Pages

Sabtu, 26 Januari 2019

Ikan Mayong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi

Selamat petang dan selamat berhujung minggu.
Dan, terima kasih sudi singgah ke dapur maya ini.
Hari ini Amie kongsikan menu Ikan Mayong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi.
Alhamdulillah. Anak-anak menyukainya, dan walaupun Fuad tidak suka makan durian, tapi dapat menerima masakan ini dengan baik.

Ikan mayong ini kami beli kelmarin petang. Agak terkejut juga sebab hanya ada dua jenis ikan yang dijual di gerai tempat kami selalu beli iaitu ikan mayong dan ikan selangat. Kedua-dua jenis ikan ini kami beli, dan itulah ikan terakhir yang dijual oleh peniaga ikan tersebut pada petang itu. Beberapa orang pelanggan yang baru tiba di gerai terpaksa patah balik ke kenderaan masing-masing sebab tiada lagi ikan yang dijual.  Kami singgah di pasar ikan, dan agak terkejut dengan kenaikan harga ikan yang mendadak! Barangkali kurang hasil tangkapn ikan, jadi tidak banyak jenis ikan yang dijual.
Atas cadangan anak-anak dan Encik Suami, Amie masakkan untuk mereka Ikan Mayong Masak Lemak Cili Padi.
Jom kita lihat resepinya di bawah ini.

Bahan-bahan:
2 ekor ikan mayong seberat 1.5 kg - bersihkan - potong ikut suka - perap seketika dengan segenggam  asam jawa - bilas bercih - toskan
1 cawan santan pekat
5 sudu besar tempoyak
4 cawan air
1 helai daun kunyit - siat dan simpul
2 batang serai - ketuk
2 keping asam gelugur - tak bubuh pun tak apa sebab tempoyak dah ada rasa masam (Amie bubuh asam keping sebab tempoyak tak berapa masam)
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar / tumbuk:
35 biji cili padi kampung
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
4 cm kunyit hidup

Cara memasak:
1. Masukkan air ke dalam periuk bersama bahan kisar / tumbuk. dan serai dan tempoyak.
2. Jerang di atas api dapur sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan ikan mayong dan asam keping. Biarkan masak seketika.
5. Akhir sekali masukkan santan pekat, daun kunyit dan diikuti dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.


Puaslah anak-anak makan nasi lauk Ikan Mayong Masak Lemak Tempoyak Cili Padi yang Amie olah sebelanga!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan