Lama tak meratah kerabu perut!
Tambahkan pucuk paku dan taugeh.... walllaaaa!
Kerabu Perut, Pucuk Paku dan Taugeh ini diolah seringkas-ringkasnya dan semudah-mudahnya! Tidak ada penggunaan kerisek dan juga santan. Kelapa parut pun hanya ditumbuk sedikit dan terus gaul. Hurrrmmm... Kalau Bonda nampak ini mesti dia tegur: Kenapa tak bakar dahulu kelapa sebelum parut? Kalau tak mahu bakar kenapa tak disangan sebentar? Kenapa begitu, kenapa begini... ahaks! Ikut selera sendiri saja ye! Tak ada salahnya buat kerabu cara begini. Lagipun dalam Kamus Bahasa Melayu ada menyebut definisi kerabu sebagai: makanan yang dibuat daripada hirisan mentimun atau sayur-sayuran yang dicelur serta dibubuhi kelapa parut, garam, lada dan lain-lain. Tokok tambah bahan lain itu dikira ikut selera dan kreativiti masing-masing. Mari kita lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 mangkuk hirisan perut lembu - siap dicelur
1 mangkuk pucuk paku - siap dicelur
1 cawan taugeh - siap dicelur
1 cawan kelapa parut - tumbuk sedikit - jangan sampai lumat
1 labu bawang besar - hiris nipis
1 kuntum bunga kantan - hiris
garam / gula / perasa pilihan
7 biji limau kasturi - perah jusnya
Bahan tumbuk:
1/2 cawan udang kering - rendam hingga lembut - toskan
15 biji cili padi - boleh tambah jika suka pedas
1. Sediakan mangkuk saiz besar.
2. Masukkan kesemua bahan dan gaul rata.
3. Biarkan 10-15 minit sebelum dihidangkan.
Ringkas dan mudah disediakan bukan?
Lagi pedas lagilah menambah-nambah dalam pinggan.
Mari, temankan meratah Kerabu Perut, Pucuk Paku & Taugeh!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan