Hari ini balik seperti biasa.
Tidak ada kelas tambahan.
Tidak ada mesyuarat.
Tidak ada kursus.
Tidak ada aktiviti lain.
Mesej sudah dihantar melalui whatsaap kepada Fuad.
Dik : Keluarkan ikan nyok-nyok.
Kalau Baba pulang tengahari nanti, minta tolong potong-potong ikan tu.
Kita pun hantar gambar ikan yang dimaksudkan, tapi ada dua ekor, satu ikan merah dan satu ikan nyok-nyok. Tidak ada gambar ikan nyok-nyok seekor!
Farid pun hantar ikon 'ketawa' ... tak tahu dia ketawakan siapa. Ketawakan Amie hantar gambar ikan, atau ketawakan Fuad yang tidak kenal ikan nyok-nyok.
Farid sendiri pernah merajuk sehari semalam kerana Amie marahkannya. Kita suruh ambil daun pandan, dibawanya daun pisang satu pelepah! Aduhai anak bujang! Dah besar panjang pun tak tahu bezakan daun pandan dengan daun pisang!
Di rumah Bonda, semasa kami bercuti raya di sana Syawal ini, Amie minta Fuad cabutkan serai di belakang rumah. Riuh satu rumah termasuk Bonda gelakkan Fuad yang tidak kenal mana satu rumpun serai! Farid kata, dia tak mahu tolong Fuad cari serai kerana takut Amie akan marah lagi sebab kesilapannya membawa masuk dapur daun pisang, dan bukannya daun pandan seperti yang diminta!
Minta Fairuz cabutkan serai! Katanya tak tahu macamana nak cabut! Hai! Fairuz pun satu juga! Amie minta ambilkan daun kunyit untuk merendang, ditunjukkannya pucuk ubi kayu! Lailahaillallaaaahhhh......
Manalah kita tak berteriak!
Apa benda pun tak tahu!
Riuh rendah lagi rumah Bonda penuh gelak ketawa!
Apa pun, catatan ini sekadar untuk kenang-kenangan.
Asam Pedas Ikan Nyok-Nyok dan siap!
Kalau sudah rasa teringin nak makan asam pedas, memang kena buat juga. Nanti termimpi-mimpi pula! Daun kesum dan bunga kantan sudah buruk dalam peti sejuk. Terpaksalah guna alternatif lain. Bila terpandang batang-batang serai yang terendam di sudut tingkap dapur, rasa lega sebab ada bahan yang boleh digunakan untuk melengkapkan masakan asam pedas. Wah! Kulihat rimbunan daun limau purut dan merimbun di luar jendela! Cukuplah itu sebagai penambah aroma menggantikan daun kesum dan bunga kantan!
Amie tuliskan lagi dalam mesej : Ikan nyok-nyok yang warna putih.
Tidak ada sebarang respon dari Fuad. Harap-harap dia baca mesej, dan keluarkan ikan yang Amie maksudkan.
Alhamdulillah, Fuad sudah tunaikan tugasnya dengan sempurna. Ikan pun sudah dipotong-potong oleh Encik Suami. Sayangnya ketika Amie hendak memasak ikan, Encik Suami pula minta izin kembali ke tempat kerjanya! Amie sangka boleh makan tengahari bersama-sama.
Wokey!
Amie kongsikan resipi simple dimple Asam Pedas Ikan Nyok-Nyok di bawah ini.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan nyok-nyok seberat 1 kg - bersihkan dan potong-potong (bahagian kepala belah 2)
10 biji kacang bendi - buang ekor dan tampuk
3 biji tomato - belah 2
5 helai daun limau purut - buang urat
2 batang serai - dititik
3 keping asam gelugur
1/2 cawan minyak
1 liter air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
30 tangkai cili kering
7 biji bawang merah
3 biji bawang putih
1 cm belacan
1 cm halia
1 cm kunyit hidup
Cara memasak:
1. Panaskan minyak, dan masukkan serai. Goreng hingga wangi dan kemudian masukkan bahan kisar. Perlahankan api dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan asam gelugur dan air. Biarkan mendidih agak lama sedikit (lebih kurang 10 minit)
3. Masukkan ikan nyok-nyok. Biarkan masak selama 5 minit.
4. Seterusnya masukkan kacang bendi, tomato dan daun limau purut. Masak selama 1 minit lagi.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Padamkan api dapur.
Ampunkan saya....
Memang asam pedas yang sangat ringkas ini tersangatlah sedap!
Jom ratah kepala ikan nyok-nyok!
Ikan nyok-nyok tu ikan apa ya saya tak pernah dengar.
BalasPadamAnak bujang amie rajin juga tu menolong cuma tak tahu je apa benda yang maknya minta. Nampak gaya kena buat kelas keliling rumah bunda tu,kenal kan dan cara mengambil bahan-bahan masakan yang biasanya kita tanam keliling rumah. Kesian pulak nanti merajuk bila kena ketawakan sebab ambil benda yang salah. hehehehe
Notie,
BalasPadamikan nyok-nyok nama lain bagi ikan putih.
Wah.. Best tu ikan nyok2 asam pedas.. Saya nak cuba hari ni... Anak saya pun pernah ambil daun pisang bila saya suruh ambil daun pandan.. Sepelepah dia bawa masuk rumah.. Aduh.. Bebudak ni..
BalasPadam