Pages

Sabtu, 3 Ogos 2019

Pajeri Rambutan

Assalamualaikum.
Jumpa lagi.
Pagi yang nyaman ini Amie ingin kongsikan resepi Pajeri Rambutan yang tersimpan beberapa hari dalam folder. Dah puas makan rambutan segar, kerabu rambutan, dan jeruk rambutan, jom kita masak rambutan pulak. Musim buah sekarang ini memang banyaklah buah-buahan berlebihan di pasaran atau di dusun sendiri.


Sesetengah orang suka gunakan rambutan yang tak berapa longkah atau yang mudah tanggal / lekang dari biji. Amie pula suka gunakan rambutan yang longkah. 

Bahan-bahan:
50 biji rambutan masak - ambil isinya sahaja - tak perlu buang biji
4 sudu besar serbuk rempah kari (Amie campurkan 2 sudu besar rempah kari ikan dan 2 sudu besar rempah kari ayam / daging : Serbuk Kari 888)
4 sudu besar kerisik
2 sudu udang kering - rendam hingga lembut - tumbuk kasar
3 cawan santan
2 tangkai daun kari - lurutkan
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
8 biji bawang merah
2 cm halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar, daun kari, bunga lawang, kayu manis dan bunga cengkih sehingga pecah minyak.
2. Masukkan udang kering, dan serbuk rempah kari, dan perlahankan api dapur. Gaul rata, dan jika terlalu kering, tambahkan sedikit santan.
3. Kemudian masukkan kerisik.
4. Seterusnya masukkan baki santan.
5. Masukkan bahan perasa seperti garam dan gula / perasa pilihan secukupnya. Biarkan kuah menjadi mesra, dan kemudian masukkan rambutan.
6. Kecilkan api dapur dan masak sehingga rambutan selama 7 minit dan kuah memekat.
7. Rasa kuah sekali lagi, jika kurang perasa tambahkan garam dan sebagainya yang diperlukan.
8. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

Rasa kuah Pajeri Rambutan ini samalah seperti pajeri nanas atau terung atau pajeri kedondong. Bezanya penggunaan rambutan sahaja, dan ia lebih manis tapi tetap sedap! Kalau suka pedas boleh bubuh lebih cili kering. Enak dimakan bersama nasi putih atau nasi beraroma seperti nasi minyak!

Anak-anak sukakan kuahnya! 

2 ulasan:

  1. hai. saya takpernah try lagi ni, dah ada resepi tu bolehlah try kan? thankyou share

    BalasPadam
  2. Baby Breath,
    silakan... boleh cuba ni.

    BalasPadam