Pages

Selasa, 3 Julai 2018

Ikan Panggang, Sambal Mangga & Sayur Petola Masak Lemak Putih

Tengahari tadi, sempat hantar mesej minta Fuad keluarkan ikan (tak tahu nama) untuk dipanggang pada sebelah petangnya. Selesai kelas tambahan, Amie pecut  kereta pulang ke rumah. Teringat pesan Bonda:
Balik rumah, jangan terus pegang periuk nak masak.
Peluk anak dulu!
Yaaa... sudah peluk Firdaus, sudah cium Firdaus. Sudah sembang beberapa detik. 
Kaki pun melangkah ke dapur.
Fuad sudah masak nasi.
Seperti biasa, rutin harian kalau hari bekerja sudah tentulah makan tengahari dibawa ke petang! Dan makan petang itulah makan malam kami.
Petang tadi dapat makan bersama keluarga termasuk Encik Suami.

Alhamdulillah, setelah menyingsing lengan bersilat di dapur, dapatlah Amie hidangkan ikan panggang, sambal mangga dan sayur petola.

Inilah rupa ikan ala-ala terubuk...hiks! Tak tahu nama ikan ini. Tanya peniaga ikan pun, mereka kata tak tahu.


Seperti biasa, Amie hanya lumurkan ikan dengan garam dan serbuk kunyit dan kemudian panggang dalam kuali biasa. Nak panggang dalam kuali ajaib tak bolehlah pulak, sebab saiz ikan lebih besar.

Sambal mangga yang Amie sediakan petang tadi memang terasa enaknya....ha ha haaa perasan sendiri! Bila bertemu dengan ikan panggang, memang lupa nasi!
Walaupun dah banyak kali kongsi resepi sambal mangga tapi Amie nak tepek juga di sini.

Resipi : Sambal Mangga
Bahan-bahan:
20 biji cili padi
2 cm belacan
1 labu bawang besar - hiris nipis
1 cawan mangga cincang
5 biji limau kasturi - perahkan jusnya
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Cara:
1. Tumbuk cili padi bersama belacan, garam, gula dan perasa pilihan yang digemari.
2. Masukkan bahan tumbuk ke dalam mangkuk.
3. Tambahkan hirisan bawang besar.
4. Tuangkan jus limau kasturi.
5. Gaul sebati.

Sayur petola pula Amie masak lemak putih. Masakan lemak putih memang menggamit selera bapalgi bila dipertemukan dengan sambal belacan atau sambal mangga dan ikan bakar! Firdaus pula asyik mencari suhun yang Amie campur dalam sayur petola.
Jom tengok resepi Bonda kita yang kami gemari dari dulu, kini dan selamanya. 

Resipi : Sayur Petola Masak Lemak Putih
Bahan-bahan:
1 biji petola seberat 300 gram - buang kulit dan potong bulat
1/2 batang lobak merah - buang kulit dan potong sepanjang 3 cm
suhun - anggaran 1 cawan setelah direndam dan ditoskan
1 batang serai - dititik
3 cawan air
1 cawan santan pekat
garam / gula / perasa pilihan

Bahan tumbuk kasar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
12 ekor ikan bilis - belah 2 dan buang isi (kalau belum dibersihkan)

Cara memasak:
1. Jerang air di dalam periuk.
2. Masukkan lobak, serai  dan bahan tumbuk. Masak sehingga mendidih.
3. Kemudian masukkan petola bersama suhun. Biarkan seketika dan tuangkan santan.
4. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Apabila kuah mulai mendidih, kacau beberapa kali supaya tidak pecah santan.
6. Padamkan api dapur.

 Wahai ikan dan sambal mangga!
Kenapalah engkau sedap sangat?

2 ulasan: