Assalamualaikum.
Moga sihat-sihat sahaja, bersama keluarga tercinta.
Tempoh kawalan pergerakan sudah masuk hari ketiga. Macam-macamlah cerita yang dikongsi di media sosial gara-gara Covid 19. Allahu Akbar!
Ada komen yang sopan, ada yang mengguris dengan bahasa kesat, dan pelbagai lagi! Itulah kita sebagai manusia yang sememangnya tidak sempurna. Tuding jari sana sini, siap dengan maki hamun, tanpa menyedari sesungguhnya seluruh dunia sedang menghadapi kemelut yang tak terduga ini.
Sebaiknya kita ikut sahaja arahan pihak berkuasa untuk sama-sama menangani wabak yang semakin bermaharajalela ini. Duduk di rumah. Jaga kebersihan iri dan persekitaran. Selebihnya kita berdoa dan bertawakal. In shaa Allah, dengan dugaan hebat ini akan ada hikmah di sebaliknya yang hanya Dia sahaja Yang Maha Mengetahui.
Walaupun arahan kawalan pergerakan untuk seluruh rakyat Malaysia, namun ada segelintir yang terpaksa keluar untuk melaksanakan tugas dan tanggngjawab. Tidak terkecuali Encik Suami, tetapi tidaklah sepanjang hari seperti kebiasaannya. Amie sentiasa berpesan, balik rumah jangan terus sentuh anak-anak. Terus masuk bilik air terlebih dahulu, mandi untuk bersihkan diri.
Kita cerita tentang resepi pula. Pagi tadi, Encik Suami minta Amie goreng mee hoon untuk sarapan pagi. Jadi Amie pun masaklah dengan menggunakan bahan yang ada dalam simpanan. Dalam keadaan begini, Amie pun tidaklah menyusahkan Encik Suami untuk singgah membeli itu ini di kedai. Kami sarapan mee hoon goreng dengan perencah tom yam. Memang sedaplah Mee Hoon Goreng Tom Yam ini. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon - rendam hingga lembut dan toskan
1 cawan isi udang
1 pokok sawi - potong-potong - asingkan batang dengan daun
1 batang lobak merah saiz kecil - kupas kulit - hiris nipis bulat
2 batang serai - ketuk
3 helai daun limau purut - buang urat belakang
2 kiub perencah tom yam Knorr
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan tumbuk / kisar:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
7 biji cili padi
1 sudu besar udang kering
Cara memasak:
1. Hancurkan kiub perencah tom yam dan gaul dengan mee hoon. Ketepikan.
2. Panaskan minyak. Tumis bahan hiris /kisar bersama serai hingga terbit aroma.
3. Masukkan udang dan lobak merah.
4. Setelah udang berubah warna, masukkan pula batang sawi. Gaul rata.
5. Kemudian masukkan mee hoon yang sudah digaul bersama perencah tom yam, daun limau purut dan daun sawi.
6. Tambahkan perasa seperti garam / gula / perasa pilihan.
7. Kacau rata, dan padamkan api dapur.
Teringat Fuad di UTHM dan Farid di UTP. Sebelum ini katanya sejak kawalan pergerakan dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, asyik makan maggie dan roti. Semua kedai makan ditutup. Syukur Alhamdulillah, ada langkah positif Persatuan Sabah yang menyediakan bekalan makanan dan minuman untuk sarapan pagi, tengahari dan malam.
Farid pula, katanya beli makanan melalui khidmat Food Panda. Mana-manalah wahai anak-anak. Yang penting kamu pandai jaga diri, sihat walafiat dan dapat makan.
Sekian cerita untuk hari ini.
Daripada Anas bin Malik RA berkata: Adapun Rasulullah berdoa: ‘(Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk)’.” [Riwayat Abu Daud (1554)]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan