Jumpa lagi.
Dah masak tengahari?
Dah makan tengahari?
Amie belum masak lagi sebab masih banyak lebihan Nasi Goreng Daging Rusa yang Amie goreng pagi tadi. Kebetulan pula Encik Suami hanya akan pulang dari tempat kerja di sebelah petang, jadi tengahari ini goyang kaki saja dulu...hiks!
Mari kita layan resepi Sotong Masak Sos Lada Hitam yang masih termasuk dalam senarai menunggu untuk dipaparkan. Biasanya kalau masak sotong, Amie gunakan sotong torak tetapi untuk resepi kali ini Amie gunakan sotong katak. Lama sungguh tak makan sotong katak! Sewaktu kecil dahulu, kalau Bonda bersihkan sotong katak kami suka kumpulkan tulang sotong tersebut untuk dijadikan alat bantu membuat kira-kira. Kadang-kadang kami gunakan biji getah. Bagi rakan yang ada-ada sedikit, mereka ada guli sebagai bahan kira. Zaman kami bersekolah rendah dahulu mata pelajaran Matematik disebut Kira-Kira atau Ilmu Hisab.
Arwah MIL suka masak sotong katak tanpa memutuskan bahagian kepala dan ekor. Sampai ke hari ini Amie masih belum mahir membersihkan sotong kata cara demikian. Hahaaaa..... cabut sahajalah kepala sotong! MIL biasanya akan masak sotong katak menggunakan lada putih dan asam jawa. Tapi Amie masak gunakan sos lada hitam pulak....ahaks!
Jom kita lihat resepinya di bawah ini.
Bahan-bahan:
500 gram sotong katak - buang mata, mulut, dakwat dan tulang belakang - cuci bersih - toskan
7 biji kacang buncis - hiris serong
2 sudu besar sos lada hitam
1 sudu kecil Maggi Cukup Rasa
1 sudu kecil pati asam jawa
4 sudu besar minyak
Bahan tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia
Cara memasak:
1. Panaskan minyak, dan tumis bahan tumbuk hingga terbit bau.
2. Besarkan api dapur dan masukkan sotong katak, sos lada hitam dan pati asam jawa.
3. Gaul rata dan biarkan masak seketika, kemudian masukkan kacang buncis.
4. Taburkan Maggi Cukup Rasa, kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Sebenarnya....
Amie ratah-ratah sahaja Sotong Masak Sos Lada Hitam ini.
Sedap weh!!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan