Pages

Sabtu, 5 Mei 2018

Sambal Goreng Jawa, Ikan Selayang Goreng, Telur Dadar dan Ulam Mangga

Entahlah....
Mungkin rindu!
Kebetulan musim punggahan... istilah oeang Jawa di kampungku!
Terkenang ambengan, harum aromanya bila bungkusan daun pisang dibuka di bawah samar-samar lampu pelita minyak tanah.
Kami makan beramai-ramai dalam keadaan mata separuh tertutup. Namun masih terasa manis-manis gurih serunding kelapa, dan enaknya berebut cebisan ayam goreng!
Itulah kisah yang tak mungkin dapat dilupakan selagi hayat dikandung badan. Sepanjang bulan Sya'ban sebelum menjelangnya Ramadhan, orang kampung akan mengadakan majlis tahlil dan tetamu jemputan akan pulang dengan bekalan 'brontot', sego ambeng yang dibahagi empat atau lima orang dalam setiap kumpulan! Untuk cerita lanjut bolehlah klik DI SINI. 
Amie kongsikan Sambal Goreng Jawa, yang hanya menggunakan bahan seadanya di dapur. Sebenarnya bahan untuk resepi masakan ini tidaklah terhad kepada jenis-jenis bahan yang ditetapkan sahaja, tetapi tetap mengambil kira bahan utamanya sudah tentulah ada tempe! Kalau di kampung terutamanya menjelang majlis tahlili atau acara 'punjungan' sebelum menjelang hari raya, pelbagai bahan Sambal Goreng Jawa yang dapat Amie perhatikan. Selain bahan asas seperti tempe, suhun, kentang, tauhu dan kacang panjang, ada juga yang menambahkan hirisan petai, lobak merah, kobis dan seumpamanya. Perencahnya pula tidak terhad kepada ikan bilis, malah boleh gunakan udang kering atau udang basah. Biasanya dalam majlis rewang untuk kenduri-kendara di kampung kami, hati, mempedal serta telur ayam muda dijadikan bahan perencah.

Jemput makan tengahari. Sambal Goreng Jawa yang sangat ringkas sempat dihidangkan bersama lauk lain. Hanya menanti untuk dinikmati.
Sementara itu, mari kita lihat bahan-bahan untuk Sambal Goreng Jawa di bawah ini. Hurrrmmm... dah siap masak, baru terpandang bungkusan fucuk dalam kabinet! Kalau ada fucuk dan tauhu, jangan lupa tambahkan dalam sambal goreng anda ye.


Bahan-bahan:
7 batang kacang panjang - hiris serong
2 biji kentang - kupas - hiris kecil - goreng dan toskan
1 cawan tempe yang sudah dipotong - goreng dan toskan
1 cawan suhun yang sudah direndam - toskan
1 cawan mempedal ayam
1 cawan hati ayam
3 sudu besar minyak 
garam / gula / perasa pilihan secukupnya

Bahan hiris:
2 biji cili merah
2 biji cili hijau
3 ulas bawang putih
1 labu bawang besar - boleh gantikan dengan 5 biji bawang merah

Cara:
1. Panaskan minyak dalam kuali dan tumis bahan hiris hingga wangi.
2. Masukkan mempedal dan hati ayam. Tumis hingga masak.
3. Kemudian masukkan tempe dan kentang goreng serta kacang panjang.
4. Gaul rata dan tambahkan suhun.
5. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya. 
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.

Tiba-tiba terpandang buah mangga di tepi tingkap! Rasanya Fairuz yang kutip sewaktu ke belakang dapur. Rasa kecur liurlah pulak tengok mangga! Apalagi, terus kupas dan cincang, bubuh sambal cili padi yang memang Amie simpan stok, tambahkan cili padi beberapa biji.Walaaaa....

 Inilah hasilnya! Tak tahu nak bagi nama apa dah... ahaks!

 Pelengkap lauk-pauk tengahari ini, Amie gorengkan ikan selayang!

 Idea nak masak dimulakan dengan Sambal Goreng Jawa dan diakhiri dengan ulam mangga! Jangan lupakan telur dadar di belakang tu!

2 ulasan:

  1. Oooo senang juga nk msk sambal goreng jawa ni. Rasa mcm susah. Kita kena guna hati je la sbb x mkn pedal ayam

    BalasPadam
  2. PH suka resipi Amie untuk sambal goreng Jawa sebab ringkas dan senang nak ikut. Hari tu PH tengok kat Youtube macam leceh caranya.

    BalasPadam