Amie memang penggemar mee hoon goreng!
Firdaus pun suka makan mee hoon goreng!
Pagi ini Amie berdua dengan Firdaus di rumah. Encik Suami keluar bekerja, dan Fairuz menghadiri kelas tambahan. Jom masuk dapur, kita masak mee hoon. Amie paling suka kalau bubuh cili kering kisar dalam perencah mee hoon. Tak mahu gangguan bahan lain seperti sos cili sebagaimana kebiasaannya Amie masak mee goreng.
Jom lihat perkongsian resepi Mee Hoon Goreng dengan Udang. Amie gunakan dua jenis udang, iaitu udang kering dikisar bersama cili kering serta bawang, dan juga udang basah jenis udang bunga sebagai bahan pelengkap perencah. Mee hoonnya pula Amie gunakan jenama Cap Helang, keluaran tempatan. Seperti biasa, Amie akan mulakan memasak dengan menggoreng sebiji bawang besar yang dicincang terlebih dahulu. Biasanya Amie gunakan bawang Holland. Amie sukakan aroma bawang besar ketika digoreng, dan juga rasanya yang manis.
Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon - rendam dengan air sejuk hingga lembut - toskan
10 ekor udang bunga - buang kulit dan kepala - belah belakangnya untuk keluarkan urat hitam
1 labu bawang besar - cincang
1 cawan hirisan kubis
4 susu besar minyak
1 sudu besar serbuk Maggi Cukup Rasa
Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
2 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara:
1. Panaskan minyak dan goreng bawang besar hingga layu kekuningan.
2. Kemudian masukkan bahan kisar. Tumis dengan api sederhana sehingga pecah minyak.
3. Masukkan kubis dan udang. Gaul rata dan biarkan seketika sehingga udang masak.
4. Seterusnya masukkan mee hoon dan kacau rata.
5. Perasakan dengan serbuk Maggi Cukup Rasa.
6. Gaul sekali dua, dan padamkan api dapur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan