Pages

Rabu, 1 April 2020

Samosa Inti Kentang & Daging Ayam Kisar

Assalamualaikum.
Selamat tengahari. Dah makan tengahari?
Hari ini merupakan hari ke-15 kita menjalani PKP. Kawalan diperketatkan dengan hanya membenarkan seorang sahaja berada dalam kenderaan persendirian. Sama-samalah kita memberikan kerjasama untuk membantu mempermudahkan urusan pihak berkuasa demi membanteras wabak jahat, Covid-19 daripada terus beranak pinak dan bercucu cicit di muka bumi ini.

Hurrrmmm... tanya dah makan tengahari ke? Tapi entri sarapan pagi pula... ahaks!
Inilah sarapan pagi kami, Samosa Inti Kentang dan Ayam Kisar. Kami sekeluarga suka makan samosa, tapi Amie malas nak buat. Tak berapa rajin dan cantumkan kulit popia dan nak lipat-lipat... hiks! Namun, demi memenuhi selera budak kecil Firdaus, kita usahakan juga. Syukurlah dia tak 'kacau' Amie sewaktu proses melipat-lipat inti, kalau tidak, memang kecohlah satu dapur! Tapi, dia tercium juga bau inti samosa di dapur! Sempat jugalah dia bawa lari beberapa sudu inti samosa!

Bila samosa sudah siap digoreng, Firdaus hanya makan kulitnya saja! Intinya ditinggalkan begitu saja. Barangkali sudah kenyang makan inti samosa sebelum samosa sempat digoreng! Sebelum ini, Amie pernah buat samosa di sini : SAMOSA INTI BURGER

Jom kita lihat, inti samosa kali ini. Amie gunakan kentang dengan daging ayam kisar.

Bahan-bahan inti:
3 biji kentang - kupas kulit - potong dadu kecil-kecil
200 gram daging ayam kisar
2 ulas bawang putih - cincang
1 labu bawang besar  - cincang
1/2 cawan hirisan daun sup / daun bawang
2 sudu besar serbuk rempah kari
garam / gula / perasa pilihan
minyak

Bahan lain:
kulit popia secukupnya
1 biji telur - pukul ringan 

Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih serta bawang besar hingga layu.
2. Perlahankan api dan masukkan serbuk rempah kari. Gaul rata. Jika terlalu kering, tambahkan sedikit air.
3. Besarkan api dan terus masukkan daging ayam kisar dan ubi kentang.
4. Gaul sebati. Tambahkan air secukupnya untuk melembutkan ubi kentang.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Masukkan hirisan daun bawang / daun sup. Kacau beberapa kali dan tutup api. 
7. Angkat dan toskan kuah / minyak.

Dulu Amie tutorial membuat samosa dengan Brother Rozzan di sini: SAMOSA
Malaslah pulak nak bina ayat dan ambil gambar proses melipat-lipat samosa... ahaks. Jadi, bolehlah ketuk pintu dapur Brother Rozzan untuk mempelajarinya ye.

Oleh kerana inti samosa sudah 'terbang' sedikit, jadi hanya dapat 17 keping samosa sahaja. Itu pun saiz besar, dan memang mengenyangkan kalau makan 3-4 keping untuk alas perut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan