Pages

Sabtu, 5 Mei 2018

Ayam Masak Kari dengan Betik

Selamat pagi semua.
Kali ini Amie kongsikan pula resepi Ayam Masak Kari dengan Betik. Biasanya Amie masak sup ayam dengan betik atau sambal betik dengan mempedal dan hati ayam (masakan Cocos). Amie masak biasa-biasa sahaja, tanpa mencampurkan banyak bahan sampingan lain ke dalam masakan ini seperti cili kisar dan sebagainya. Maklumlah, dalam hidangan ini, Ayam Masak Kari dengan Betik, Amie lengkapkan dengan sambal belacan dan acar timun! Waduhhhh...duh...duhhhh! Enak banget! Bila aroma kari bertemu dengan acar timun, memang terangkat semua benda...hiks!
Amie tambahkan tomato merah di dalam masakan, dan sebagai sentuhan akhir, Amie renjiskan jus limau nipis. Renjisan jus limau nipis ini Amie ikut cara masakan sebelah keluarga Encik Suami.  Dan satu lagi, Amie lebih gemar memasukkan serbuk rempah kari terus ke dalam kuali bersama bahan tumisan lain, kemudian tuangkan sedikit air, perlahankan api dapur supaya bahan tidak hangus.

Bahan-bahan:
8 keping sayap / kepak ayam - potong 2
1 biji betik mengkal (400 gram ) - kupas kulit - buang biji - potong ikut saiz yang digemari
3 biji tomato masak / merah - belah 8
3 sudu besar serbuk kari ayam / daging 888
1 cawan santan pekat
5 cawan santan cair
2 pelepah daun kari - lurutkan
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
1 biji limau nipis - ambil jusnya

Bahan kisar / tumbuk:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia 

Bahan tumis:
2 labu bawang besar - hiris kasar
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga

 Cara:
1. Panaskan minyak dan masukkan bahan penumis. Tumis hingga terbit aroma dan bawang besar menjadi kekuningan.
2. Masukkan bahan kisar dan kacau rata, dan kemudian masukkan tomato serta daun kari. Masak sehingga tomato setengah hancur.
3. Masukkan serbuk rempah kari. Tambahkan sedikit santan cair dan perlahankan api dapur.
4. Kemudian masukkan ayam, dan masak sehingga ayam menjadi layu atau berubah warna. 
5. Tuangkan santan cair dan masukkan betik. 
6. Apabila ayam mula empuk, tambahkan santan pekat.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
8. Akhir sekali, tuangkan jus limau nipis. Kacau sekali dua dan padamkan api dapur.

1 ulasan:

  1. Gulai ayam dengan betik memang sedap ...
    saya suka. Masak dengan daging pon sedap

    BalasPadam