Assalamualaikum.
Terima kasih kerana masih sudi berkunjung ke dapur maya ini. Petang ini Amie kongsikan menu biasa, masakan orang kita yang tak pernah lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Tak lain tak bukan, menu asam pedas ikan. Kalau kita perhatikan terdapat pelbagai resepi atau cara olahan asam pedas. MIL umpamanya, lain cara masakan asam pedasnya. Memang berbeza sama sekali dengan asam pedas kita di Malaya. Maklumlah MIL asal dari Pulau Cocos-Keeling, jadi sedikit sebanyak ada perbezaan dalam masakannya walaupun namanya sama. Nanti, senang-senang Amie kongsikan cara masakan asam pedas MIL ye. Sekarang susah nak masak, sebab bahan utamanya tidak ada. MIL akan gunakan ikan sungai dalam masakannya. Masih teringat, 26 tahu yang lalu, ketika Amie masak asam pedas ikan tenggiri, MIL terkejut....ahaks! Memanglah MIL terkejut sebab asam pedas kita gunakan cili kering dan warnanya merah, sedangkan asam pedas MIL gunakan cili padi pula!
Sewaktu Amie tumis bahan untuk asam pedas, dan menunggu pecah minyak berkali-kalilah bersin! Huh! Agaknya jiran sebelah rumah pun terdengar kita bersin beberapa kali! Memang menusuk sungguh aroma asam pedas dari dapur... ahaks! Walaupun masakan asam pedas nampak ringkas, tapi bila dihidangkan, ia mampu menggugat selera!
Amie gunakan seekor ikan putih seberat 500 gram. Untuk asam pedas ikan ini Amie tambahkan terung panjang dan tomato. Amie hanya gunakan daun kesum, tanpa bunga kantan. Maklum sahajalah, tempoh PKP sangat menghadkan pergerakan kita. Jadi, apa yang ada dijual di pasar itulah yang kita beli. Dan lagi satu, Encik Suami hanya keluar jika benar-benar perlu untuk membeli sesuatu. Rasanya dalam tempoh 2 minggu PKP, hanya dua kali sahaja Encik Suami keluar ke pasar. Jadi, kita masaklah apa sahaja yang ada sambil berjimat-cermat. Tak perlu banyak songel. Kalau tak ada daun kesum, biasanya Amie gunakan daun limau purut sahaja untuk mendapatkan aroma segar asam pedas, selain serai.
Jom kita lihat resepi Asam Pedas Ikan Putih di bawah ini. Resepi ini memang Amie gunakan sejak zaman remaja. Kakak Amie selalu pesan, kalau masak asam pedas, kena masak lama-lama kuah sebelum masukkan ikan. Banyak jenis ikan pilihan boleh diasampedaskan....hiks! Ikan kembung, ikan pari, ikan tenggiri, ikan terubuk dan banyak lagi. Kalau nak kuah rasa lebih masam, eloklah gunakan asam keping. Oleh kerana sudah kehabisan stok asam gelugor, Asam Pedas Ikan Putih ini Amie gunakan pati asam jawa yang dibancuh dengan 1/2 cawan air.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan putih seberat 500 gram - bersihkan dan kerat 4
1 batang terung panjang - potong 3 dan belah 2 setiap potongan
1 biji tomato - belah 4
7 tangkai kesum
1 batang serai - diketuk
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
600 ml air
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu kecil belacan
1/2 sudu kecil lada hitam
1 cm kunyit hidup
1 cm halia
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar serta serai hingga terbit minyak.
2. Tuangkan bancuhan air asam jawa. Biarkan mendidih dan terbit minyak sekali lagi.
3. Masukkan air dan biarkan kuah mendidih lagi.
4. Seterusnya masukkan ikan bersama terung panjang dan daun kesum.
5. Setelah ikan masak dan terung menjadi lembut, masukkan tomato, garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
6. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
Masakan asam pedas begini memang memudahkan kita untuk menyediakan hidangan keluarga. Tak perlu masak sayur lain kerana terung dan tomato sudah masuk sekali harung dalam asam pedas! Mudah bukan? Sudahlah sedap, memasaknya pun cukup senang!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan