kerana tidak gunakan bahan kimia sebagai pengawet.
Cili jeruk rangup ini boleh bertahan selama sebulan jika disimpan dalam peti sejuk. Terima kasih Dari Dapur, atas perkongsian resepi cili jeruk rangup ini.
Aroma daun pandan dari dapur sedang memberi petanda bubur nasi sudah mendidih! Jumpa lagi.
Dana suka makan cili jeruk dari cili api terasa kepedasannya tapi buat sendiri memang tak pernah kak
BalasPadamsalam kak Amie, kalau dapat makan char kue teow dgn jeruk cili ni pon sodap..thanks kongsi cara buat jeruk cili kak..:)
BalasPadamDana,
BalasPadamsama macam mak kakak, suka makan cili padi jeruk. Masa kecik2 dulu selalu tengok mak buat cili padi jeruk.
Cik Matahariku,
ye, memang sangat sedap.
Terima kasih untuk article ini, sangat memberi manfaat. Keep it up!
BalasPadamKursus Pengendalian Makanan