Semalam, ketika Amie sedang menaip entri resepi, Abang Farid telefon. Cerita kami biasa-biasa sahaja. Sudah makan ke belum? Buat apa? Baba di mana? Adik-adik buat apa? Kemudian Abang Farid tanya, macamana nak olah ayam goreng kunyit dan sebagainya. Jadi, pada Amie walaupun apa yang Amie kongsikan di sini hanyalah menu-menu ringkas tetapi sangat berguna sebagai rujukan buat anak-anak remaja atau anak-anak muda tidak kiralah lelaki atau perempuan. Kalau Fuad atau Fairuz masak di rumah pun, mereka akan rujuk dapur maya ini juga. Alhamdulillah.
Apabila Fairuz dan Fuad di rumah, memang rasa ringan sedikit tugas yang perlu digalas. Memasak, mengemas dapur, mencuci pinggan mangkuk sudah menjadi tugas mereka. Cuma, Amie perlu pantau dan tegur-tegur mana yang perlu.
Perkongsian resepi malam ini hanyalah masakan yang mudah dan ringkas iaitu Sayur Tumis Cmpur++. Fuad sangat suka makan lobak merah, jadi kebanyakan masakan dan lauk-pauk memang Amie akan tambahkan lobak merah. Dengan menggunakan HP Fuad, dapatlah tangkap gambar Sayur Tumis Campur++ di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 keping tempe - potong dadu
1/2 batang lobak merah - kupas kulit - potong kecil sepanjang 2 cm
2 pokok sayur kailan - asingkan daun dan batang - potong
10 ekor udang harimau - bersihkan
2 sudu kecil perencah Maggi Cukup Rasa
3 sudu besar minyak
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
(jika suka boleh tambahkan hirisan cili padi atau cili merah / putih)
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga wangi.
2. Kemudian masukkan udang, tempe dan lobak merah.
3. Setelah tempe bersama lobak merah masak (lembut) masukkan pula batang kailan. Gaul rata dan biarkan seketika.
4. Akhir sekali masukkan daun kailan dan tutup kuali selama 1 minit.
5. Buka penutup dan taburkan perencah Maggi Cukup Rasa.
6. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan