Pages

Sabtu, 30 Januari 2016

Sedapnya Nasi Kuning & The Gang!

Selamat berhujung minggu teman-teman.
Perkongsian resepi untuk bulan ini... nampaknya hanya inilah sahaja jumlah yang mampu dipaparkan... Ini resepi kedua selepas resepi NASI AYAM yang sempat Amie paparkan minggu lepas. Bermakna Januari ini hanya ada dua resepi sahaja yang mampu Amie kongsikan! Okey laaa kan, daripada tak ada langsung. Hajat di hati kalau boleh tahun 2016 ini, setiap hari nak kongsi resepi di sini, tapi nampaknya setakat ini belum terlaksana... 
Wokey... hari ini Amie berkesempatan berkongsi sekali lagi menu tradisi dari Negeri Sabah di Bawah Bayu! Tak lain tak bukan... nasi kuning!
Hari Selasa lepas, Amie masak nasi kuning sempena sukan sekolah yang berlangsung selama 3 hari di Kompleks Sukan Lahad Datu. Terima kasih kepada rakan-rakan yang sudi menyumbang untuk 'membuatkan' pagi itu tersedia sarapan walaupun tanpa minuman panas.... sekadar air mineral sebanyak 20 kotak untuk dijimat-jimatkan penggunaannya selama 3 hari!
Kalau anda rajin selongkar resepi di bawah tudung saji dapur  maya ini, anda akan terjumpa pelbagai resepi nasi kuning dengan lauknya yang berbeza. Kebanyakan nasi kuning yang Amie paparkan berlauk sambal ikan, tidak kiralah ikan tuna, tongkol atau alu-alu. Sebenarnya banyak pilihan lauk boleh dinikmati bersama nasi kuning ini. Terpulanglah ikut selera masing-masing.

Apa yang penting sudah tentulah ada sambal. Sama seperti nasi lemak... walaupun cukup lengkap segala aksesori yang lain tanpa sambal bermakna tak berapa lengkaplah resepinya itu! Kali ini Amie hidangkan nasi kuning bersama sambal dan ayam goreng. Biasanya ayam goreng akan ditumis bersama sambal, tapi Amie biarkan ayam goreng begitu saja. 

Fairuz pesan supaya Amie masak sambal seperti sambal nasi lemak yang Amie masak untuk dijadikan sarapan guru-guru semasa hari kemuncak sukan pada hari Khamis lepas. Boleh bah kalau kamu... Fairuz! Sambal untuk nasi lemak itu Amie bubuh udang kering.. itu yang anak-anak suka sangat tu...

Alhamdulillah... siap juga hidangan nasi kuning untuk kami sekeluarga. Kalau masak nasi begini memang Amie lebihkan sedikit supaya boleh dijadikan sarapan merangkap makan tengahari. Tak payahlah masak lagi. Lagi pun nasi kuning tu Amie kukus, jadi agak tahan lamalah juga jangka hayatnya... dengan kata lain tak cepat basi.

Jom kita lihat sama-sama resepi nasi kuning yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas di Negeri Sabah di Bawah Bayu ini...

Seperti biasa, Amie masak cara kukus. Kalau nak masak cara biasa gunakan rice cooker pun tak ada salahnya. Masak sajalah, janji nasi tak mentah dan tak terlalu lembik. Amie gunakan beras wangi, dan rendam lebih kurang 8 jam, maknanya sebelum tidur pada sebelah malamnya, Amie rendam dulu. Amie bubuh sedikit serbuk kunyit. Jadi ketika mengukus, tak payahlah bubuh kunyit lagi. Kalau gunakan beras biasa, eloklah tambah segenggam atau setengah cawan beras pulut supaya hasil nasi kuning anda rasa lebih ummpphh!! Tak bubuh pun tak apa...

Bahan-bahan:
6 cawan beras wangi - cuci dan rendam menggunakan 12 cawan air - tambahkan 1 sudu kecil serbuk kunyit - biarkan semalaman atau selama 8 jam
1 batang serai - dititik
3 cm halia - hiris halus
1 sudu kecil garam - boleh bubuh lebih jika inginkan rasa yang lebih kuat
600ml pati santan

Cara memasak:
1. Didihkan air dalam periuk pengukus.
2. Toskan beras yang direndam dan kemudian masukkan ke dalam periuk pengukus. Pastikan air kukusan sedang mendidih.
3. Jangan lupa masukkan serai dan halia. Kacau rata dan tutup periuk pengukus.
4. Masak selama 15 minit.
5. Campurkan garam ke dalam pati santan dan kacau hingga larut.
6. Buka penutup periuk pengukus dan kacau nasi yang sudah kembang beberapa kali. Kemudian tuangkan beberapa senduk santan. Gaul sekali lagi hingga rata dan tutup semula periuk pengukus tadi.
7. Setelah 10 minit, buka kembali tutup periuk pengukus dan jika beras belum masak, tambahkan lagi pati santan dan gaul sekali lagi.
8. Tutup periuk pengukus dan biarkan sehingga nasi kuning masak.

Sambalnya pulak, eloklah buat yang tak berapa nak pedas. Tapi terpulanglah ikut selera masing--masing. Kalau Amie bila sambal sangat pedas, tergencatlah selera nak makan sebab tak tahan pedas...ahaks!

Bahan-bahan:
30 biji cili kering wonder hot - buangbiji - rebus hingga masak - toskan - kisar - ketepikan
2 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu kecil pati asam jawa 
3/4 cawan minyak
garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar:
7 ulas bawang putih
15 biji bawang merah
1 cm halia
100 gram udang kering - rendam hingga lembut - toskan
(Kalau tak mahu gunakan udang kering, boleh gantikan dengan belacan. Guna dua-duanya pun boleh - sukatan tu pandai-pandai ikut selera)

Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
2. Masukkan pati asam jawa, cili kisar, gula dan garam.
3. Biarkan masak sehingga pecah minyak sekali lagi. Kacau sekali-sekala. Gunakan api sederhana panas.
4. Masukkan hirisan bawang besar.
5. Setelah bawang besar layu, padamkan api dapur.

Ayam goreng...mmm gorenglah cara korang masing-masing.
Amie goreng simple saja. Bubuh garam kunyit, celup dalam putih telur lepas tu golek-golek dalam tepung jagung. Gorenglah sampai masak. Dah.. siap!

Serunding kelapa ni pulak, kalau nak buat boleh, tak nak sediakan pun tak jadi masalah. Kalau nak buat juga, bolehlah tengok resepinya di bawah ini. Tak susah mana pun.

Bahan-bahan:
2 cawan kelapa parut - kalau boleh gunakan isi kelapa yang agak muda dan buang kulit ari
2 sudu besar minyak
1 sudu kecil serbuk kunyit
garam / gula / perasa pilihan

Bahan kisar:
2 sudu besar udang kering - rendam hingga kembang - toskan airnya
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
3 biji cili kering

Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga wangi.
2. Masukkan kelapa parut, serbuk kunyit, garam, gula / perasa pilihan secukupnya.
3. Gaul rata dan balik-balikkan sehingga serunding kelapa menjadi agak kering.
4. Padamkan api dapur.

Wokey...
Selamat mencuba dan selamat menjamu selera. Nasi Kuning and the Gang dengan secawan teh kosong panas okey kaaann...
Bismillah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan