Pages

Ahad, 19 Mei 2019

Cara Membuat Begedil @ Pergedel Kentang Yang Mesti Dicuba!

Assalamualaikum.
Bertemu lagi kali ini dengan paparan resepi begedil @ pergedel kentang. Begedil memang tidak dapat dipisahkan dalam menu masyarakat berketurunan Jawa. Begedil bukan sahaja dijadikan pelengkap hidangan soto, malah ia juga boleh dimakan begitu sahaja dan mampu mengenyangkan perut kita! Bentuknya pula ada yang bersaiz kecil sesuai untuk hidangan soto, malah ada yang bersaiz besar untuk dijadikan kudapan pagi atau petang dan dicecah dengan sambal kicap. Bahan asas yang paling utama sudah tentulah kentang, dan boleh dipelbagaikan dengan campuran bahanlain mengikut citarasa masing-masing. Ada yang menambah ayam dan juga daging.
Seingat Amie, dari kecil sehinggalah remaja, memang tidak pernah terlepas peluang melihat dan membantu membuat begedil terutama di rumah saudara mara dan juga jiran tetangga yang mengadakan kenduri-kendara. Sehingga kini, masih tertanam dalam ingatan, bahan-bahan yang digunakan untuk menyediakan begedil dan cara olahannya dari mengupas kulit kentang sehinggalah ke piring hidangan! Namun, hari ini segalanya hanya tinggal kenangan. Dengan kata lain aktiviti 'rewang' di kampung halaman kini hanya tinggal nostalgia yang tak mampu diulang kembali. 
Apa pun, Amie kongsikan Cara Membuat Begedil @ Pergedel Kentang Yang Mesti Dicuba khas untuk rakan-rakan pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Jangan risau, begedil akan hancur sewaktu digoreng, kerana sepanjang ingatan Amie, tidak pernah pula menggoreng begedil sehingga ada yang hancur atau terburai isinya di dalam kuali! Bahan yang digunakan pula sangat mudah didapati, dan hanya tambahkan bahan lain seperti udang kering, isi ayam atau daging sekiranya anda inginkannya.

Untuk menjadikan begedil sebagai pelengkap hidangan seperti soto, tidak perlulah campurkan pelbagai bahan lain selain bahan asas seperti di dalam resepi di bawah ini. Begedil yang akan dihasilkan ini sudah cukup lazat, apalagi sekiranya disantap bersama kuah soto dan bahan-bahan lain di dalam hidangan soto.

Aduhai.... Soto Ayam original yang Amie selalu nikmati kalau balik kampung di Bukit Hijau! Memang susah nak jumpa di tempat lain! Syukurlah pemilik Warung Soto Ori Kanang, rakan sekelas sewaktu bersekolah dahulu masih lagi giat mengusahakan jualannya bersama isterinya, Hawa yang juga merupakan rakan baik Amie, sekelas dan juga sama-sama pulang dari sekolah dengan berbasikal.
Tak sabar rasanya untuk terbang balik kampung mencari soto!

Wokey!
Berbalik kepada cerita begedil kentang pula. Ini resepinya.

Bahan-bahan:
1 kg kentang - kupas kulit dan potong baji / wedges - sebiji kentang - 6 potongan
3 tangkai daun sup - hiris nipis
3 pokok daun bawang - hiris nipis
1 cawan bawang goreng - campur bawang merah & bawang putih
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
1 biji telur - dipukul ringan
perencah Maggi Cukup Rasa secukupnya / garam / perasa pilihan
minyak

Cara:
1. Goreng kentang hingga masak kuning keemasan. Angkat dan toskan.
2. Tumbuk kentang di dalam lesung hingga hancur / lumat. Kalau nak lenyek saja pun boleh.
3. Masukkan kentang tumbuk tadi ke dalam sebuah bekas. Tambahkan daun sup dan daun bawang, bawang goreng, lada putih dan perasa pilihan.
4. Gaul sebati. Kepalkan bahan tadi menjadi sebesar bola ping pong atau mengikut saiz yang disukai. Bulat-bulatkan, kemudian leperkan menjadi pegedil yang mampat.
5. Panaskan minyak menggunakan api panas sederhana untuk menggoreng tenggelam.
6. Celupkan pegedil ke dalam telur dan goreng hingga kuning keemasan.
7. Angkat dan toskan. 

Kentang yang sudah dikupas kulitnya dan dipotong baji.

Kalau jumlahnya banyak dan takut lebam sebelum digoreng, bolehlah rendam di dalam air dan toskan ketika hendak menggorengnya.

 Kentang yang sudah masak digoreng dengan warna kuning keemasan.

Tumbuk kentang di dalam lesung. Kalau nak tumbuk sekaligus pun boleh. Masukkan sahaja ke dalam periuk atau bekas yang tahan (tidak pecah sewaktu anak lesung digunakan untuk menumbuk). Boleh juga campurkan kesemua bahan untuk ditumbuk seperti hirisan daun sup dan daun bawang serta bawang goreng.

 Kentang goreng yang sudah ditumbuk halus / hancur di dalam lesung.

Masukkan kesemua kentang goreng yang sudah ditumbuk tadi ke dalam sebuah bekas. Ketika ini bolehlah masukkan bahan-bahan seperti garam / perasa pilihan, bawang goreng, daun sup dan daun bawang serta lada putih yang sudah ditumbuk. 

Gaul sebati seperti dalam gambar di atas.
Bawang goreng boleh diramas-ramas setengah ancur sebelum digaul bersama kentang goreng.  Nak gaul sekali tanpa diramas pun boleh.

Tak perlu risau bahan tadi akan melekat di tapak tangan. Bulat-bulatkan sahaja dan kemudian leperkan. Terpulang untuk membentuk saiz yang digemari.

 Begedil Kentang sedia untuk digoreng

 Gunakan sebiji telur ayam sahaja, dan pukul ringan.

Boleh gunakan tangan atau gunakan sudu untuk memasukkan begedil yang disalut telur ke dalam kuali. Celup sahaja begedil dalam telur, tak perlu bawa telur dalam sudu bersama begedil untuk digoreng.

Lebihan telur untuk menggoreng begedil.

 Begedil sedia untuk dinikmati.

Sedapnya cecah dengan sambal kicap!

Kebetulan Amie hidangkan mee hoon sup ayam untuk juadah berbuka, jadi begedil itu pun masuk sekali dalam mangkuk sup! Dan seperti biasa, habis begedil kentang sekali hadap!

Kuih iringan untuk berbuka kami hari ini : Kuih cempiang.

1 ulasan:

  1. wahhh..sedapnya begedil kak Amie,orang jawa memang suka makan begedil kan..lawan pulak dengan soto atau bihun sup..terbaik kak:)

    BalasPadam