Pages

Rabu, 3 Julai 2019

Udang Galah Masak Lemak Tempoyak

Assalamualaikum.
Selamat petang buat semua rakan pengunjung dapur maya ini.
Moga sihat hendaknya dan ceria sahaja sepanjang hari ini.
Jemput jamu mata dengan hidangan Udang Galah Masak Lemak Tempoyak ye!

Kali ini masak lemak tempoyak yang Amie olah memang pedas berapi! Amie gunakan cili padi kampung segenggam! Tak tahulah ada berapa biji sebab saiznya kecil-kecil. Memang betullah orang kata kecil-kecil cili padi! Walaupun kecil rasanya memang menyengat...... hiks! Biarpun menyengat, tapi ketika makan asyik nak menambah kuahnya sahaja sebab sedaplah tu....hhhehehe!

Kami makan tengahari (agak lewat) berdua sahaja dengan Encik Suami. Firdaus tak mahu makan sebab sebelum nasi tanak, dia dah makan mee goreng. Fuad yang sedang bercuti nampaknya banyak menghabiskan masa bersama abang sepupunya. Sejak hari Ahad lepas, bersama abang sepupunya di Tawau dan kelmarin petang pulang ke rumah. Pagi tadi berangkat pula ke Kota Kinabalu. Hari Jumaat nanti baru pulang semula ke LD. Fairuz pula ketika entri ini sedang ditulis belum lagi sampai ke rumah. Hari ini ada aktiviti kokurikulum di sekolahnya.
Mari kita lihat bahan-bahan yang Amie gunakan untuk mengolah udang galah bersama tempoyak di bawah ini.

 Bahan-bahan:

400 gram udang galah - bersihkan
1 biji timun - potong 4 - belah dan buang empulurnya
1 cawan santan pekat ditambah dengan 2 cawan air
2 batang serai - diketuk
sehelai daun kunyit - siat-siat
garam / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
4 sudu besar tempoyak
segenggam cili padi kampung 
5 ulas bawang merah
3 cm kunyit hidup

Udang galah ini datangnya dari Sungai Kinabatangan, bukannya udang galah yang diternak. Kalau dahulu senang nak dapat bekalan udang galah, tapi sekarang sangat terhad. Itu pun kalau ada rakan sekerja yang tolong orang kampungnya jual, dapatlah bekalan udang galah segar. Biasanya kalau beli di pasar, kepala udang sudah tercabut dan warna kemerahan. Katanya, udang galah itu hasil tangkapan dengan cara menuba.

Amie gunakan santan yang agak cair. Maklumlah, bila sudah bercampur dengan tempoyak, masakan sudah tentunya menjadi agak pekat. Bila terlalu pekat, kurang puas rasanya untuk menikmati kuahnya. Jadi, eloklah kuah cair sedikit.

Bawang merah yang Amie gunakan agak besar sedikit saiznya, dan ada yang kembar. Jadi, Amie jadikannya 5 biji. Bawang merah, kunyit hidup dan cili padi kampung ini Amie kisar bersama tempoyak.

Ini dia sang tempoyak yang sekian lama duduk  bertapa dalam peti sejuk! Rasanya pun sudaj agak masam sedikit, jadi tak perlulah tambah asam keping dalam masakan.

Sebagai pelengkap masakan, Amie tambah sebiji timun yang dipotong empat, dan kemudian Amie belah dua. Keluarkan isinya, dan kemudian belah lagi menjadi dua. Wokey, kita lihat cara mengolah Udang Galah Masak Lemak Tempoyak di bawah ini.

Cara memasak:
1. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama serai, santan dan timun.
2. Masak dengan api sederhana, dan kacau selalu supaya tidak pecah minyak sehinggalah timun layu.
3. Kemudian masukkan udang galah, dan terus kacau 3-4 minit atau sehingga udang galah masak.
4. Masukkan daun kunyit dan perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.

 Udang Galah Masak Lemak Tempoyak siap!

Bismillah.

1 ulasan:

  1. Kegemaran acik ni amie asal masak lemak udang mesti bertempoyak.

    BalasPadam