Jumpa lagi.
Menu yang Amie kongsikan kali ini : Kari Ayam dengan Manggis.
Pernah makan tak?
Pernah dengar tak?
Pada mulanya Amie terpandang sekali imbas menu kari ketam dengan manggis, kemudian melintas pula kari udang dan ikan dengan manggis. Amie tak tengok resepinya, hanya sekadar melihat sekali lalu sahaja.
Bila terpandang banyak buah manggis di dapur, dan kebetulan sedang menyiapkan bahan untuk masak kari ayam, terlintas pula nak bubuh manggis dalam masakan!
Dah pun siap Kari Ayam dengan Manggis untuk hidangan malam kami.
Pada mulanya, sekadar ambil gambar sahaja. Tak terfikir pun untuk dikongsi dalam dapur maya! Hari ini tergerak hati pula untuk memaparkannya di sini. Lagi pun rasa Kari Ayam dengan Manggis ini tidaklah beza sangat dengan kari ayam biasa, cuma tambah manggis sahaja. Samalah seperti kari ayam dengan buah betik, atau labu, cuma Kari Ayam dengan Manggis ini kuahnya agak manis oleh manggis! Bila disebatikan dengan pelbagai bahan dan perasa lain, maka enaklah rasanya pada kami!
Peminat manggis di rumah ini hanya Firdaus seorang! Berapa banyaklah dia boleh habiskan! Jadi eloklah ambil beberapa biji masak dengan kari ayam...ahaks!
Bahan-bahan:
600 gram sayap @ kepak ayam - potong 2
10 biji manggis masak - ambil isinya
4 sudu besar Serbuk Kari 888 (ayam / daging)
1 kotak santan kelapa Ayam Brand - 200ml
3 cawan air
1 labu bawang besar - mayang
1 batang kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
2 tangkai daun kari - lurutkan
2 sudu besar jus limau kasturi
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm halia
1. Panaskan minyak, dan goreng bawang besar sehingga terbit bau dan layu.
2. Masukkan daun kari, kulit kayu manis, bunga lawang, dan buah pelaga.
3. Setelah terbit bau tumisan rempah, masukkan pula bahan kisar dan kacau rata. Tumis sehingga pecah minyak.
4. Perlahankan api dan kemudian masukkan serbuk rempah kari. Gaul sebati, dan jika terlalu kering tambahkan sedikit air.
5. Masukkan sayap ayam, besarkan api dan biarkan masak sehingga layu (berubah warna sayap ayam). Tambahkan air. Biarkan masak mendidih dan kemudian masukkan manggis.
6. Perlahankan semula api, masak sehingga ayam empuk.
7. Tuangkan santan, dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
8. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis secara merata di atas masakan. Kacau sekali dua, dan kemudian padamkan api dapur.
Kari Ayam dengan Manggis di bawah remang-remang cahaya senja dari jendela dapur!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan