Pages

Rabu, 7 Disember 2016

Nasi Kuning Sambal Ikan Tuna

Encik Suami kata, lawan nasi kuning yang paling sedap hanyalah sambal ikan! Amie pun akui kata-kata itu. Kalau makan dengan ayam masak sambal dan sebagainya, agak 'lari' rasa nasi kuning tu! Sayangnya, akhir-akhir ini kalau beli nasi kuning, kuantiti dan kualitinya sudah tidak sama seperti dahulu! Mula-mula Amie sampai LD, pertama kali makan nasi kuning memang rasa terkejut badak. Apa tidaknya, dengan hanya RM1 dapat sebungkus nasi kuning dalam daun pisang dengan seekor ikan selayang atau sepotong ikan tongkol! Bungkusannya pula besar, dan boleh dojadikan sebagai makan tengahari yang mengenyangkan! Lama-kelamaan, nasi kuning naik harga! Bungkusan daun pisang mengecil, dengan nasi yang sedikit apatah lagi lauknya sekadar sambal ikan sebesar ibu jari! Itupun kalau dapat isi ikan, syukurlah!. Yang tak gembiranya kalau dapat kepala atau bahagian tulang ikan. Apa yak nak dimakan? Ada tambahan tel;ur rebus, tapi barangkali telur ayam gred B atau C dibelah 4 atau 6! Itu bungkusan harga RM2 atau RM2.50! Tidak ada lagi yang berharga RM1 untuk sebungkus! Lain pula kalau makan berhidang seperti di restoran, lebih mahal! 
Rasa kasihan kepada murid-murid sekolah pun ada! Bayangkanlah kalau kantin pun naikkan harga makanan. Nak buat macamana? Semua harga barangan naik! Pembeli memanglah nak yang terbaik, tapi penjual? Fikirkalah juga nasib penjual terutama peniaga kecil-kecilan.
Wokeh!
Banyak sangat bebelnya, eloklah masuk dapur masak sendiri nasi kuning.

Kali ini Amie masak cara biasa, guna rice cooker dan tak kukus seperti selalu. Beras yang Amie gunakan ialah campuran beras biasa dengan beras kampung. Beras kampung ni yang bagusnya, bila masak melekit sedikit seperti beras pulut. Jadi tak payahlah campurkan beras pulut lagi. Maklumlah, Encik Suami suka nasi kuning yang sedikit melekit. Katanya nasi kuning yang masak berderai tak berapa sesuai makan dengan sambal! Betul juga katanya tu... sebab dalam banyak-banyak nasi kuning yang Amie makan, (terutamanya di gerai yang menjadi tumpuan ramai) yang sedap sudah tentunya nasi kuning yang melekit sedikit!

Peringatan : Kalau nak gunakan beras kampung, kena kurangkan jumlah air sebab beras kampung 'tak makan air'. Maknanya kalau biasa masak 3 cawan beras biasa dengan 3 cawan air, kalau masak beras kampung sukatannya 3 cawan beras sama dengan 2 1/2 cawan air. Begitulah lebih kurangnya.

Bahan-bahan:
6 cawan beras (3 cawan beras biasa + 3 cawan beras kampung) 
1 batang serai - dititik
3 cm halia - hiris halus
1 helai daun pandan - siat dan simpul
1 sudu kecil garam - boleh bubuh lebih jika inginkan rasa yang lebih kuat
2 cawan pati santan + 3 cawan air

Cara memasak:
1. Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam rice cooker.
2. Tekan butang on.
3. Biarkan sehingga masak.

Sementara itu, kita sediakan pula lauk nasi kuning yang tak lapuk dek hujang dan tak lekang dek panas. Kali ini Amie gunakan 1 kg isi ikan tuna. Pastikan sambal dimasak dengan betul, sehingga terbit minyak supaya masak dengan sempurna!

Bahan-bahan:
1 kg isi ikan tuna - lumur dengan sedikit garam dan serbuk kunyit - goreng setengah masak
1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
1/2 cawan minyak
garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:
30 biji cili kering
7 ulas bawang putih
15 biji bawang merah
1 cm halia

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan bancuhan pati asam jawa, gula dan garam.
3. Biarkan masak sehingga pecah minyak sekali lagi. Kacau sekali-sekala. Gunakan api sederhana panas.
4. Masukkan ikan tuna yang telah digoreng setengah masak.
5. Gaul sekali dua, dan biarkan masak seketika.
6. Padamkan api dapur.

Hurrmmm... nampaknya nasi kuning tetap menjadi pilihan anak-anak! Entah berapa kali Fairuz mengulang makan! Amie pun memang sengaja masak lebih untuk sarapan pagi merangkap hingga ke petang! Cuma risau takut bahagian Firdaus pun kena copet oleh abang-abangnya! Budakj kecik Firdaus tu kuat makan sambal! Firdaus masih di kampung, petang nanti Encik Suami ambil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan