Pages

Sabtu, 15 Jun 2019

Nasi Goreng Daun Limau Purut

Alhamdulillah.
Pagi ini dapat bertemu lagi dengan paparan menu Nasi Goreng Daun Limau Purut sebagai alas perut di awal pagi. Kepada yang sedang berpuasa 6, dan puasa ganti didoakan agar dipermudahkan segala urusan ibadah. Kalau tak silap hari ini merupakan Syawal ke-11.

Pagi-pagi masak Nasi Goreng Daun Limau Purut memang mengundang selera sungguh! Apa tidaknya! Aroma tumisan perencahnya sahaja sudah memenuhi ruang dapur, menerjah ke ruang lain...hiks! Tak sabar rasanya untuk menghidang dan menikmatinya! Bahan-bahan yang digunakan adalah bahan lebihan makan malam kami seperti nasi putih dan isi ikan goreng. Amie sengaja masak nasi lebih sebab nak buat nasi goreng. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
4 cawan nasi putih sejuk
1/2 batang lobak merah - buang kulit dan potong dadu
1 cawan isi ikan - lebihan ikan goreng - buang tulang
5 helai daun limau purut - buang tulang belakangnya - ramas-ramas
1 labu bawang besar - cincang
2 sudu besar cili kering kisar
2 sudu besar taucu manis
4 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis  bawang besar serta bahan tumbuk kasar hingga terbit bau.
2. Masukkan cili kisar dan taucu. Biarkan masak sehingga pecah minyak.
3. Seterusnya masukkan lobak merah dan kacau rata.
4. Gaulkan nasi putih bersama isi ikan dan juga daun limau purut yang sudah diramas. Kemudian masukkan ke dalam kuali. Gaul rata.
5. Tambahkan perasa seperti garam / perasa pilihan mengikut citarasa. Taucu manis dan udang kering sudah sedia memberikan rasa masin.
6. Gaul beberapa kali, dan padamkan api dapur.

Jemput sarapan pagi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan