Selepas sarapan pagi, kami jalan-jalan ke tepi laut tempat kapal merapat menurunkan hasil tangkapan.
Para nelayan berurusniaga dengan peraih di kawasan berhampiran jeti.
Hasil tangkapan dari laut kelihatan segar-segar belaka!
Kalau kita nak beli sekilo dua di sini pun boleh.
Firdaus ini asyik merengek nak masuk air laut!
Jom jalan ke tempat lain, ke pasar ikan ke.
Opppss!
Pasar ikan sedang dibaikpulih.
Jadi tempat peniaga menjual ikan di bahagian luar, sederet dengan peniaga sayur-sayuran dan buah-buahan.
Nampaknya tempat jualan ikan sementara kurang tersusun dan kurang terjaga. Harap pasar ikan yang sedang dibaikpulih akan siap dalam jangka masa terdekat.
Banyaknya keluarga belais!
Nampak baru dan segar!
Teringat tahun-tahun awal kedatangan Amie ke Sabah, bermalam di Pulau Bum Bum, dan pagi-pagi lagi sudah terhidu masakan ikan belais yang sungguh menggoda! Masakan yang sangat ringkas, sekadar rebus ikan belais dengan serai, sudah cukup membangkitkan selera! Waktu itu baru belajar makan putu dengan ikan belais rebus!
Ini pun keluarga belais juga, tetapi warnanya agak berbeza dengan ikan di atas.
Di hujung barisan gerai ikan terdapat jualan hasil laut seperti rumpai laut termasuk lato' dan juga kima serta pelbagai jenis siput. Isi siput dijual di dalam botol.
Ini isi kima, sejenis kerang besar.
Amie tak berapa tahu nama siput di sini kecuali kahanga...hiks!
Hasil laut ini memang terkenal sebagai makanan tradisi masyarakat Bajau. Selain lato', kahanga, kima, di hujung sana ada ikan pari yang mereka biasa sebut sebagai kiampau. Biasanya mereka akan mengolah ikan pari @ kiampau ini menjadi sejenis masakan yang disebut sebgai sagol pari @ kiampau dan dimakan bersama putu dan juga tompek.
Selain sagol kiampau, ikan buntak juga dijadikan sebagai sagol buntal yang tidak kurang enaknya! Setakat ini Amie memang pernah makan ikan buntal, tetapi tak pernah mengolahnya kerana tidak pandai membuang racun yang terdapat pada bahagian ikan tersebut.
Sotong pun kelihatan masih baru!
Ini mungkin sotong gergasi!
Pelbagai jenis ikan dijual di sini.
Kadang-kadang sukar membezakan mana satu ikan kayu @ tongkol atau ikan tuna!
Ikan tamban pun menarik mata!
Kata peniaga di situ, ini ikan basung besar. Ikan basung lebih dikenali dengan nama ikan selayang dalam kalangan kita. Memang besar pun saiznya, 3 ekor sudah mencecah 1 kilogram.
Boleh tak bezakan ikan kayu @ tongkol dengan ikan tuna? Yang bersuun dibawah itu ikan kayu, yang diatasnya pula ikan tuna dengan ditandai dengan siripnya yang berwarna kuning.
Ha... inilah ikan tuna yang selalu Amie olah menjadi sambal untuk lauk nasi kuning!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan