Pages

Khamis, 7 Mac 2019

Tulang Rusa Masak Sup Tumis Darat

Hari ini berkesempatan masak sup tulang rusa.
Dalam bungkusan 1 kg tulang rusa, rupanya bercampur dengan tulang rusuk dan tulang gearbox! Wooo...ini sudah cukup bagus.... hehehehee! Rasanya dah lama tak menternak lemak!
Seperti biasa, Amie suka merenih sup tulang rusa dengan menggunakan dapur gas, api perlahan sahaja sehingga lembut terlerai isi dari tulang. 

Jom kita lihat resepinya yang biasa-biasa sahaja tetapi hasilnya bukan biasa-biasa ye...hiks!

Bahan-bahan:
1 kg tulang rusa
1 sudu besar serbuk rempah sup
2 liter air
2 biji kentang - kupas kulit - belah 4
1 batang lobak merah - kupas kulit potong 4 - belah 2
garam / gula / perasa pilihan
3 sudu besar minyak
hirisan daun sup secukupnya

Bahan tumis darat:
3 ulas bawang putih - hiris
5 biji bawang merah - hiris
1 labu bawang besar - hiris
3 cm halia - hiris
1 batang kulit kayu manis
3 biji buah pelaga
3 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih

Cara memasak:
1. Masukkan tulang rusa, air, dan serbuk rempah sup ke dalam periuk. Masak dengan api besar selama 10 minit sehingga mendidih, dan kemudian kecilkan api. Renih sehingga daging rusa empuk.
2. Masukkan kentang dan lobak merah, dan biarkan sehingga kentang empuk.
3. Kemudian masukkan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
4. Sementara itu, panaskan minyak dan tumis semua bahan tumisan sehingga terbit bau dan bawang kelihatan kuning keemasan.
5. Tuangkan semua bahan tumis ke dalam periuk sup tulang rusa bersama hirisan daun sup.
6. Tutup periuk dan padamkan api dapur.
7. Biarkan sekurang-kurangnya 7 minit sebelum dihidangkan.

Bahan tumis dituang ke dalam periuk sup tulang rusa bersama daun sup. Tutup periuk supaya aroma bahan tumisan terbit.....huurrmmmm! Tak sabar nak buka, terasa lama benar menunggu beberapa minit berlalu.

Setelah 7 minit berlalu, tutup periuk pun dibuka dan aroma yang sungguh enak menerjah ke lubang hidung hihihiiii.... Marilah kita hidangkan.

Jika suka tambahkan cili padi ketuk dengan limau nipis. Walllaaaa.... kami hirup sup begitu saja tanpa nasi! Memang sedap sangat, daging rusa bercerai dari tulang...lembutnya! Berpeluh-peluh menghirup Tulang Rusa Masak Sup Tumis Darat di petang hari!

2 ulasan:

  1. aduhai telan liur banyak2 tgk sup tu, ngn daun sup n bwg grg banyak2 tu...sedapnya hirup panas2

    BalasPadam
  2. Nurhidana,
    betul tu... bawang goreng dan daun sup pembangkit aroma...yummy!

    BalasPadam