Pages

Rabu, 22 April 2020

Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas

Selamat petang semua.
Ngantuknya mata!
Rasa nak tidur saja, tapi baru terlelap beberapa minit terjaga semula disebabkan cuaca sangat panas! Kalau berada di dapur, memang basah kuyup dengan peluh! Allahu Akbar! Bonda kata, hampir menjelang bulan puasa memang cuaca panas terik!
Marilah Amie kongsikan satu resepi, Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas. Biarlah bertambah koleksi masakan dalam dapur maya ini. Bukannya selalu Amie boleh menyiapkan entri 2 hingga 3 kali dalam sehari. Tamat PKP nanti, barangkali hanya sehari atau dua hari sekali saja dapat masuk sini. Syukurlah kalau sehari atau dua hari sekali dapat masuk.... ahaks! Itu sudah kira cukup bagus! Selalunya lepas masak, ambil gambar terus tersimpan saja dalam folder. Bila nak dijadikan entri rasa tak bersemangat pula, sebab sudah lupa sebahagian kisah di sebalik gambar yang diambil.

Resepi Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas
Untuk resipi Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas ini, Amie olah ikut kepala sendiri. Apa yang Amie rasa boleh diterima selera sekeluarga, Amie masak saja. Amie gunakan sebiji nanas masak seberat 800 gram setelah dikupas. 3/4 Amie masukkan dalam masakan, dan 1/4 lagi Amie kisar sekali dengan bahan perencah. Untuk aroma ala-ala kampung, Amie masukkan daun kunyit di akhir masakan. Amie juga tidak bubuh asam keping di dalam masakan ini kerana sudah ada rasa asam dari nanas, dan tidak tambah gula kerana dalam masam nanas ada rasa manisnya juga. Kombinasi rasa masam, manis, masin dan pedas ditambah dengan santan kelapa segar, aduhai... tersangatlah enaknya! Enak bagi kamilah ya...ahaks! Ditambah lagi dengan aroma daun kunyit! Bila menikmatinya, terasa seolah berada di kampung laman pula!

Resepi Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas
Bahan-bahan:
1 kg daging ayam segar - potong menjadi 12 ketul
600 gram nanas yang sudah dipotong
2 batang serai - ketuk
5 cawan santan cair
1 cawan santan pekat
1 helai daun kunyit - siat dan simpul
garam / perasa pilihan

Bahan kisar:
200 gram nanas
15 biji cili padi
1 cm halia
3 cm kunyit hidup
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah

Resipi Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas
 Amie gunakan ayam segar dari pasar, belum terkena ais.

Resipi Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas
Amie gunakan cili padi warna merah, sebab tak ada pilihan cili padi kampung yang warna hijau. Kunyit hidup Amie pilih yang agak tua sedikit. Kelmarin masak pindang guna kunyit hidup yang muda, warna kuah pindang pun jadi kuning muda kehijau-hijauan sebab campur dengan cili padi hijau. Hari ini kuah nampak kuning kemerahan pula. Santannya pula, beli yang sudah siap diperah.

Resipi Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas
Cara memasak:
1. Masukkan bahan kisar, serai, santan cair dan ayam ke dalam periuk.
2. Masak sehingga ayam hampir empuk / lembut, dan kemudian masukkan nanas.
3. Setelah nanas layu, tuangkan pula santan pekat dan daun kunyit.
4. Perlahankan api supaya kuah terus mendidih dan terbit minyak.
5. Perasakan dengan garam / perasa pilihan.
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Resipi Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas
Ayam Masak Lemak Cili Padi dengan Nanas dah siap!

2 ulasan:

  1. akak tak pernah lagi try masak camni. nanti ada masa nak try juga

    BalasPadam
  2. Shirven,
    cubalah... sedap tau.

    BalasPadam