Kami sampai di kampung menjelang pukul 12.30 malam.
Dan malam itu entah pukul berapa mata terlelap!Yang terdengar di cuping telinga kata-kata Bonda: Esok nak masak sup kambing!
Selepas Subuh, mata terlelap semula.
Terjaga kembali apabila terdengar bunyi pinggan mangkuk di dapur.
Bingkas bangun, dan terlihat Bonda sedang menyusun pinggan mangkuk di atas rak.
Mak nak masak sup kambing, katanya.
Oh! Marilah kita masak. Mak duduklah berehat.
Sudah pukul 9.30 pagi rupanya!
Sempatlah Amie masak untuk sajian tengahari kami.
Sup kambing siap, walaupun tanpa daun sup!
Sayur meranti pun selamat dikerabukan.
Buah binjai berubah menjadi sambal.
Dan ikan kering yang Amie bawa dari LD sudah bertemu gang di dalam kuali, bersama petai dari Simpang Ampat Melaka, dan tempe dari Bukit Hijau.
Sambal binjai memang sedap!
Tapi Amie tak boleh makan sesuka hati, sebab pengalaman Amie buah binjai ini 'suka' cuci perut kita...hiks! kalau Amie tak ke mana-mana dan bukan dalam perjalanan, memang habis Amie ratah sambal binjai ini!
Sambal Binjai Simpai Ampat siap!
Kerabu @ Keluban Meranti ini memang Amie sediakan ikut cara Bonda, cuma kelapa tak sempat dibakar. Biasanya Bonda bakar terlebih dahulu....adeeehhh keluar aromanya yang sungguh enak! Cuma pesan Bonda, bawang putih dan bawang merah itu kenaah bakar. Amie goreng saja bawang-bawang tersebut. Resepinya seperti biasa. Nak pedas bubuhlah cili padi lebih sikit, tumbuk bersama belacan, bawang putih, bawang merah dan isi kencur. Bonda memang bubuh kencur untuk aroma kerabu yang lebih ummpphh! Jangan lupa tambahkan perasa pilihan seperti garam dan gula, dan akhir sekali perahkan jus limau nipis atau limau kasturi.
Apabila mengolah kerabu dengan menggunakan kelapa parut tanpa sangan, aromanya memang hidup setelah ditambah dengan kencur! Jika suka, boleh hiriskan daun kencur dan gaul bersama kerabu daun meranti tadi.
Jom lihat resepi Ikan Kering Goreng dengan Petai dan Tempe
Bahan-bahan:
2 ekor ikan kering - bersihkan dan potong ikut suka
2 bungkus tempe - potong ikut suka
2 papan petai - buang kulit dan mata petai dibelah 2
1 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
minyak
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
15 biji cili padi
Cara memasak:
1. Panaskan minyak secukupnya. Goreng ikan kering hingga masak, dan toskan.
2. Goreng tempe hingga masak dan toskan.
3. Tinggalkan 3 sudu besar minyak bekas gorengan tadi di dalam kuali.
4. Masukkan bahan hiris dan tumis hingga wangi.
5. Masukkan tempe goreng dan tambahkan 1 cawan air. Masak sehingga tempe menjadi lembut.
6. Setelah kuah mula kering, masukkan ikan kering dan petai. Gaul sebati.
7. Tambahkan perasa seperti garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
8. Padamkan api dapur.
Sup Kambing togel di atas ini sebenarnya Bonda suka sangat! Katanya dagingnya sangat empuk! Cuma Amie tak sempat gorengkan bawang dan bubuh daun sup. Maklumlah, tercengang-cengan baru bangun tidur, terus angkat periuk belanga di dapur tanpa memikirkan apa bahan yang perlu ada! Masakannya seperti biasa, tumis dahulu kesemua bahan perencah dan layukan kambing tadi, kemudian barulah tambahkan air. Masak hingga mendidih dan kemudian perlahankan api. Renihlah sehingga daging empuk!
Kalau Bonda sangat gembira dapat menikmati Sup Kambing, Amie pula sibuk meratah Kerabu Meranti sebab suka sangat kelapa parutnya itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan