Pages

Selasa, 27 November 2018

Bubur Kacang Campur Durian

Encik Suami pernah beberapa kali bercerita, pekerja-pekerja di bawah seliannya selalu menyebut bubur kacang campur durian yang mereka nikmati di rumah kami. Oh! Sudah beberapa tahun berlalu, tetapi mereka masih mengingatinya! Begitu jugalah dengan Amie, sering teringat-ingat kalau 'termakan' sesuatu yang enak dan lain dari yang lain. Sebenarnya Amie selalu masak bubur kacang (kalau musim durian) untuk dibawa ke kampung ketika makan keluarga atau ketika diadakan majlis bacaan doa selamat.
Setiap kali Encik Suami menyebutnya, memang Amie teringin untuk memasak bubur tersebut, dan Encik Suami boleh bawa ke tempat kerjanya. Malangnya di tempat kami memang susah sangat nak dapat durian. Kalau ada pun harganya seperti harga emas! Itu belum tentu isinya sama ada elok atau sebaliknya.
Ahad lepas, entah bagaimana terpacul dari mulut Amie untuk mencari durian sewaktu Encik Suami memandu ke Tawau. Amie kata, nak buat tempoyak. Padahal Amie tahu bukannya musim durian pun, dan seperti biasa di sepanjang jalan hanya ada gerai cempedak, mangga, manggis dan buah-buahan tempatan yang lain kecuali durian. Kebetulan pada pagi itu kami melalui jalan bersebelahan dengan Pasar Tani Takada. Kami singgah di situ untuk menbeli daging rusa. Sayangnya, jangankan daging rusa, tulang rusa pun tidak ada!
Setelah berpusing keliling pasar mencari apa yang patut, tiba-tiba Fairuz memegang tangan Amie.
Ada bau! Katanya.
Bau apa? Tanya Amie.
Bau yang Mommy cari! Jawab Fairuz.
Bau apa? Amie tanya lagi sekali.
Cuba Mommy bau. Kata Fairuz lagi.
Bau durianlah! Di mana?
Oh! Ada longgokan durian di sebuah gerai. Dan kami terus menuju ke tempat tersebut.
Penjual durian memberikan kami isi durian untuk kami rasa. Manis! Sangat manis. Durian kampung. Tapi bukan durian tempatan. Durian dari Sarawak!
Kami borong 13 kilogram.
Sebahagian daripada durian itu Amie jadikan tempoyak, dan sebahagian lagi kami makan begitu sahaja. Ada lagi 4 biji.
Petang kelmarin,tiba-tiba Amie teringat pekerja-pekerja Encik Suami yang teringin makan bubur durian. Encik Suami kata, kalau Amie sempat masak bubur kacang, bolehlah dia bawa ke tempat kerja keesokan pagi.

Bubur Kacang Campur Durian sempat disediakan pagi tadi. Gambar diambil sebaik sahaja bubur kacang siap masak.

Petang semalam, sebelum meninggalkan pintu dapur Amie sempat mencari bahan di dapur sebagai persediaan untuk memasak Bubur Kacang Campur Durian keesokan pagi. Cadang Amie, selepas solat Subuh, Amie boleh terus masak, dan dijangka siap sebelum Encik Suami ke tempat kerja lebih kurang pukul 6 pagi.

Kacang hijau seberat 1 kg  ini akan Amie rendam selama 1 jam, dari jam 4 hingga 5 pagi. 
Biasanya memang Amie bangun antara pukul 4 untuk bersiap ke tempat kerja. Jadi, tidak menjadi masalah kalau Amie bangun waktu begini walaupun musim cuti.

Isi durian pun Amie sudah keluarkan siap-siap. Susun dalam sebuah bekas dan simpan dalam peti sejuk.

Amie masak bubur kacang ikut resepi Bonda. Selain kacang hijau dan durian, Amie tambahkan sagu biji, jagung krim, dan tidak lupa halia serta bawang putih. Selain gula melaka atau gula merah, Amie tambahkan gula pasir dan juga sedikit garam. Bagaimana pun Amie hanya gunakan sedikit gula melaka sahaja dahulu, memandangkan isi durian sudah cukup manis. Sekiranya rasa manis kurang menepati citarasa, Amie akan tambah dengan gula pasir.

Sebenarnya Amie tidak berhasrat untuk menggunakan santan kotak, tetapi tak sampai hati pula meminta Encik Suami keluar membeli kelapa parut memandangkan hari sudah menjelang malam.
Alhamdulillah, pagi tadi tergerak pula hari membuka bahagian sejuk beku peti ais untuk mengeluarkan udang (masak dengan mee hoon), terpandang sebungkus kelapa parut! Huurrrmmm... memang makcik ni mudah lupa sekarang nih. Maklumlah...sudah masuk usia emas...hiks! Jadi, Amie pun simpanlah semula santan kotak, dan gunakan santan kelapa yang Amie kisar pagi tadi.

Bila bubur kacang mula mendidih, lega rasanya sebab tidak perlu ambil masa yang agak lama untuk memasaknya. Memang banyak hasilnya dengan memasak 1 kg kacang hijau! Boleh makan untuk kenduri! Mungkin banyak bahan campurannya, termasuk jagung krim, sagu biji, dan durian. Amie tambahkan gula pasir dan sedikit garam selain gula melaka. Jangan lupa masukkan daun pandan untuk aroma yang lebih enak!

Bubur Kacang Hijau Campur Jagung masak sepenuhnya. Hanya menunggu masa untuk dibawa oleh Encik Suami. Encik Suami juga telah membeli beberapa buku roti. Tentu sedap makan roti cecah bubur kacang!

Minta maaf.
Entri kali ini hanya kongsi bahan yang digunakan untuk membuat bubur kacang campur durian. Resepinya biasa sahaja, dan sama dengan resepi bubur kacang yang lain. Bezanya mungkin Amie tambahkan halia dan bawang putih sahaja, sebab ada yang tak bubuh kedua-dua benda ini dalam bubur mereka. Itu resepi orang kampung kami....ahaks!

2 ulasan:

  1. Salam .
    Sedapnya bubur durian,lama juga nda makan ni.Kalau ada lebihan durian tu boleh ja kirim pi kk.

    BalasPadam
  2. Rahel,
    di KK ka?
    Ingatkan masih di Tawau.
    Durian sesat bah ini hihihiiii.

    BalasPadam