Pages

Selasa, 23 April 2019

Sup Kaki Ayam Dengan Kundur

Assalamualaikum buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Terus kepada cerita pokok, paparan resepi Sup Kaki Ayam dengan Kundur. Sedap ratah begitu sahaja!

Biasanya kita gunakan kentang atau lobak merah sebagai bahan tambahan dalam sup kaki ayam, tapi kali ini gunakan buah kundur pula. Masak sekali bersama kaki ayam hingga empuk, dan kalau rajin boleh sediakan kicap lada sebagai pencicah.

 Amie gunakan separuh buah kundur saiz agak sederhana kecil. Buang kulit dan buang biji yang sudah tua. Kalau masih muda, boleh masak sekali bersama bijinya. Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
700 gram kaki ayam - bersihkan - potong 2
400 gram isi kundur (yang sudah dibuang kulit dan biji)
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
10 biji cili padi
1 labu bawang besar - hiris kasar
2 sudu besar serbuk rempah sup - bancuh dengan 1/2 cawan air
10 tangkai kemangi
garam / gula / perasa pilihan
3 sudu besar minyak
2 liter air

Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
3 cm halia

 Buah kundur tu boleh potong ikut suka. Ada sesetangah orang masak sekali dengan kulitnya.

 Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar sehingga layu dan kemudian masukkan bahan tumbuk. Tumis hingga terbit aroma.
2. Kemudian masukkan kaki ayam bersama kundur.

 3. Gaul kaki ayam bersama kundur sehingga kaki ayam berubah warna (layu).

 4. Tuangkan air dan biarkan mendidih selama 10 minit.

5. Tutup kuali / periuk dan kecilkan api dapur.
6. Biarkan mendidih sehingga kaki ayam empuk.
7. Buka tutup kuali / periuk dan masukkan rempah sup yang telah dibancuh dengan air serta lada putih tumbuk.
8. Akhir sekali masukkan garam / gula / perasa pilihan dan daun kemangi.
9. Kacau sekali dua dan terus padamkan api dapur.

 Amie gunakan perencah sup ADABI.

Ini daun kemangi. Kalau tak mahu gunakannya, gantikan dengan daun sup.

Sup Kaki Ayam dengan Kundur sedia untuk dinikmati!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan