Pages

Jumaat, 20 Mac 2020

Cempiang @ Cinnamon Rolls @ Kuih Ubat Nyamuk

Assalamualaikum.
Cerita Covid 19 semakin rancak di negara kita.
Baru sahaja tadi dengar berita kematian mangsa Covid 19 ketiga di Tawau. Allahu Akbar! 
Teruskan patuhi larangan keluar dari rumah. Kita bantu diri sendiri dan orang lain.
Moga semuanya akan baik-baik sahaja.

Malam ini cerita dari dapur hanyalah tentang kuih cempiang, kuih kegemaran Firdaus. Pernah suatu ketika, dia hanya mahu makan kuih cempiang sahaja sehingga bekal ke sekolah pun nak bawa cempiang! Kadang-kadang kami panggil kuih cempiang ini sebagai kuih ubat nyamuk sebab rupanya yang melingkat itu. Dan kalau nak naik taraf sikit, panggillah cinnamon rolls...ahaks!
Boleh klik resepi di sini juga: KUIH CEMPIANG

Bahan untuk doh:
4 cawan tepung gandum
2 sudu besar susu tepung
1 sudu besar mentega
1 sudu kecil yis
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil gula
1 cawan air suam

Cara membuat doh:
1. Satukan yis, garam, gula dalam satu cawan air suam. Kacau dan biarkan selama 5 minit.
2. Dalam sebuah mangkuk besar, gaulkan mentega dengan tepung gandum bersama susu tepung hingga rata.
3. Tuang sedikit demi sedikit air tadi sambil menguli tepung. Uli  sehingga menjadi doh.
4. Tutup doh untuk proses mengembang - Amie tinggalkan selama 30 minit sebab nak buat kerja lain..hiks!

Bahan inti doh:
1 sudu besar kicap manis
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil garam
1 sudu serbuk rempah (kulit kayu manis, bunga lawang & bunga cengkih kisar)
1 sudu besar air suam

Cara:
Campurkan kesemua bahan dan gaul rata. Ketepikan.

Cara membuat cempiang:
1. Bahagiakan doh kepada dua bahagian - kalau nak buat besar tak perlu bahagi 2
2. Canaikan doh. Kalau boleh biar tepinya sekata, kalau tak boleh pun tak apa.
3. Letakkan bancuhan kicap secara merata di atas doh, tetapi jangan sampai di bahagian tepi.
4. Gulung doh sehingga ke hujungnya. Kemudian potong anggaran 1.5 cm setiap satu. Kalau nak tebal boleh potong sehingga 2 cm atau lebih.
5. Goreng di dalam minyak yang banyak. 

Cempiang ni sedap dimakan ketika masih panas. Sesuai dimakan diwaktu pagi atau petang. Makan seketul tak cukup. Makan 3-4 ketul baru puas...ahaks! 

Jangan lupa sediakan secawan kopi!
Selamat malam.

1 ulasan:

  1. boleh try kah nie buat,,, mmg suka makan cempiang tapi x pernah buat lagi.

    BalasPadam